Kalau anda nak tahu, saya hampir beli kereta ini pada tahun lepas sebab kononnya merancang nak perlahankan bajet main kereta. Kereta ini tak laju, tak banyak aksesori dan tak berapa sesuai dimodifikasikan mengikut gaya orang-orang muda. Cukup dengan roda 18” direndahkan, ia sebuah kereta yang memang buatkan saya nampak macam orang tua. Setelah puas berfikir, tak jadi beli sebab saya rasa belum bersedia untuk memandu kereta berat begini.

Model Mercedes dengan kod W210 ini adalah transisi model E kelas generasi lama W124 ciptaan agung yang dibuat bagai kereta kebal dan generasi baru kelas E dibuat penuh dengan komponen elektronik. Setelah berbual panjang dengan pemilik Mercedes berkenaan, ramai mencadangkan W210 ini yang terdiri dari pelbagai varian dan model. Tinggal bergantung pada bajet sahaja.

Ini juga kereta kelas E idola saya. Sebelum sesi fotografi bermula pun saya hampir mengecam kereta ini di sebuah kedai ‘kecantikan’ kereta milik kenalan di Kuala Lumpur. Rasa macam nak tegur dan selepas diselidik, memang betul, ia kereta yang sama. Inilah kereta yang tak pernah kotor, tidak pernah ada debu pun padanya. Basuh tiap-tiap hari!

Pemiliknya bertaraf ‘uncle’ (pakcik) tetapi seperti juga yang pernah anda lihat dalam dunia ICE, sistem audio tidak mengenal usia dan bangsa. Uncle sudah pun melewati usia 60-an, pesara dari syarikat GLC dan kini berkhidmat menjadi fasilitator kejuruteraan secara sambilan. Bila dah sambilan, maksudnya banyak masa terluang. Bukan itu sahaja, beliau dianggap bertuah kerana mempunyai anak sebagai teman untuk berkongsi minat yang sama. Sekejap. Uncle atau anaknya yang bertuah? Sama-sama bertuah, betul tak?

Masa-masa rehat yang berguna sambil melihat hobi bermain kereta telah diperluaskan lagi dengan minat barunya dalam dunia ICE. Ia berlaku secara kebetulan apabila Uncle mendengar sistem dari teman yang bagus kualiti bunyinya. Beliau kemudiannya membuat sedikit demi sedikit modifikasi pada kereta kesayangan yang lebih 10 tahun dimiliki tanpa sebarang pengubahsuaian pada sistem audio. Bermula dari sistem dalaman tanpa woofer ditingkat kepada pemain Pioneer P80RS dan akhirnya merombak sistem kepada jenis SQ yang lebih serius.

Sistem terkini pada kereta ini bermula dengan pemain utama Pioneer AVH-P7850DVD. Bagi mendapatkan kualiti terbaik dari pemain ini, ianya digandingkan dengan set pemproses Pioneer DEX-P90RS. Jika bukan kerana harganya yang jauh lebih rendah dari siri ODR, P90 adalah klimaks kepada peminat SQ tempatan. Apalagi kita tidak mempunyai pilihan yang banyak dari segi pemproses aktif berkualiti dalam kelas profesional.

Dari pemproses DEX-P90RS ini, saluran dibahagikan kepada 3 jajaran utama. Dua unit amplifier Steg K2.03 dan seunit Steg K 4.02. Anda mungkin kurang mengenali jenama Steg. Saya tahu jenama ini memang terkenal di Amerika dan tidak pernah tahu bahawa ada pengedarnya di sini. Amplifier ini bukanlah sesuatu yang boleh dibeli di kedai aksesori biasa. Hanya kedai SQ terpilih yang lazimnya membawa masuk produk premium begini kerana harganya bukanlah murah.

Amplifier K4.02 digunakan untuk memacu sistem speaker di bahagian pillar, mengekstrak 210 watt RMS pada 2 Ohm (dengan setting stereo) pada setiap saluran. Setiap satu saluran ini menyambungkan kuasa pada speaker 4” Audio Developement ADMM4 dan juga tweeter ADMM1. Jika anda perasan tentang corak pembuatan speaker premium begini, ia biasanya kelihatan sangat ‘fragile’(rapuh). Hakikatnya memang begitu dan jika anda bercadang memasangnya, lebih baik letakkan anak-anak kecil di kerusi belakang ketika memandu. Speaker begini biasanya tiada penutup khas kerana perekanya mahukan rintangan yang minimum antara kon speaker dan pendengar. Bukan masalah bajet atau sesuatu seperti itu.

Pada peringkat ini, sistem audio Mercedes ini secara teorinya telah lengkap menjadi bunyi 2-way, tetapi itu bukanlah seperti yang dikehendaki oleh pemiliknya. Bagi menyempurnakan sistem 3-way, 2 unit mid bass Audio Developement AD MM6 telah dipasangkan pada panel pintu yang dipacukan pula oleh amplifier Steg K2.03 yang pertama. Memasangnya pada Mercedes adalah lebih mudah berbanding pada sebuah Waja kerana ketebatan dinding pintu yang jitu memudahkan pemotongan frekuensi dilakukan dengan mudah oleh pemproses Pioneer DEX-P90RS tadi.

Penyaluran kuasa seterusnya ialah unit terakhir amplifier Steg K2.03 yang bertanggungjawab memandu terus woofer 13” Focal 33-KX dengan julat kuasa 940 watt RMS 4 ohm. Pemasangan ini dibuat pada corak selari dengan dua saluran dan 1 saluran terus kepada woofer di belakang. Kalau mengikut penarafan yang dibuat oleh pihak Focal, woofer ini dianggap komponen woofer tetapi dengan pemasangan dan kuasa yang betul, ia cukup untuk memenuhi halwa telinga peminat SQ kelas sederhana.

Susunan peralatan audio kereta ini memang antara yang terbaik pernah saya lihat. Di dalam bonet belakangnya, setiap unit perkakasan audionya dipasang dengan teliti di mana ke semua amplifier dan kapasitor ditampal terus pada dinding dalam. Kemudiannya ditutup dengan arkilik yang diukir dengan corak STEG dan FOCAL. Begitu juga woofer Focal yang dipasang kemas di bahagian sisi dan kemudiannya dilindungi sekeping logo arkilik Focal. Tampak sungguh memukau.

Jika dibandingkan dengan stail orang muda hari ini, saya sendiri malu bila dibandingkan dengan hasil kereta milik Uncle. Rasa redah diri betul. Nasib baik, Uncle seorang yang peramah tapi agak keberatan untuk bergambar bersama kereta kesayangannya. Setelah memujuk, beliau akhirnya menyuruh anaknya berposing di tepi kereta. Okey juga, sebab anak pun memang minat ICE seperti ayahnya. Bapak borek anak rintik.
Hmmm… memang benarlah bagai dikata, mana lagi tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Betul tak?












