Cabaran terbesar saya hadapi sekarang ialah menyiapkan 9 artikel dalam masa yang hanya tinggal tak sampai seminggu. Itu bukanlah perkara yang anda nak buat dalam keadaan kepala bercelaru, idea yang entah kemana dan kereta yang nak ditulis adalah versi yang hampir sama saja kesemuanya. Jika ada pilihan, saya rasa nak upah orang lain buat kerja yang dibuat sekarang tapi inilah kerja. Bila bekerja kita ada tanggungjawab. Tanggungjawab bermakna kerja untuk meneruskan hidup sebab kalau direnungkan kehidupan ni, berapa ramai orang di luar sana yang susah tanpa pekerjaan?

Jadi bersyukurlah dengan rezeki yang ada. Tanpa duit, kita tak boleh hidup. Nak masuk tandas pun kena bayar apa lagi nak beli nasi, isi minyak, bayar rumah, bayar kereta dan bagi makan pada keluarga. Ada orang buat kerja lebih teruk dari apa yang kita lakukan sekarang. Hmmm. Sebenarnya, semua salah sendiri, artikel ini sepatutnya disiapkan seminggu lepas, bila tangguh dan terus menangguh, inilah akibatnya. Tapi tak mengapa sebab saya masih ada kerja!

Bila kita ada kerja maknanya kita ada duit. Tapi duit saya tidaklah sebanyak duit pemilik Vios ini yang cukup gila modifikasi audio. Kereta ini dari pemilik sama 3 buah kereta audio disimpan untuk suka-suka. Itu hanya boleh berlaku bila anda ada duit lebih yang boleh dilaburkan pada kereta. Sudah tentulah saya tidak mampu pada tahap ini, jangankan nak pasang sistem audio, beli Vios standard pun belum tentu pinjaman bank boleh lulus.

Walaupun kereta ini tidak menerima pengubahsuaian audio ekstrem, pemilik kereta ini menambah peralatan dalam jumlah yang agak banyak. Bila dikira-kira, kos membinanya hampir dengan kereta sebelumnya. Ia bermula dengan pemain Pioneer DEH-P5450B, pemain yang sangat dipercayai oleh kebanyakan penggemar audio SPL dan juga SQL. Pemain ‘entry level’ yang paling tidak memberikan masalah, mungkin P5450B ini adalah salah satu darinya.

Pemain cakera padat tunggal ini digandingkan dengan pre-amp Bomb 7 saluran yang mengambil-alih fungsi penalaan bunyi sepenuhnya. Ditala oleh pemiliknya sendiri, isyarat dibahagi dan diperkuatkan kepada 3 unit amplifier; 1 unit amplifier monoblock Adams Digital EXA-2500.1D dan 2 unit amplifier 4 channel Adams Digital ADS-80.4. Jika anda telah mahir dengan bacaan kuasa sesuatu produk, membina kereta seterusnya tidaklah menjadi satu masalah.

Dari luar, kereta ni mungkin kelihatan sangat biasa, tapi sebaik but belakang dibuka akan kelihatan susunan peralatan yang dibuat dengan cukup teliti, menandakan pemiliknya seorang yang serius. Kelihatan ialah 2 unit woofer 12” Adams Digital yang dilekapkan dalam kotak kayu buatan khas yang dibaluti fabrik merah hitam. Ia juga menempatkan selinder angin dan speaker.

Speaker yang dipasangkan pula dibahagikan kepada dua bahagian; but belakang dan boot lid. Manakala speaker Adams Digital EX600 dari siri Energy telah dipilih untuk menerajui bahagian ini. 4 unit diletakkan di bahagian but manakala 4 unit lagi dilekapkan pada perumah khas pada boot lid.. Speaker yang dipasangkan pada boot lid ini diharapkan bagi menghasilkan bunyi lebih ‘terang’. Tidak dilupakan, 2 unit tweeter Adams Digital yang berkongsi kedudukan dengan woofer. Semua peralatan mendapat sentuhan trimming seragam, mungkin ia adalah skema fabrik yang digemari pemilik.

Kalau diperhatikan sebetulnya, kereta Vios ni mempunyai jiwa yang sederhana. Prestasi bunyi sebenarnya semua di bahagian but. Ia lebih kepada pertunjukan berbanding keenakan sewaktu memandu. Bahagian kokpit kereta ni tidak menerima sebarang pengubahsuaian sekaligus membuktikan tujuan asalnya adalah untuk menandingi kategori External SQ atau disebut ESQL. Realitinya, kategori pertandingan audio berubah mengikut perkembangan semasa dan kehendak pasaran. Justeru, pengikutnya sentiasa hadir dengan idea baru.

Walaupun industri aftermarket dan aksesori kurang rancak sejak kebelakangan ini, kita masih boleh lihat perniagaan dalam bidang ini masih bergerak. Kami menghadapi pembekal dan pembuat setiap hari dan ramai yang mengeluh keadaan pasaran yang tidak berapa bagus semenjak pertengahan tahun lalu. Ramai yang tidak sedar, ia menandakan ekonomi kita kurang sihat kerana orang kurang berbelanja dan itu tidak bagus untuk pertumbuhan ekonomi negara.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 41






















