Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan kerjasama ID Photo Studio Sdn. Bhd dan RPS Pharmacy Sdn. Bhd. telah menganjurkan Karnival Ulang Tahun Bandaraya Alor Setar ke-15 yang berlangsung dari 20 Disember hingga 1 Januari lalu. Bagi menyemarakkan dan menghangatkan lagi sambutan ini, pelbagai aktiviti dan program turut disediakan sepanjang acara berlangsung untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Antara aktiviti dan program yang sempat diadakan sempena Karnival Ulang Tahun Bandaraya Alor Setar kali ke-15 ini termasuk pertandingan futsal, busker islamik, street soccer, derma darah, pertandingan kucing dan arnab, memancing di kolam stadium, persembahan wayang kulit, sukaneka, senamrobik, pameran agensi kerajaan dan swasta, persembahan artis. Tidak ketinggalan memeriahkan lagi penganjuran karnival ini adalah segmen dunia permotoran iaitu Car Drift dan juga Audioshow.
Sebanyak 28 buah kereta audio telah hadir bagi memberikan sokongan dan mewarnakan lagi kemeriahan penganjuran acara ini. Diadakan di perkarangan Stadium Alor Setar, segmen Car Drift berjaya menghiburkan para pengunjung yang mengambil peluang untuk melihat sukan permotoran ini dengan lebih dekat lagi. Segmen ini diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah oleh Tuan Faizal dari Majlis Bandaraya Alor Setar. Pada waktu malamnya pula, para pengunjung dihiburkan barisan kereta yang telah dimodifikasi cukup unik serta dilengkapi sistem audio yang menyeronokkan.