Dianjurkan Jabatan Belia Sukan Perlis dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perlis dan MAYC Perlis, Lepak Santai Permotoran Utara ini diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung selama 3 hari bermula dari 28 Jun sehingga 30 Jun lalu. Diadakan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra yang terletak di Kangar, pelbagai aktiviti lain turut disediakan penganjur selain program Lepak Santai Permotoran yang diadakan pada hari kedua acara Hari Belia Negara ini berlangsung.


Antara aktiviti-aktiviti lain yang turut diadakan termasuk Karnival Youth Business Expo 2019 @ Perlis, Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Perlis, Kejohanan Tarik Tali, Fit Warrior Challenge, HBN Funwalk, Kem Bakat Renang, Pertandingan Beyblade, Pertandingan E-Sports, BMX Competition, Busking, Demonstrasi Batik, persembahan pentas dan banyak lagi aktiviti menarik. Tidak ketinggalan, pameran dan jualan, ceramah ikon usahawan, seminar sijil halal, kelas usahawan mobile spa dan live printing demo.

Acara sukan permotoran yang diadakan pada hari kedua pula melibatkan program Motorminder Mini Naked GP dan Lepak Santai Permotoran Utara. Bagi mengendalikan program Lepak Santai Permotoran Utara, pihak penganjur telah melantik Gabungan Permotoran Utara selaku pengelola. Menghangatkan lagi penganjuran program ini adalah kehadiran Pengarah Jabatan Belia Sukan Perlis, Puan Nohazita Bt Kamaludin dan Yang DiPertua Majlis Belia Negeri Perlis, Noor Hairi Bin Noor Mohameed.


Dimulakan sekitar pukul 8.00 malam dan berlanjutan sehingga 12.00 malam, program ini telah mencatatkan sebanyak 60 penyertaan kereta Audio dan Auto, diikuti sebanyak 150 penyertaan TRUCK (Team Truck Utara). Selain itu, program yang sama turut berjaya menghimpunkan sebanyak 300 kereta untuk segmen Himpunan Kelab Kereta dari GPU dan 500 penyertaan motor untuk Himpunan Kelab Motor gabungan GPU dan Spark Perlis. Tapak acara bertambah hangat lagi dengan penganjuran Mini Gathering Spark Malaysia yang dihadiri presiden Spark Malaysia Club iaitu Zul Huzaimy.


































