Lain dari yang lain. Bukan sahaja lengkap dengan sistem audio, Jazz ini mengangkat kesenian batik sebagai teman. Kereta Jazz ini bukan dari Malaysia, sebaliknya milik wanita dari seberang yang dikenali sebagai Kumala Intan. Beliau memilih tema batik untuk menghiasi eksterior dan interior demi melahirkan kecintaan terhadap seni batik yang bukan sahaja terkenal di Malaysia, malah merupakan kesenian yang cukup dibanggakan warga Indonesia (selain dangdut).
Kumala menggunakan kain batik tulisan asli bercorak parang yang bergaya daerah Pati-Bakaran tanpa menggunakan teknik airbrush yang sering menjadi pilihan atau pelekat. Sebaliknya, beliau menggabungkan kain batik dan pelekat ilustrasi seorang wanita yang sedang membatik, lengkap dengan peralatan batik seperti tungku dan canting. Begitu juga dengan interior, hampir setiap inci dilapisi batik bercorak parang tadi. Bermula dari dashboard, panel pintu sampai ke konsol tengah dan dipadankan warna dominan coklat dari batik dengan warna merah maroon.
Bagi memberi padanan yang sesuai dengan kelembutan seni batik ini, Kumala telah memilih setting SQL dan sistem audio ini dikemaskan dengan susunan yang menarik di bahagian kabin belakang. Bercerita tentang audio, Kumala telah menggunakan pemain utama Alpine CDA-9855 yang disepadukan dengan gugusan speaker 2-way dari Morel Maximo, dibina khas untuk kabin hadapan dan ia adalah satu pilihan yang tepat!
Di bahagian belakang, dilengkapi dengan 1 set speaker Pioneer dengan kosmetik bergaya bersama jajaran akrilik, memancarkan iluminasi dan menempatkan 2 unit subwoofer Rockford Fosgate berukuran 12 inci. Kedua-dua unit subwoofer ini sengaja tidak diletakkan sejajar dan dikuasakan monoblock Lightning Audio LA-4200. Hasilnya tidak mengecewakan dan seiring dengan cara ia ditampilkan. Sedap mata memandang, sejuk telinga mendengar…





















