Menghimpunkan pelbagai kenderaan modifikasi audio, Audio Blast Nite Fever ini diadakan buat kali pertama di Tesco Sg Petani (U). Dianjurkan NR Exo Familia (Event Management), acara ini mendapat sambutan amat menggalakan. Lebih membanggakan lagi, acara ini turut dikunjungi orang ramai yang sudi meluangkan masa berhujung minggu bersama keluarga.

Dianggarkan seramai 3000 orang pengunjung membanjiri Tesco Sg Petani dan berpeluang menyaksikan lebih 100 buah kenderaan dengan sistem audio yang telah dimodifikasi. Dimulakan dari pukul 4 petang, tapak acara turut diserikan lagi dengan gerai-gerai jualan barang aksesori kereta yang turut memberikan pelbagai diskaun menarik.

Acara bertambah rancak apabila autoshow dan audioshow dimulakan tepat pukul 8 malam serta dimeriahkan lagi dengan kereta-kereta lightning. Sesi permarkahan bermula sekitar pukul 9 malam dan berjalan selama sejam sebelum acara berakhir dengan sesi penyampaian hadiah yang disampaikan oleh pengurus Tesco kepada para pemenang autoshow, audioshow diikuti segmen cabutan bertuah.
























