Kancil ada banyak Kancil dan semua Kancil berbeza dengan Kancil yang lain. Aih, berapa punya banyak Kancil dalam satu ayat? Sebenarnya, memang benar yang Kancil kali ini bukan biasa-biasa kerana ia bukan sahaja pernah dirisik malah pernah menghiasi majalah di sana. Kancil dengan kelengkapan audio dari Prokick ini benar-benar menambat hati perhatian peminat audio di Indonesia. Kenapa?
Kalau dilihat dari sudut penampilan, Kancil ini telah diubah dengan menggantikan gril serta bampar custom. Nampak lebih macho dan garang di situ. Kemudian, di bahagian belakang pula terdapat spoiler yang membuatkan ia tampil lebih sporty yang dipadangkan dengan rim Velg Racing 14”, serasi dengan badan Kancil yang kecil ini.
Namun, keunikan sebenar Kancil ini terletak pada sistem audio yang ditutupi oleh bulu-bulu palsu. Tak, tiada apa yang istimewa dengan bulu-bulu tapi perangkat audio yang hampir tersembunyi di sebalik bulu-bulu tadi. Di bahagian kokpit atau lebih tepat lagi, di bahagian dashboard, pemilik kereta ini telah menggunakan pemain utama dari JVC KDV4405 yang kemudiannya menyampaikan data audio kepada semua bahagian sistem audio yang ditunjangi jenama Prokick.
Sebanyak dua unit amplifier Prokick LS 4000D telah digunakan untuk memacu 8 unit subwoofer yang masing-masing dengan kekuatan 1200 watt. Seterusnya, bagi frekuensi tinggi, sebanyak 16 unit tweeter telah dipasangkan sekali gus mendominasi seluruh interior yang dikuasakan oleh dua unit amplifier. Bagi memberi kestabilan untuk kekuatan suara, sebanyak 2 unit power stabilizer digunakan yang terletak di pintu penumpang belakang.
Sistem audio yang kini telah lengkap, menjadikan sang Kancil semakin perkasa jika terpaksa bersaing dan berentap dengan kereta-kereta lain. Tak gitu?