Sebut sahaja McIntosh, semua orang bersetuju bahawa ianya produk keluaran Apple yang berpengaruh. Jika dunia hari ini dikelilingi teknologi i-Phone, McIntosh (Mac) merupakan perintis terhadap sistem komputer yang bermula sejak dekad 70-an lagi. Dalam dunia rekaan dan grafik, Mac masih lagi harapan besar dalam industri. Lama sebelum Adobe Photoshop diperkenalkan kepada pemproses Intel untuk PC, semua kerja grafik dengan Photoshop bergantung sepenuhnya pada sebuah mesin bernama McIntosh.

MCINTOSH. Ia bukanlah ejaan yang salah tetapi ia adalah jenama premium dalam industri audio. Ia ibarat Louis Vuitton atau Coach. Tiada yang dapat menandinginya. Falsafah tradisinya tidak pernah mengubah rekaan. Dari 20 tahun dahulu, rekaan produk McIntosh sangat klasik menjadikannya satu-satunya jenama yang kekal dengan tradisi begitu. Lihat sahaja pemain pada kereta ini, sekali imbas kelihatan macam pemain kaset!

Syarikat ini ditubuhkan pada 1946 oleh Frank McIntosh, seorang pereka di syarikat penyiaran TV. Bertitik dari situ, syarikat ini berkembang menjadi peneraju sistem penting seperti Unity Coupled Circuit yang masih digunakan shingga ke hari ini. Walaupun dibeli oleh Clarion pada 1990, falsafah syarikat ini tidak pernah diganggu. Hampir 10 tahun lalu, McIntosh beralih milikan kepada D&M Holding dan tetap meneruskan legasi jenama mereka.

Jika anda ingin membeli produk dari katalog McIntosh dan mengharapkan pilihan seperti brosur Suria KLCC, lebih baik lupakan. Tidak lebih sedozen produk diperkenalkan setiap tahun. Mereka tidak memberi tumpuan yang serius pada bisnes audio kenderaan. Namun setiap unit produk yang dihasilkan dalam segmennya memberi impak yang sangat besar. Sebab itu, anda tidak akan jumpa produk ini setiap hari. Ia dipilih untuk mereka yang benar-benar tahu memilih.

Camry milik Alvin ini dipasangkan dengan kelengkapan McIntosh yang pelbagai. Unit pemproses utamanya ialah McIntosh MX4000. Clarion pernah menghasilkan model saingannya iaitu 9575, tetapi sama seperti Nissan GTR dan Porsche 911 turbo. Keduanya sama laju tapi Porsche memiliki tarikan jenama dan gaya. MX4000 adalah pemain yang cukup ‘bersih’, ia mungkin satu-satunya pemain yang boleh mencabar ODR dalam indusri. Namun McIntosh tetap tidak mahu berganjak dari falsafah meskipun membuat sebuah peralatan hiburan untuk tahun 2010. Jangan harap untuk membaca media MP3 atau pun output USB. Bersama pemain ini ialah McIntosh MPM4000, pemapar meter bacaan berlatar biru yang membolehkan kadar sirkit kuasa dipantau supaya sistem tidak terlebih ‘blast’.

Jika MX4000 dianggap pemain terbaik, ia masih belum sempurna dengan sebuah alat pengubah digital kepada analog yang dikenali sebagai DAC unit. McIntosh mempunyai siri MDA4000 DAC sendiri iaitu unit yang dicadangkan khas pada setiap pemain MX4000. Uniknya, siri pengeluaran model McIntosh begitu identikal dengan siri nombor 4000 dan 5000 (yang mana unit DAC turut hadir dengan pola nombor serupa).

Selepas head unit ini, sistem kemudiannya diteruskan dengan sebuah equalizer Audiocontrol EQL. Baiklah, jika anda biasa dengan EQL, ia adalah antara penala EQ terbaik di pasaran, masalahnya outputnya cuma 2 saluran. Mujurlah Audiocontrol mengeluarkan produk seperti 4XS, crossover elektronik yang membolehkan setiap signal dari EQL dipecahkan kepada 4 saluran. Itu bermakna setiap satu speaker dari keluaran 4 chanel boleh ditala secara individu.

Alvin memilih sistem 3 way untuk mendapatkan pecahan bunyi SQ. Sebenarnya, jika anda bercakap tentang speaker bagus, banyak yang boleh dipilih di pasaran, namun ianya berkenaan corak pemasangan yang betul dan talaan yang tepat. Pemilik memadankan speaker Focal 3 inci bersama tweeter yang sama di bahagian pillar. Ini bukanlah Focal cap ayam yang begitu banyak sekarang di pasaran. Hati-hati semasa membeli kawan. Beli di kedai yang ada reputasi atau pegedar yang sah. Bagi seorang yang bertelinga sensitif seperti Alvin, dalam sesaat pun beliau boleh tahu speaker tersebut asli atau tiruan!

Speaker ini dikuasakan oleh amplifier McIntoch MCC602TM yang terpapar indah di but belakang. Dengan keupayaan distorsi rendah, fungsi pilihan XLR atau RCA dan berat lebih 20kg, ia bukanlah amplifier kelas A/B yang boleh dibeli oleh orang kebanyakan. Harganya dekat setahun gaji saya!

Alvin sememangnya seorang yang gemar jenama eksotik untuk peralatannya. Mid bass di bahagian panel pintu merupakan jenama Scan-Speak dari model Revelator bersaiz 5 ½ inci (atau lebih tepat 5.25 inci). Speaker buatan Denmark ini dikuasakan oleh amplifier Genesis DM kelas A. Ia adalah amplifier dual mono yang sebenarnya tidak banyak ditawarkan dalam pasaran I.C.E.

Woofer pula datangnya dari JL Audio 12 inci. Seunit sahaja sudah cukup untuk mengkoordinasikan keseluruhan sistem dengan kemampuannya memandu bass pada resonan yang tepat (terima kasih pada line driver Audiocontrol). Woofer ini mendapat bekalan kuasa yang mencukupi daripada seunit amplifier Genesis jenis monoblok.

Memang seronok mendapat set-up audio begini. Ia sebuah SQ premium yang cukup membuatkan anda tidak mahu keluar dari kereta. Pada istilah orang biasa, ia satu pembaziran, namun jika anda terjebak di dunia mewah begini, godaan SQ sangat sukar diketepikan. Kelengkapan begini ibarat seperti tinggal di sebuah banglo dengan kolam renang, pembantu rumah dengan tukang masak hotel 5 bintang dan sebuah Scuderia di depan mata!












