Dalam keghairahan membina sebuah sistem audio, ramai yang terlupa kaedah untuk mendapatkan bunyi yang bukan sahaja sedap didengar tetapi dalam masa sama mempunyai kualiti cemerlang. Apabila bercakap tentang kualiti bunyi, ia tidak terhad sekadar kekuatan yang mampu dicapai atau kebulatan bunyi bass yang padu. Sebaliknya, keharmonian dan kesatuan di antara semua instrumen yang ada dalam setiap lagu yang didengar. Keseimbangan bunyi antara frekuensi rendah dan juga frekuensi tinggi.
Lebih bagus apabila sebuah sistem audio yang sudah mencapai tahap kualiti cemerlang ini mampu dinikmati sepanjang masa tanpa bimbang akan memakan kuasa yang banyak dari punca tenaga kereta sendiri. Bagi mendapatkan sistem audio sebegini, apa yang penting adalah gabungan teknik serta aksesori yang sesuai dan Audi TT ini memiliki kedua-duanya.
Dipasang dan ditala True Sound Car Audio, Audi TT yang sememangnya menjadi pilihan terkini para pencinta kereta di Malaysia ini telah dipadankan dengan sistem audio talaan SQ 3 way. Ya, ia bukanlah sesuatu yang baru melihat sebuah sistem audio SQ dipasangkan dalam kereta eksklusif seperti Audi tetapi apa yang menarik adalah setiap RCA telah ditambahkan dengan penggunaan Nanofuel dari Qmax. Pernah dengar atau lihat pemasangan serupa ini? Pastinya tidak dan inilah kelainan yang bukan sahaja diletak untuk kuasa tetapi menambahkan kecemerlangan terhadap ‘persembahan’ bunyi akhir yang dihasilkan. Hebat bukan?
Baiklah, kita mulakan semula dari awal di mana seharusnya setiap sistem audio bermula.
Sebagaimana kereta-kereta eksklusif seangkatannya, Audi TT juga didatangkan dengan sistem audio yang lengkap termasuklah pemainnya. Namun, True Sound Car Audio telah menggantikan stok dari kilang ini dengan pemain Alpine CDA-9851 yang memberikan kebebasan kepada pemiliknya menala untuk mendapatkan bunyi ‘bersih’ dan jelas. Pembacaan data yang jelas ini diteruskan lagi dengan penambahbaikan apabila installer menggandingkan pemain ini dengan pemproses digital Alpine PXA-H800. Ia seakan penapisan berganda untuk mendapat isyarat yang nyata jauh lebih berkualiti sebelum dipancarkan kepada dua unit amplifier 4 channel Autotek.
Dipecahkan kepada dua laluan, sistem audio ini turut dibahagikan kepada dua; satu di bahagian dalam kereta (kabin) dan bahagian seterusnya adalah di bahagian belakang. Menyertai sistem audio di bahagian kabin pula adalah dua unit tweeter Awave, dua unit mid 3” Awave dan juga dua unit mid bass Awave. Sesuai dengan sistem SQ 3-way, installer telah memasang seunit tweeter dan seunit mid 3” ini secara bertingkat dalam sebuah perumah khas di hujung dashboard di kedua-dua belah pillar A. Manakala seunit mid bass Awave telah dipasangkan di kedua-dua belah panel pintu.
Kesemua speaker yang dipasangkan di bahagian kabin kereta telah dipacukan pula oleh seunit amplifier 4 channel Autotek. Seunit lagi amplifier yang sama pula berfungsi untuk memacukan seunit woofer 10” Awave, A-CVT10F. Berbeza dengan beberapa sistem audio sebelumnya, pemasangan woofer dan amplifier juga pemproses bunyi digital untuk sistem audio Audi TT ini dilakukan secara ringkas tetapi tetap kemas. Sebuah perumah khas telah dibina untuk menempatkan seunit woofer Awave tadi dan dua unit amplifier pula diletakkan pada lantai ruang letak barang ini.
Mengulang kembali perkara yang disebutkan di awal tadi, sistem audio Audi TT ini telah dibantu oleh aksesori prestasi. Selain dari pemasangan Nanofuel pada setiap RCA, True Sound Car Audio turut menambah stabilizer bagi memberikan kestabilan. Jadi, tidak kiralah berapa lama yang dimahukan oleh pemiliknya, sistem audio Audio TT ini boleh didengari bila-bila masa, sepanjang masa. Berpeluang tampil di ruangan ini, pemilik Audi TT ini mengambil kesempatan kepada para penaja yang sudi menaja sistem audio yang cemerlang ini khususnya Awave, Autotek dari Auto Tomorrow Sdn Bhd dan tidak lupa juga kepada saudara KV Low yang telah menala sistem audio ini serta mencapai tahap cemerlang. Wah, sistem audio talaan dari pakar audio sendiri. Bertuah sangat!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 69