Salah satu nama besar dalam industri dunia audio di China, kini telah pun menapak di persada industri audio tempatan. Tianyu Car Audio yang mempunyai sebanyak 400 buah kedai aksesori di China ini membawa harapan yang besar ke Malaysia. Kedatangan Tianyu Car Audio ini bukan sekadar memeriahkan lagi industri audio tempatan, malah mempelajari kemahiran dan teknik selok-belok perniagaan untuk dibawa ke China.
Sempena pembukaan Tianyu Car Audio Sdn. Bhd. telah berlangsungnya majlis perasmian dan sesi seminar yang dihadiri seramai 30 orang wakil pengedarnya di China ke Malaysia. Diadakan di premis New Technics Car Audio Sdn. Bhd., majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran pengasas dan pemilik Tianyu Car Audio iaitu En. Chen Wen Zhou dan pengasas NTC Audio Sdn. Bhd, En. David Ng. Di kesempatan ini, wakil majalah Kar HiFi mengambil peluang bertanyakan En. Chen Wen Zhou tentang visi dan rancangan masa hadapan Tianyu Car Audio di Malaysia.
Kenapa Malaysia menjadi pilihan Tianyu Car Audio untuk mengembangkan pasaran?
Tianyu Car Audio mempunyai sebanyak 400 kedai aksesori di China dan di Hubei sahaja ada 300 buah kedai aksesori. Lokasi-lokasi kedai aksesori di Hubei ini sangat strategik kerana terletak tengah-tengah China. Tahun lepas pula, beberapa buah lagi kedai aksesori dibuka di Shangsi dan menerima sambutan yang cukup menggalakkan. Justeru itu. Tianyu Car Audio merancang untuk meluaskan lagi pasaran dan dimulakan dengan pasaran Malaysia, diikuti Singapura dan Thailand.
Dua bulan lepas, pihak Tianyu Car Audio telah membawa seramai 20 orang wakil pengedar kedai aksesori ke Thailand. Ini adalah rancangan Tianyu Car Audio untuk membawa wakil-wakil pengedar kedai aksesori setiap dua bulan untuk melihat dan mempelajari selok-belok perniagaan audio dan memperkukuhkan lagi kemahiran masing-masing khususnya dari Malaysia.
Sejak kebelakangan ini, keadaan ekonomi di Malaysia khususnya industri audio kereta bergerak perlahan, kenapa Tianyu Car Audio memilih waktu ini untuk melabur di sini?
Beberapa tahun yang lepas, industri aksesori audio kereta di China juga tidak berapa bagus. Namun, kalau terlalu bergantung dan mengikut keadaan ekonomi, maka tiada perniagaan yang akan berjaya. Sebagai peniaga, kita harus guna cara sendiri untuk majukan perniagaan. Lebih yakin dengan strategi dan rancangan yang dibuat selama ini. Jikalau dilihat, industri audio kereta di Malaysia dan Thailand bermula lebih awal berbanding di China.
Oleh itu, amat penting untuk kami mempelajari segala kemahiran yang ada di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Kedatangan dan pembukaan Tianyu Audio Car di Malaysia bukan semata-mata untung keuntungan, ia lebih kepada mempelajari kemahiran dan teknik di sini untuk dibawa balik ke China sekali gus memperkukuhkan kemahiran wakil-wakil pengedar kedai aksesori di sana. Lagipun, kita tidak boleh bergantung hanya semata-mata kepada keadaan ekonomi.
Mengikut perancangan Tianyu Car Audio, berapa cawangan yang ingin dibuka di Malaysia?
Buat waktu ini, tiada apa-apa sasaran diletakkan. Sebelum ini, beberapa negara yang maju dengan industri audio tetapi tiada lagi yang mempunyai lebih 400 buah kedai aksesori. Pengalaman saya sendiri yang telah menceburi lebih 13 tahun dalam industri ini, terdapat perbezaan yang cukup ketara antara industri audio kereta di Malaysia dan China. Kalau di China, terdapat lebih dari 1 billion kereta dan ini mendorong kepada kuasa membeli yang cukup baik. Bilangan penduduk di China juga lebih ramai menjadikan kebarangkalian pembelian produk adalah jauh lebih tinggi.
Namun begitu, Tianyu Car Audio telah mempunyai ikatan yang erat dan kerjasama yang cukup baik dengan NTC Audio Sdn. Bhd. Di atas dasar itu, kami yakin dengan NTC dan membuat pelaburan di Malaysia.