CRV adalah kereta keluaran salah satu pengeluar automobil terbesar dan terkenal di Jepun iaitu Honda. Ia merupakan kenderaan jenis sport utility vehicle ataupun lebih dikenali dengan singkatan SUV yang berkemampuan membawa penumpang dan juga barang dengan kelincahan trak pengangkut. CRV tercipta ekoran dari permintaan yang tinggi terhadap kereta SUV keluaran Honda dan kemudiannya telah diperkenalkan pada tahun 1996.
Terdapat pelbagai definisi kepada singkatan yang digunakan Honda untuk kereta CRV keluarannya. Di UK, CRV adalah singkatan kepada Compact Recreational Vehicle manakala di tempat lain termasuklah di Jepun sendiri, CRV merupakan singkatan kepada Comfort Runabout Vehicle. Kereta ini juga telah dihasilkan dalam dua ciri iaitu all-wheel drive dan front wheel drive. Malah, ada juga tempat di mana kereta ini didatangkan hanya dengan all wheel drive.
Kebanyakkan pemilik SUV merupakan golongan yang terlibat dalam aktiviti lasak dan mereka yang bekerja dalam suasana mencabar seperti kontraktor dan terpaksa mengharungi hutan belantara serta jalan-jalan penuh lecak juga berdebu. Tidak kurang juga, ada antara pemilik yang memilih kereta jenis SUV demi keselasaan terutama sekali kepada mereka yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai. Tidak kira apa juga alasannya, ia adalah sesuatu yang subjektif kepada pemilik itu sendiri.
Namun bagi Yew Hong Aik atau lebih mesra dengan panggilan Ah Pong, punya sebab yang sendiri. Selain dari keselesaan ketika pemanduan, Honda CRV ini pada pandangannya amat unik dan istimewa jika dibandingkan dengan kereta jenis sedan mahupun kompak. Perkara paling utama, beliau mementingkan keselesaan keluarganya jika dibandingakan dengan perkara lain.
Selepas keluarga, menyusul pula perkara kedua terpenting iaitu minat peribadinya; modifikasi sistem audio keretanya bagi melengkapkan dirinya sebagai peminat dunia audio kereta. Beliau yang juga pemilik kepada sebuah kedai aksesori di Gurun, Kedah telah membelanjakan lebih 30 ribu ringgit Malaysia bagi memenuhi tuntutan minatnya. Sebagai pemilik kedai aksesori, beliau sentiasa terdedah dan berpeluang mengetahui perkembangan semasa dunia audio kereta.
Kelebihan yang diperolehi itu ditambah pula dengan pengalaman bertahun-tahun beliau gunakan dengan sebaik mungkin. CRV berwarna biru yang dimiliki sejak tahun 1999 telah dimodifikasi menggunakan tenaganya sendiri. Tidak hairanlah, CRV yang juga dikenali sebagai CRV Exspider ini tampak kemas dengan menarik. Malah, Ah Pong menyalutkan sistem audionya dengan produk dari jenama Exspider yang mampu memberikan kepuasan kepadanya.

Lebih manis lagi, kereta kesayangannya yang dipenuh muatan jenama Exspider telah ditabalkan sebagai juara. Secara tidak langsung, menambahkan lagi keyakinan dan semangatnya untuk bertanding di pertandingan-pertandingan akan datang. Jika lihat dari isi dalamnya, memang tidak hairanlah kereta ini berjaya menyondol tempat sebagai juara dan mengalahkan kereta-kereta yang lain. Ternyata, sebagai peminat I.C.E, Ah Pong memang bijak memilih.
Sebaik sahaja memasuki CRV Exspider ini, pandangan mata terus tertambat ke pemain unit jenama Epsilon model FW-8700 yang menghiasi ruang kereta ini. Pre-amp dari jenama Exspider model EXQ 888 turut digunakan bagi memudahkan beliau memilih bunyi yang dikehendakinya. Isyarat yang dikeluarkan oleh pemain unit seterusnya disalurkan pula kepada 4 mid-bass speaker 6” Exspider model EX-38T, 2 hi-mid speaker Exspider EX-650MS dan 4 horn tweeter Exspider EX-25T.
Kesemuanya speaker diletakkan dibahagian belakang dan diletakkan dalam custom made enclosure yang nampak kemas mengikut terima kereta Ah Pong iaitu biru. Bagi memacu speaker-speaker tersebut, Ah Ping menggunakan 3 buah amplifier Exspider 2 channel model EXA 100.2. Manakala untuk memacu 6 buah woofer 12” Exspider model EX12D, Ah Pong telah menggunakan 2 unit monoblock MTX dari siri Thunder, model 7801.
Siapa yang tidak terpikat melihat kehebatan sistem audio yang dimiliki oleh Ah Pong ini? Tentu ada tidak puas hanya sekadar melihat dan mahu mendengar dentuman yang mampu dihasilkan. Begitu juga keadaannya dengan Ah Pong yang amat meminati kereta Ferrari ini. Beliau masih belum puas dalam mengubahsuai sistem audionya dan tidak akan berhenti mencari bunyi yang diidamkannya.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 11