Pesta Jualan Tahap Gaban melanda para penduduk Kuala Selangor selama sepuluh hari bermula dari 26 Julai sehingga 4 Ogos yang lalu. Ekspo Lelong Mur Mur ini telah diadakan di tapak letak kereta Pasar Raya Mustafa yang dahulunya dikenali sebagai Pasaraya Giant.
Bagi makluman anda, ekspo ini menyediakan pelbagai gerai makanan, barang-barang keperluan wanita seperti kosmetik, barang-barang keperluan kanak-kanak dan lelaki yang dijual pada harga yang murah serta berpatutan. Para pengunjung juga berkesempatan membeli makanan serta minuman yang viral di sosial media. Selain itu, pelbagai aktiviti turut diadakan bagi memeriahkan lagi penganjuran ekspo ini.
Antara aktiviti yang disediakan termasuk jualan lelong barangan keperluan, pertandingan karaoke retro, pertandingan karaoke cilik, pertandingan persembahan fesyen kanak-kanak, cabutan bertuah, persembahan artis dan live band. Tidak ketinggalan, segmen Mega Autoshow anjuran Cpurt Event Managment di bawah kelolaan En. Sahul Hamid yang dikenali sebagai Rahul dengan kerjasama Marvelous Mall.
Diadakan pada 3 Ogos, sebanyak 200 buah kereta yang terdiri dari kereta autoshow, audioshow dan kelab kereta telah menyertai acara ini. Manakala kelab-kelab yang terlibat dan menyemarakkan lagi penganjuran segmen khas untuk dunia permotoran ini adalah Suanphak, Killerz Motosport, Viva Community Selangor, SIMC dan KMX. Segmen Autoshow dan Audioshow melabuhkan tirai dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.