The Evolution
Seawal jam 9 pagi saya meninggalkan rumah ke Bukit Jalil terlebih dahulu. Seperti biasa, janji jam 10 tapi kereta sampai jam 11.15 pagi. Musim-musim hujan ni, masa memang sangat kritikal dan setiap perancangan perlu betul sebab tahun lepas saya ingat lagi ada sebuah kereta di Pudu terpaksa ditunda sebanyak 3 kali semata-mata kerana hujan.
Selesai sahaja di Bukit Jalil, pasukan kami bergerak ke Puchong. Nah sekarang masalah alamat yang salah pula. GPS dah tunjuk alamat yang betul tapi mana keretanya? Beberapa panggilan telefon dibuat dan akhirnya kami ke Klang selepas jam 3 dengan keadaan mendung yang tidak berapa nak membantu!

Tapi nasib menyebelahi kami bila tiba dengan cuaca yang agak baik juga. Baru nak mula penggambaran, dapat pula telefon dari pejabat yang menyuruh kami ke satu lokasi lain di Klang untuk merakam GTR pula. Tak tunggu lama, kami pun bergegas mencari lokasi untuk Kenari ini sebab salah seorang dari kami dah tak sabar betul nak ‘tangkap’ GTR!
Sekali imbas, Kenari ni nampak biasa sahaja tanpa pengubahsuaian yang ekstrem. Ya benar, ia ada bodykit, rim krom dan kerendahan gaya VIP tetapi kami hanya berharap ia sebuah kereta bukan audio sebenar. Telahan pertama hampir tepat tapi sebaik but belakang dibuka, ternyata Kenari ini telah menerima sentuhan menyeluruh. Gaya dalamannya juga menyebabkan jurufoto kami bersemangat untuk terus memetik ‘shutter’ kameranya.

Pemain utamanya Pioneer DEH1450UB; dikenali dalam industri sebagai pemain yang boleh diharap. Ianya murah, tahan lasak dan sering menjadi pilihan bagi mereka yang gemar menggunakan pelaras sekunder. Pemain Pioneer ini disambungkan ke pre-amp SD-7PX dari Stellar yang merupakan unit pelaras utama membahagikan frekuensi kepada semua speaker. Pre-amp ini mengeluarkan signal yang diperkuatkan oleh dua unit amplifier Stellar tapi sebelum itu seunit crossover aktif dipasangkan di antaranya untuk menapis frekuensi dengan lebih tepat lagi. Crossover tersebut ialah Stellar SD23X.
Amplifier Stellar SD460AB berkemampuan 4 saluran dipasang untuk memberikan kuasa secukupnya kepada satu set coaxial dan 2 unit speaker komponen. Kesemua speaker ini dipasangkan di dalam kabin dan inilah satu kelebihan untuk kereta dengan rekabentuk 1 box seperti Kenari. Tanpa halangan but belakang, keluaran muzik lebih teratur dan mudah ditala, tambahan pula saiznya yang kompak membolehkan kurang kuasa digunakan.

Speaker komponen dipasangkan di bahagian hadapan di mana set mid 6” Stellar SZ-6HZC menggantikan speaker pada panel pintu asal kereta ini. 2 unit tweeter dipasangkan di atas dashboard utama menghadap sebelah pemandu. Tambahan speaker coaxial dibuat pada panel belakang yang ditempatkan dalam perumah khusus. Speaker Coaxial SD6.2X ini mengimbangi bunyi mid keseluruhan yang dihasilkan. Ia bukanlah set-up yang wajib tetapi untuk mereka yang menumpukan kepada kejelasan bunyi (clarity) ia adalah salah satu langkah yang patut dipertimbangkan.
Penyudah kepada keseluruhan sistem Kenari ini diakhiri dua unit woofer Stellar 12” SD-125NPD. Ia dipasangkan dalam kotak buatan khas yang ditempa supaya muat secukupnya dalam ruang bagasi Kenari ini. Untuk memastikan woofer ini mampu beraksi cemerlang, seunit amplifier monoblok Stellar SD-1000DKR2.

Susunan amplifier dibuat di atas papan speaker atau dalam istilah sebenarnnya ‘tonneau cover’ (biasanya ada pada kereta wagon dan SUV). Papan ini dibuat untuk memastikannya mampu menahan kapasiti semua amplifier dan aksesori yang disusun di atasnya. Jangan sesekali menggunakan papan Kenari asal sebab ia memang nipis sangat!
Jika ideanya dijadikan skala penilaian, saya suka kereta ni. Saya pasti pemiliknya sangat gembira dengan apa yang telah beliau hasilkan. Ia sebuah kereta yang diubahsuai tanpa berbelanja besar. Masih praktikal untuk kereta harian dan bergaya di hujung minggu.
Jadi, siapa kata hobi main audio ni mesti meletup-letup bunyi dan juga poket?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 38



























