Taiping. Satu kawasan yang terkenal dengan kehijauan dan keindahan alam semulajadi. Antara destinasi Taiping yang paling popular termasuklah Bukit Merah dan juga Zoo Taiping. Keindahan dan kehijuan ini memdekatkan kita dengan alam sekitar. Namun begitu, Taiping juga turut mempunyai satu lagi keistimewaan lain yang mungkin kurang diketahui oleh umum. Kalau Kamunting dikenali sebagai zon panas, Taiping pula sebagai zon hangat yang menghimpunkan kaki-kaki ICE. Boleh dikatakan, sepanjang jalan dan setiap ceruk di bandar Taiping dibanjiri installer.
Mungkin ramai yang tidak tahu tentang perkara ini. Jadi, itulah tugas dan tanggungjawab yang perlu pihak Kar HiFi galas, memperkenalkan setiap installer dengan penempatan kaki-kaki ICE yang ramai di Malaysia. Jadi, tidak salah rasanya kalau Kar HiFi bawakan kereta yang memikul sistem audio sentuhan magis installer Taiping ini, Hock Seng. Percayalah, ia mampu membuatkan anda mengorek biji mata dan mencabar keimanan telinga sebaik sahaja melihat kereta yang menghiasi muka hadapan edisi Kar HiFi kali ini.
Bagi memperlihatkan keajaiban yang dimiliki warganya, Hock Seng telah memilih Kancil. Sebagaimana biasa, memang menjadi kegemaran kepada para installer untuk dijadikan sebagai kereta demo. Struktur tubuh yang kecil, comel, kompak tetapi fleksibel merupakan antara faktor yang membuatkan kereta kelahiran Perodua ini menjadi pilihan installer. Namun, masalah tetap ada kerana ada masanya, ruang yang terhad menjadi kekangan untuk para installer berimaginasi dan bereksperimentasi.
Itu semua tidak menjadi masalah kepada Hock Seng. Sistem ICE yang disumbatkan di bahagian belakang Kancil ini sangat padat. Ya. Inilah kali pertama saya menyaksikan kereta sekecil ini dengan muatan woofer sebanyak 9 unit. Paling banyak sekalipun yang pernah saya lihat, 6 unit. Terdapat beberapa lagi unit aksesori audio lain termasuklah mid bass, tweeter dan banyak lagi. Menjadikan jumlah keseluruhan speaker yang mengganggotai kereta ini sebanyak 25 unit. Itupun hanya di bahagian belakang. Wow!
Namun, ada satu lagi persoalan yang timbul. Adakah relevan kereta sekecil ini dipadatkan sedemikian rupa? Berkesankah bunyi bass yang dihasilkan woofer? Bukan apa, saya pernah menyaksikan sebuah kereta yang pemasangannya hampir serupa tetapi bunyi yang dihasilkan tidaklah bagus mana pun? Jadi, adakah kereta Kancil ini membawa nasib yang serupa? Saya fikir tidak. Satunya kerana ia dibekalkan dengan pemain utama yang merupakan pemain CD keluaran Eclipse CD3100.
Sudah diperjelaskan banyak kali, tetapi langkah awal untuk mendapatkan sistem ICE yang ‘cool’, terletak pada pemain utama. Dengan pemain utama yang bagus, anggap sahaja sebahagian dari kerja telah selesai. Pemain CD ini dibantu oleh 2 unit pre-amp Adams Digital, AMP 6XO. Menerusi pre-amp ini membentuk dan memisahkan dua laluan utama. Laluan pertama, dianggotai 3 unit amplifier monoblock, dan laluan kedua pula terdiri dari 2 unit amplifier 4 channel Adams Digital ADS-80.4.
Bagi mengelak kecelaruan, lebih elok kalau diterangkan satu demi satu. Baiklah. Seperti yang disebutkan awal tadi, laluan pertama ini dianggotai 3 unit amplifier. Ia merupakan amplifier monoblok Adams Digital Energy Series yang menguasakan 3 unit woofer 12” setiap satunya. Woofer yang digunakan untuk mempersembahkan hasil bunyi bass dalam proses ini pula merupakan dari Energy Series, Adams Digital iaitu EX-1000. Aduh, memang terangkat bunyinya. Terasa-rasa gegarannya hingga ke tanah.
Laluan kedua pula terdiri dari dua unit amplifier 4 channel Adams Digital. Unit pertama memacu sejumlah 8 unit speaker; 4 unit speaker 6.5” Adams Digital 660MM dan 4 unit mid bass AD-666P. Bagi memberikan keseimbangan kepada bunyi paduan bass dengan kapasiti 9 unit woofer tadi, maka Hock Seng telah menggunakan 4 unit horn tweeter dan juga 4 unit speaker coaxial Adams Digital Xtream XS-452. Kesemua speaker dan tweeter ini dipacu baki 1 unit amplifier 4 channel Adams Digital ADS-80.4 tadi.
Habis sistem ICE dikupas satu persatu. Beralih pula kepada unsur seni yang ditumpahkan ke atas kereta genit ini. Kecil tapi tampil garang. Terutamanya pada sapuan cat ‘air-brush’ yang garang dan berani. Susunan yang ditempatkan untuk setiap unit woofer dan speaker amat teratur dan bijak. Mengelak dari berlakunya kesesakan. Penempatan speaker di pintu but belakang yang bertingkat nampak sangat menarik dan dari kejauhan tak ubah seperti deretan gegendang dalam kumpulan simfoni pergendangan milik Pak Ngah.
Kalau saya kata, tentu ada para pembaca yang tidak percaya, tetapi apa yang boleh saya katakan, kereta Kancil ini berjaya menafikan tanggapan saya di awal tadi. Agak melampau kalau diibaratkan seperti bunyi halilintar tetapi yang berani saya katakan, ia umpama petir yang sabung menyabung. Pasti anda tahu bagaimana keadaannya petir yang sabung menyabung tak berhenti-henti, betul tak?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 23