Setelah hampir dua tahun sejak kali terakhir menjadi tuan rumah untuk perlumbaan Formula 1, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kembali dengan perlumbaan kereta Asia GT Festival yang bermula tahun ini. Diadakan pada 15 hingga 17 Mac lalu, siri perlumbaan terbesar Asia Tenggara ini merupakan kesinambungan daripada Kejuaraan GT China. Penganjuran perlumbaan di Sepang ini menjadi pusingan pertama yang diadakan di luar Malaysia sebagai permulaan untuk memasuki peringkat saingan antarabangsa.
Dianjurkan dengan kerjasama antara Country Height, Goldenport Enterprise China, Motonation dan Malaysia Speed Festival (MSF), sebanyak 2 kelas dipertandingkan iaitu GT3/GTC, GT4 dan MSF Super Turismo dalam saingan Malaysia Speed Festival. Perlumbaan pertama Asia GT Festival ini mendapat sambutan agak memberangsangkan apabila dikunjungi hampir 40,000 orang sepanjang 3 hari ia berlangsung dan melibatkan penyertaan sebanyak 35 kereta dari luar negara serta pelumba tanah air.
Selain perlumbaan kereta yang menghidangkan aksi-aksi mendebarkan di atas litar, festival yang diadakan dalam suasana santai serta mesra keluarga ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti sampingan yang menarik. Antaranya termasuk persembahan daripada pelbagai jenama automotif dan juga kelab-kelab kereta, simulator perlumbaan dan juga food truck yang sekali gus memberi ruang serta peluang perniagaan kepada para peniaga tempatan.
Lebih menarik lagi, Asia GT Festival ini turut disertai seramai 40 orang ahli Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) yang terdiri daripada usahawan selebriti untuk Celebrity Bazaar. Antara yang mengambil bahagian dan memeriahkan lagi Celebriti Bazaar ini adalah Syanie Hisham selaku jurucakap GTAS, Siti Fairuz, Badrul Muhayat, Anne Abdullah, Ayu Damit dan Zakiah Anas. Tidak ketinggalan, persembahan artis-artis popular tanah air yang menyemarakkan lagi penganjuran Asia GT Festival ini seperti SonaOne, Joe Flizzow, Izzue Islam dan ramai lagi.