Penambahan bodykit sebenarnya terpulang kepada pemilik kereta, apatah lagi dengan pelbagai pilihan yang ada di pasaran. Sebagai contoh, bodykit aerodinamik boleh membuatkan penampilan kereta jadi lebih hebat dan ada juga sebaliknya. Ada yang suka mengubah terus penampilan kereta asal, ada yang hanya menambah untuk tampil lebih cantik tanpa menghilangkan identiti sebenar.
Baik atau buruk, ia tidak menghalang Vorsteiner untuk mendedahkan kemaskini yang telah dibuat ke atas BMW M3 dan M4 baharu. Rekaan eksterior untuk kedua-dua model ini pernah mencetuskan debat di kalangan peminat BMW sejak pertama kali ia diperkenalkan. Peluang ini digunakan Vorsteiner untuk ‘membetulkan’ penampilan kedua-dua model ini yang tidak terlalu menonjol.
Modifikasi yang dilakukan Vorsteiner bermula di bahagian depan dengan grille baharu. Tidak ramai yang menyukai kindey grille standard M3/M4 jadi, Vorsteiner telah menggantikan grill dengan bar tengah yang lebih besar, memisahkan grille kepada empat segmen yang mengekalkan penampilan tradisional BMW tetapi dalam masa yang sama tetap tampil agresif. Melengkapi bahagian ini adalah splitter hadapan fiber karbon yang disambungkan dengan bampar standard M3/M4.
Selain itu, beberapa bahagian lain turut dikemaskini seperti skirt sisi fiber karbon, diffuser belakang bespoke fiber karbon dan spoiler decklid yang juga fiber karbon. Vorsteiner turut menambahkan set rim VP-X untuk M3 dan M4 yang boleh didapati dalam pelbagai saiz; 20×9, 20×10.5, 21×10 dad 21×11.
Sumber : Carscoops