Jarang benar kereta sport dimodifikasi dengan sistem audio serius, apatah lagi kereta dari jenama yang dibangunkan untuk tujuan prestasi; sebagai contoh kereta Audi TT ini. Jarang bukan bermaksud tidak pernah tetapi sukar ditemui. Bak kata orang, ia adalah modifikasi eksklusif. Audi TT ini adalah salah satu contoh modifikasi ekslusif.

Sebagaimana kereta-kereta terdahulu, Audi TT ini pula dilengkapi jenama Dominations; jenama yang boleh digolongkan dalam kelas hi-end ekoran kualiti dan prestasi cemerlang ditempanya saban tahun. Tidak dinafikan, Audi TT ini sudahpun didatangkan dengan sistem audio lengkap dari kilang; pemain CD dengan slot MP3, amplifier 5 channel, 5 unit speaker, slot iPod dan juga bluetooth. Adakah ia cukup memuaskan bagi seorang pencinta audio?
Beginilah, kalau setiap pengeluar kereta mampu menyediakan set audio sistem lengkap yang berjaya memuaskan kehendak semua pencinta audio, apa gunanya pula pengeluar sistem audio?

Tak cukup dengan keselesaan kerana sehebat manapun kereta itu kalau tersekat dalam kesesakan, perkara yang boleh menemankan pemandu hanyalah hiburan. Benar, bukan? Tapi, itu hanya salah satu dari sebab yang sangat biasa. Bagi pencinta audio, kesempurnaan adalah perkara utama pemasangan sistem audio. Tidak kiralah kereta jenis apa sekalipun, yang penting sistem audio haruslah sentiasa mendahului.

Audi TT antara kereta sport digemari pencinta kereta di Malaysia. Selain binaan yang solid dan prestasi cemerlang, ia mampu dimiliki berbanding kereta sport lain kerana harganya belum mencecah setengah juta. Mungkin, penjagaannya sedikit rumit. Itu menurut segolongan pemilik kereta ini. Namun, sebahagiannya lagi mengatakan penjagaan Audi TT tidak serumit mana, asalkan bijak mencari pusat servis sesuai.

Bagi meningkatkan kualiti sistem audio, pemiliknya menghantar kereta Audi TT ini ke Good Young Hi Fi Accessories Centre yang beroperasi di Taman Perling untuk menjalani proses penyalinan audio penuh. Bermula menerusi penggantian pemain utama yang didatangkan dari kilang dengan pemain Alpine; IVA-W520E. Pemain 2-din ini dilengkapi skrin sesentuh LED 7” dan DAC 24-bit BURR-BROWN; memberikan kualiti bunyi tinggi yang sangat jelas tanpa sebarang distorsi.

Mempertingkatkan kualiti dihasilkan pemain Alpine ini, Good Young menambah pemproses dari Audison; Bit Ten yang sememangnya dikenali kerana reputasinya. Didatangkan bersama 32 bit, 147 Mhz DSP dan juga 24 bit A/D serta penukar D/A, Bit Ten dikawal perisian yang dibangunkan khas untuk mengolah isyarat terhadap keganjilan akustik pada kenderaan. Bit Ten juga secara automatik membina semula isyarat stereo digital jalur-lebar penuh dan sekiranya perlu, ia membina semula laluan untuk speaker tengah dan woofer.

Menerusi pemproses Audison Bit Ten ini, maka terbentuk pula dua laluan; speaker hadapan dan juga woofer. Sebelum itu, dua unit amplifier dipasangkan terlebih dahulu khusus untuk memacu speaker dan woofer. Dua unit amplifier ini dipilih dari jenama Mercury; 1 unit amplifier tiub 4 channel Mercury MCR-T4080 dan 1 unit amplifier monoblock Mercury MCR-800.1.

Kesemua amplifier ditanamkan di ruang letak barang dalam perumah khas yang dibina dari gelas arkilik. Amplifier 4 channel tiub dipasang untuk memacu 2 unit mid bass 6” Dominations RS-62 dan 2 unit tweeter Dominations. Demi mendapatkan bunyi ideal, staging yang tepat harus diambil kira. Memandangkan sistem talaan dipilih adalah SQ 2-way, seunit tweeter dipasangkan pada A pillar di bahagian kiri dan kanan. Begitu juga dengan pemasangan 2 unit mid bass 6”, setiap satunya dipasangkan di panel pintu hadapan.

Melengkapkan set sistem audio Audi TT ini ialah seunit woofer 10” Dominations D230MKII. Lebih menarik lagi, apabila woofer ini ditempatkan dalam perumah khas yang dibina dari gelas arkilik. Seunit amplifier monoblock Mercury yang disebutkan di awal tadi ditugaskan pula untuk memacu woofer ini bagi mendapatkan dentuman bass seperti yang diperlukan sebuah set sistem audio talaan SQ.

Adalah amat mustahil untuk melakukan pengubahsuaian yang ekstrem terhadap kereta sport terutamanya seperti Audi TT ini. Tindakan pemilik dan juga Good Young dalam membina sistem audio tanpa mencederakan interior dan eksterior kereta ini harus diberikan kredit. Amat penting mengekalkan originaliti untuk sesuatu yang sangat eksklusif. Anda setuju?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 39
































