Pagi itu terburu-buru juga saya bangun mengenangkan nak ke Penang untuk melengkapkan profil foto kereta Perodua Myvi Autotek ini. Disebabkan jarak antara rumah saya agak jauh dari pejabat, saya ambil keputusan keluar awal pagi, kira-kira jam lapan. Memang ia tindakan yang sangat bijak kerana rupa-rupanya jalan sesak dan keseluruhan perjalanan yang biasanya cuma setengah jam menjadi 1 jam setengah!
Bos menunggu di bawah pejabat dengan muka sinis. Ah tak apalah. Sepanjang perjalanan kami berbual panjang pasal majalah, kereta audio, kerja dan sampai di Pulau Pinang tepat jam 1 tengahari (ni kes berhenti minum dan makanlah). Sebaik sahaja sampai di depan premis kedai aksesori, saya dah nampak kelibat Myvi yang akan dirakamkan. Dengan langit yang mula menunjukkan tanda-tanda nak gelap, kami tidak membuang masa mencari tempat yang sesuai untuk sesi fotografi. Saya kira latarbelakang tokong ni menyelamatkan keadaan kereta yang tidak berwarna-warni ini.

Ini adalah kereta produk Autotek yang telah berkembang sejak beberapa tahun lepas dan bagi sebuah negeri seperti Penang, produk audio mudah untuk dipasarkan asalkan materialnya berkualiti, bunyinya memuaskan dan harganya berpatutan. Produk konsumer di negeri utara semenanjung ini mendapat sambutan di kalangan kelab audio yang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Lihat sahaja aktiviti malam minggu mereka, ‘pameran’ audio tidak rasmi bukanlah sesuatu yang asing untuk dilihat.

Kereta ini bermula dengan sistem asal yang dibuat untuk hiburan diri sendiri. Pemiliknya yang tidak mahu dikenali menyerahkan sepenuhnya kerja penambahbaikan audio ini ke satu tahap yang lebih baik. Kerusi asal ditanggalkan dan kekotak woofer dihadapkan ke belakang. Posisinya mengambilalih ruang yang ada dan mengikut teori pemasangnya, kekedapan bunyi dengan saiz kotak yang lebih besar menghasilkan kadar dB yang lebih tinggi, walaupun hanya menggunakan watt yang sederhana besarnya.

Unit pemain 2-din JVC KW-AVX736 mengambil alih fungsi pemain asal. Sepertimana sebuah Myvi standard dengan pemain bina-dalam, kelongsong perumah aftermarket telah dipasangkan bagi membolehkan pemain bersaiz standard dipadankan. Pemain ini yang berfungsi penuh sebagai unit multimedia digabungkan dengan sebuah pre-amp AQ yang bertindak menjadi penala sekunder pada keseluruhan talaan bunyi.

Perodua Myvi adalah antara beberapa kereta kompak yang tidak dipasangkan dengan speaker pada panel pintu bila meninggalkan kilang. Speaker mid dipasangkan pada penjuru dashboard. Rasional disebalik talaan ini adalah membolehkan ruang kaki diperbesarkan tanpa halangan pembesar suara. Bagaimanapun bagi pembinaan untuk staging yang jitu, posisi di bahagian panel pintu masih merupakan lokasi terbaik. Justeru, perumah khas dibuat untuk memuatkan mid bass Autotek MM658CI. Mid bass dengan set komponen ini datang bersama dengan frekuensi bypass crossover pasif dan juga tweeter jenis dome. Kesemua unit ini dikuasakan oleh seunit amplifier 4 channel Autotek M400.4.

Kotak yang memenuhi kabin belakang kereta ini menempatkan 2 unit woofer 12” Autotek MM1204. Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa perlu mengorbankan bahagian tempat duduk belakang hanya untuk sepasang woofer? Teorinya, penempatan begini menghasilkan bunyi yang padat sebagaimana sistem teater rumah. Masalah utama dengan pemasangan woofer jenis konvensional di dalam ruang bagasi membuatkan putaran bunyi terhad dan bahagian kedap dalam kereta menjadi halangan kepada keseluruhan dentuman tadi. Ia seperti anda menempatkan sub di bilik lain dalam sistem teater rumah.

Dengan teknik pemasangan sedemikian, output bunyi hampir pasti 100 peratus diekstrak ke udara dan yang negatifnya sudah tentulah ruang terkorban. Pun begitu, menghasilkan bunyi penuh memerlukan amplifier yang cukup berkuasa. Dalam pembikinan Myvi ini, ia dipasangkan dengan amplifier monoblock kelas D Autotek MM4000.1D.

Menyentuh serba sedikit tentang sentuhan kreativiti yang digunakan untuk eksterior dan interior, seperti yang saya katakan di awal tadi, tidak ada apa yang menarik mahu pun unik. Gabungan pelekat warna silver pada warna kelabu bukanlah sesuatu yang bijak sebaliknya menenggelamkan lagi Myvi ini. Mujur diselang-selikan dengan pelekat warna biru, tetapi itu juga tidak mampu membuatkan Myvi ini menyerlah. Kalau hendak mengharapkan semata-mata kepada kekuatan audio, tentu Myvi ini bukan menjadi pilihan untuk memasuki autoshow.
































