Kembali menggegarkan dunia permotoran, UTP Motorsport Fest 2018 yang diadakan pada 17 November lalu berjaya menghimpunkan para pencinta modifikasi kereta dan audio sekali gus mengimbau kembali detik-detik kegemilangan yang pernah mencapai kemuncaknya beberapa tahun yang lepas. Dianjurkan GAP Event Management, acara yang dimulakan sekitar pukul 3.00 petang ini berlangsung sehingga jam 11.00 malam.
Bertempat di UTP Sri Iskandar, program kali ini telah menggabungkan dua segmen iaitu Autoshow yang diadakan pada siang hari dan diambil alih oleh segmen Audioshow di sebelah malam. Bagi merancakkan lagi tapak acara, turut diadakan adalah program drift yang dianjurkan oleh geng Manjong Drift, bersebelahan tapak autoshow dan audioshow. Kehebatan para peserta beraksi bukan sahaja memukau para pengunjung yang hadir, malah dipenuhi dengan aksi yang mendebarkan.
Pelbagai aktiviti telah disediakan oleh pihak penganjur dalam memastikan tiada saat-saat yang membosankan sepanjang acara berlangsung. Antara aktiviti lain yang turut dipadatkan sebagai aturcara penganjuran UTP Motorsport Fest kali ini adalah Gathering Kereta, Gathering Motosikal dan macam-macam lagi. Kehadiran para pengunjung yang terus membanjiri tapak acara secara tidak langsung memberi semangat dan sokongan kepada para peserta.
Di kesempatan ini, saya bagi pihak penganjur ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UTP kerana telah menjemput dan memberi peluang untuk menjayakan acara UTP Motorsport Fest 2018 ini. Selain itu, terima kasih juga diucapkan kepada bos EZS Motorsport, yang banyak memberi ruang, peluang serta kepercayaan penuh kepada GAP untuk menganjurkan program ini dengan penuh meriah. Semoga acara ini akan dijayakan pada setiap tahun ekoran sokongan serta sambutan yang diberikan oleh para peserta.