KW Autoshow Karnival Sukan Tabah merupakan satu program sukan sempena perlawanan akhir bola sepak piala MB Negeri Sembilan serta beberapa program lain seperti bola jaring dan e-sport. Program ini sepatutnya dianjurkan pada 25 Disember lalu tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran banjir teruk yang melanda Negeri Sembilan.
Bagi menghormati mangsa-mangsa banjir dan kerajaan Negeri Sembilan yang berusaha menyampaikan sumbangan bantuan kepada golongan yang terjejas, program ini dijadualkan semula pada 23 Januari 2022 dan tetap mendapat sambutan yang cukup baik sekali. Pelbagai aktiviti disediakan termasuk hadiah utama cabutan bertuah yang berupa sebuah motosikal Yamaha Y16 serta beberapa buah basikal dan skuter eletrik.
Program ini dimulakan seawal jam 10 pagi dan tamat sekitar jam 9 malam dengan kehadiran motor-motor retro seperti Yamaha RD350, Yamaha RXS yang mengingatkan zaman filem Azura. Program ini menerima kunjungan ramai khususnya dari anak-anak muda. Bagi program motor, pihak KW Motorsport mendapat kerjasama dari Brotherhood RXZ N9 untuk menghimpunkan motor-motor jenis Retro. Tidak lupa juga motor-motor moden seperti Yamaha Y15, Yamaha 135LC, skuter NVX dan lain-lain yang turut dipertandingkan.
Program kali ini menampilkan 2 pelumba motosikal cilik peringkat kebangsaan, Mohd Shah Putra yang berusia 11 tahun dari Seremban dan Muhamad Syhami Aiman yang berusia 12 tahun dari Port Dickson. Kedua-dua pelumba ini turut menyertai SIC Ohvale Junior Championship untuk tahun 2021. Mohd Shah Putra mendapat tempat ketiga keseluruhan dalam kategori 110cc. Manakala Muhamad Syhami Aiman mendapat tempat kesepuluh keseluruhan dalam kategori 160cc.
Dua pelumba cilik ini berpeluang berkongsi pengalaman dalam perlumbaan motor MiniGP bersama YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus dan YB Mohamad Taufek Abd Ghani selaku Exco Pembangunan Belia & Sukan Negeri Sembilan.
Bagi tahun 2022, kedua-dua pelumba akan kembali berlumba ke litar selepas hari raya puasa. Kini, jadual mereka dengan latihan motosikal serta latihan kecergasan di bawah jagaan KW Motorsport Racing Academy dan kedua-dua pelumba ini berlumba dari usia 8 tahun di Minibike Champion.
Manakala untuk program autoshow kereta bermula dari jam 2 petang hingga ke malam. Program autoshow dan gathering kali ini mendapat sambutan yang amat baik dengan kehadiran lebih 70 penyertaan autoshow motor, lebih 300 buah motor club support, lebih 60 penyertaan autoshow kereta dan dianggarkan lebih 400 buah kereta club support. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Harun.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi pengurus program Rizalman Bin Mohammed di 012 – 200 7958.