Kali pertama melihat kereta ini ialah sewaktu saya melawat ‘tapak’ pembikinannya di sebuah lokasi terpencil di Kelana Jaya. Pada asalnya, ia adalah sebuah Toyota Celica yang diubahsuai semula mengikut spesifikasi aneh – Bugatti Veyron. Sebuah Hypercar ikonik sudah tentu sahaja menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya buat kali pertama.
Dari segi konsep, kereta ini secara total telah ditamatkan perkhidmatannya untuk bergerak secara legal di jalanraya. Kini, ia adalah replika demonstrasi produk audio dari Hertz sepenuhnya. Pun begitu, ia bukanlah persembahan audio berskala penuh yang berdentum-dentam, keutamaannya adalah lebih kepada sifat estetik dan kosmetik.
Susunan peralatan Hertz ini meliputi segenap bahagian utama kecuali pada unit yang tidak mereka hasilkan seperti pemain utama, monitor TV dan juga kabel-kabel kuasa berprestasi tinggi. Pertembungan antara budaya kosmetik dan realiti dalam sistem bunyi kenderaan akhirnya menghasilkan sebuah produk yang sangat berbeza, lain dari yang lain. Projek begini jarang muncul dan menghasilkannya dalam dunia sebenar memakan masa yang lama. Lebih tepat lagi, kereta ini menjangkau hampir setahun lamanya untuk disiapkan.
Pemain utama yang digunakan pada kereta ini datangnya daripada Sony model XAV-65. Ia merupakan pemain Dvd 2-din paling asas dalam rangkaian jenama Xplod Sony, model ini sudah memadai untuk menghantar isyarat bunyi dan visual yang diperlukan. Walaupun tanpa fungsi yang ‘catchy’ sebagaimana pemain buatan China tapi ia kekal lasak dan boleh diharapkan.
Sebanyak 4 unit amplifier Hertz digunakan. Ia terdiri daripada 2 unit amplifier 4 saluran HCP4 dan 2 lagi amplifier monoblok HCP1D. Seperti yang tertera pada spesifikasinya, saluran kuasa ini dibahagikan secara konsisten pada unit-unit speaker berkualiti tinggi juga datangnya dari jenama Hertz.
4 unit woofer koil berkembar 12” Hertz DS300.3 memberi sumbangan dentuman bass yang jitu. Dipasangkan dalam but rekaan khas di belakang di mana kalau mengikut teori binaan asal adalah posisi enjin W12 Veyron. Liang-liang udara, tempaan lubang kosmetik itu menggunakan tema warna oren (yang merupakan warna korporat Hertz) digunakan secara meluas.
Di kedua-dua belah bahagian sisi ‘hud’ belakang kereta ini pula dipasangkan dengan speaker komponen DSK 165.3 yang terdiri dari 2 unit mid bass dan 2 unit tweeter. Kedudukannya yang berada satu tingkat lebih tinggi dari lokasi woofer memberi imbangan bunyi yang harmoni dan sekata. Menjadikan sistem ini lebih lengkap ialah pemasangan monitor TFT di bahagian pintu luar dan juga sebuah skrin 21” yang diletakkan menghadap posisi belakang.
Sistem bunyi ini masih tidak lengkap. Secara kasarnya, sesiapa sahaja akan menganggap ia sudah pun sempurna tetapi pemasang telah memasangkan dua unit speaker coaxial Hertz DCX 170.3. Dipasangkan di kedua-dua dinding di tempat duduk penumpang bahagian belakang, ia boleh dikatakan ia sebagai senjata rahsia disebabkan kedudukannya yang agak tersembunyi di sebalik ‘pentas’ yang dibuat khas untuk mengisi barisan amplifier tadi.
Kereta ini jarang sekali dibawa ke tapak pertandingan atau pameran. Malah, ia tidak pernah dipertandingkan secara serius. Seperti yang dijelaskan tadi, matlamat binaannya adalah sebagai interpretasi hasil seni, kemenangan dan pujian terhadap sistem bunyinya adalah satu bonus. Sejujurnya, saya juga tidak kisah tentang bunyi yang dihasilkan, kereta ini harus dinilai tentang sejauhmana mutu terhadap kerja customization yang dijalankan.
Kita sedia maklum dengan keadaan ekonomi yang perlahan dan kuasa beli yang berkurangan. Industri audio berada pada tahap yang sangat tidak bagus pada hari ini. Banyak peniaga mengurangkan operasi dan melihat hasil kerja begini jadi hampir mustahil. Ramai peniaga yang lebih mengutamakan survival perniagaan berbanding sesuatu yang dibuat untuk hobi.
Harapan kami adalah kita sama-sama menyokong industri ini supaya ia terus kekal relevan untuk generasi akan datang.