Rutin harian berada dalam kereta membuatkan pemandunya penat dan sudah semestinya tidak bermaya. Bagi mengelak terjadinya keadaan ini, ramai yang cenderung untuk menghiburkan diri. Di situ bermulanya minat untuk membina sistem audio yang bukan sahaja dapat menghiburkan tetapi juga dapat memberi ketenangan khususnya apabila berhadapan dengan jalan yang sesak. Boleh buntu kalau duduk lama tak bergerak dalam kereta!
Perkara yang sama terjadi dengan salah seorang pengusaha, Kiat Farly yang sering berada di atas jalan raya demi memastikan segala urusannya berjalan dengan lancar. Bagi memastikan beliau tidak bosan berada lama dalam kereta, akhirnya dia mengambil keputusan untuk memiliki sebuah sistem audio yang benar-benar berkualiti untuk dinikmati.
Beliau mengunjungi installer yang berhampiran di kawasan rumah dan membawa Harrier kesayangannya ini. Langkah pertama yang dilakukan oleh installer ialah, menggantikan pemain utama standard dengan Alpine IVA-W205 supaya suara yang keluar lebih sempurna yang dibantu pula oleh pemproses PXA-701 dan RUX-701 dari jenama yang sama.
Kiat Farly memilih talaan SQ untuk sistem audionya dan bagi memenuhi kehendak beliau, installer telah memakaikan speaker three way dari Venture produk keluaran Jerman yang dikuasakan oleh amplifier 6 channel dari Audison. Manakala subwoofer pula, installer telah menggunakan subwoofer Rainbow berukuran 12 inci yang memiliki low punch cukup baik yang dipacu oleh amplifier monoblock Audison D 1100 Watt.
Sebelum menyudahkan sistem audio ini, installer terlebih dahulu memastikan kabel yang digunakan adalah berkualiti. Maka, installer telah memilih kabel RCA dan kabel speaker Synergi dan kabel strum 0 AWG Audison. Bagi kestabilan, sebuah capasitor Brax 2 Farad dipakaikan. Jadi, kesemua perangkat audio tadi telah dikemaskan dalam perumah yang diperbuat dari akrilik serta dihiasi LED berwarna biru yang diletakan pada kabin belakang.