Pemilihan nama dan penggunaan ikon adalah antara faktor-faktor penting bagi sesuatu jenama. Ada pelbagai alasan bagi menguatkan pemilihan sesuatu ikon ini. Selain membuatkan bakal pembeli tertarik dan mudah mengingati namanya, ia perlu mewakili secara ringkas dan sekaligus menggambarkan kualiti produk tersebut. Begitu juga dengan jenama yang Exspider ini.
Sejajar dengan penggunaan ikon labah-labah hitam dan putih, produk keluaran jenama Exspider terus memerangkap deria pendengaran melalui bunyi yang dihasilkan. Sama ada melalui paduan bass yang mantap, mahupun kuasa yang dibekalkan menerusi amplifier keluarannya. Jenama yang menjadi pilihan ramai penggila I.C.E dan juga para installer ini turut menjadi pilihan utama salah seorang penggila I.C.E yang datang dari utara Malaysia iaitu Gurun, Kedah. Beliau yang dimaksudkan ialah Azizan atau lebih selesa dipanggil dengan nama samarannya, Pijan.
Pijan yang segak tampak lebih berbisa tatkala keluar dari kereta Iswara yang sarat dengan pelekat Ekspider di dinding keretanya. Malah saat keretanya meluncur masuk kawasan penggambaran, riuh segenap ruang dengan bunyi yang dihasilkan. Bunyi itu sahaja sudah mampu meracuni setiap rongga telinga yang mendengar dan menerbitkan rasa cemburu dan irihati pemilik kenderaan yang lain. Keluar sahaja dari kereta, Pijan sengaja membuka pintu luas-luas. Maka berselerakanlah bunyi dari set lengkap sistem audio Expider memenuhi ruang.
Seakan gempa, bergegar dirasakan tapak kaki yang memijak bumi. Cukup berbisa dan bertepatan dengan namanya, Poisonous Exspider. Dek kerana khayal dengan bunyi yang dihasilkan, terlupa seketika tentang kewujudan kereta yang membawa set Exspider itu. Tak kurang hebatnya juga kereta milik Pijan ini. Iswara Aeroback hitam keluaran tahun 2004, nampak bergaya dengan hiasan jaringan Exspider. Secara jujurnya, sistem audio yang ada pada kereta ini telah mengaburi kehadiran kereta Iswara ini.
Pijan berjaya melengkapkan diri dan bangga menggelarkan diri sebagai peminat I.C.E tegar. Tidak dinafikan yang minatnya itu terhadap dunia I.C.E telah berputik sejak dia menamatkan zaman persekolahan lagi. Beliau berasa amat bertuah dan bersyukur kerana memiliki seorang isteri yang amat memahami dan sentiasa memberikan sokongan terhadap minatnya sejak zaman remaja itu.
Beliau membelanjakan sebanyak RM25,000 dan dalam usaha mencuba pelbagai jenis jenama bagi mencari bunyi yang diidam-idamkannya. Memang sudah menjadi sifat semulajadi manusia, mencari dan akan terus mencari selagi tidak dapat memenuhi kehendak yang diidam-idamkan. Sehinggalah beliau ditemukan dengan jenama Exspider ini. Nyata jenama berbisa ini berjaya memerangkap perhatian Pijan dan sekaligus membuatkan beliau menjadi penggemari jenama ini. Tidak hairanlah, jika dilihat kesemua isi I.C.E. Iswara ini dibanjiri dengan jenama Exspider.
Mungkin kerana jenama Exspider belum ada mengeluarkan produk HU, jika tidak pasti itu juga yang menjadi pilihan Pijan. Disebabkan itu juga, Pijan telah memilih HU dari jenama Panasonic model CQ-VD7001W. HU ini bukan sahaja boleh memainkan fail dalam bentuk CD mahupun MP3, malah ianya juga berkemampuan memainkan fail dengan format VCD, DVD dan WMA. HU ini amat mudah dikendalikan iaitu hanya dengan sentuhan hujung jari serta didatangkan bersama dengan LCD skrin lebar bersaiz 7 inci. Duduk lama-lama dalam kereta pun, macam santai di ruang tamu. Betul tak?
Bagi memperkemaskan kualiti yang dipancarkan melalui HU ini, Pijan telah menggunakan 3 unit monoblock Exspider EXM-1000.D dan 2 unit amplifier 2 channel Exspider EXA-100.2 yang kemudiannya disalurkan pula kepada set speaker dan woofer dari jenama Exspider. Setiap satu unit monoblock digunakan untuk 2 biji sub-woofer berukuran 12” model EXD-12D. Manakala unit amplifier digunakan untuk disalurkan kuasa kepada 2 biji mid bass 6” EX-650M, 1 biji neodymium tweeter dan juga 1 biji horn tweeter EX-25T.
Melihatkan kelengkapan I.C.E milik Pijan ini, pasti ada yang bertanya sama ada ianya pernah membawa kemenangan kepada tuan punya badan. Mustahil! Mustahil tak menang. Buktinya, Pijan telah berjaya memenangi pertandingan audioshow yang pernah disertainya dan salah satunya pernah menabalkan beliau sebagai juara. Kemenangan sebagai juara itulah antara kenangan manis yang sukar untuk dilupakannya dan berharap di masa akan datang, Poisonous Exspider akan membawanya ke tahap yang lebih tinggi lagi.
Walaupun berbangga dengan keretanya, beliau juga rasa terkilan kerana pernah ditipu penganjur yang hanya mengambil kesempatan atas kehebatan I.C.E yang dimilikinya. Ia juga boleh dijadikan peringatan kepada para peminat I.C.E yang lain juga, diharapkan dapat menilai sesuatu untuk mengelak dari ditipu oleh golongan ini. Apa-apapun, Pijan menjadikan ia sebagai salah satu pengalaman pahit dan terus dengan gaya berbisanya di samping Poisonous Exspider ini.