Jika sebuah peti sejuk sekalipun dinamakan dengan GTR, ia pastinya sebuah peti sejuk yang hebat. Ikonik gabungan tiga huruf ini menjadikan GTR satu lagenda dalam arena permotoran meletakkannya status tertinggi dalam ikon automotif di Jepun. Susunannya mudah, tiga huruf yang merujuk kepada mesin 4 roda yang matang, berkuasa dan bersedia ‘membaham’ pesaingnya pada bila-bila masa.
Begitu hebat nama GTR sehingga ia menular kepada beberapa jenama lain seperti Kawasaki GTR dan juga produk yang bukan dari Jepun. Pada satu ketika dalam unjuran sejarahnya, GTR telah menamatkan riwayatnya pada 2003 dengan barisan pengeluaran Skyline GTR R34 Nismo. Namun kegemilangannya kembali lima tahun selepas itu apabila Nissan GTR, kereta sports ‘heavyweight’ pertama Jepun lahir dengan begitu bergaya.
Kereta ini penting dalam meletakkan penanda aras baru dalam industri automotif di Jepun. Seperti yang dapat kita lihat, industri automotif Jepun selepas tahun 2000 melalui satu fasa lembap dari aspek jualan kerana mereka sudah berada di kemuncak agak lama. Pengeluar juga tidak lagi memberikan tumpuan penuh pada pembangunan kereta sports sebaliknya meluaskan teknologi hijau dan ‘efficiency’. Bila pasaran memintanya begitu, arah tuju sektor automotif Jepun terikut-ikut dengan trend pemasaran baru ini menyebabkan kurangnya kelahiran kereta sebegini. Nissan yang tidak mahu legasi lagenda mereka terkubur begitu sahaja telah melahirkan semua Skyline dengan nama tunggalnya, GTR pada tahun 2008.

Kereta sports premium ini disasarkan kepada pasaran yang tidak disentuh sebelum ini. Ia mengambil Porsche 911 sebagai penanda aras dan bila jadi begitu, gaya keseluruhan dan kemasan dalamannya juga dinaiktaraf dengan kombinasi premium. Seperti juga ‘adik’nya Nissan Fairlady, GTR dibekalkan dengan sistem audio Bose.

Namun sistem audio ini masih lagi menghasilkan output terhad bagi peminat audio tegar. Baru-baru ini kami telah berjaya menemui sebuah GTR yang dinaiktaraf. Ia jarang berlaku. Lihat saja pada Porsche, jarang orang menukar pemain utama mereka kerana ia memang berkelajuan 32 bit pemproses yang bagus. Pemain utama GTR ini dikekalkan pada posisinya. Peningkatan yang dibuat pada tahap ini ialah menambah 2 unit woofer di dalam but belakang dan menggantikan speaker panel hadapan kepada jenis komponen yang kesemuanya dari jenama Nakamichi.

Nakamichi bukanlah jenama asing, mereka adalah pemain besar dalam industri pemain utama satu ketika dahulu, namun pasaran di Malaysia agak tenggelam disebabkan pengedarnya yang kurang aktif. Cuma baru-baru ni kami difahamkan hak edarannya telah diambil alih dan strategi pemasarannya kini lebih agresif.

Speaker pada panel pintu hadapan ditukar kepada unit Nakamichi SP-CS650. Peralatan komponen ini datang dengan 2 unit tweeter dengan pemasangannya dibuat pada perumah kecil pada pintu tersebut. Ia kelihatan seperti lokasi asli kerana bagi rekaan kereta sports begini, lokasi pilihan adalah sangat terhad.

Komponen speaker ini mendapat kuasa daripada amplifier 4 channel Nakamichi PM-400.4. Amplifier ini dipasangkan di dalam but belakang bersama dengan seunit lagi amplifier. Kali ini ialah amplifier monoblock Nakamichi PM-1400.1. Ia bertugas untuk membekalkan kuasa secukupnya kepada 2 unit woofer yang dipasangkan pada kedua-dua belah sisi pemasangan amplifier tadi. Woofer Nakamichi SP-W3500D ini dilekapkan dalam kotak khusus yang cukup-cukup sahaja ruang yang ada bagi membolehkan hud belakang dibuka dan ditutup tanpa sebarang gangguan.

Kemasukan peralatan ini menyebabkan ruang but tadi tidak berbaki. Mungkin cukup untuk meletakkan beberapa barang kecil. Yeah, begitulah realitinya kereta sports. Kalau mahu berbalah soal ruang, jangan beli GTR. Ini kereta yang direka untuk penggemar yang fokus terhadap kuasa dan pengendalian.

Pada asalnya kereta ini diimport dari Jepun dengan warna kelabu yang agak membosankan. Pemiliknya tidak menunggu masa yang lama dan menyemburkannya dengan warna oren terang. Namun beberapa bulan selepas itu, beliau sedar bahawa warna tersebut terlalu menarik perhatian. Ekoran citarasanya yang selalu berubah, kereta ini kemudiannya dibalut dengan pelekat warna merah hati. Ya, walaupun warna agak lembut, tapi ia masih nampak menakutkan!



























