Sewaktu diserahkan gambar ini oleh wakil Kar HiFi dari utara, sejujurnya saya akui yang agak janggal sikit. Ditambah pula kerja yang semakin menggunung sejak kembali dari PKP, saya pujuk diri untuk mengkaji serba sedikit dan membelek gambar-gambar yang ada. Pujian harus saya dahulukan kepada tuan punya kereta kerana Myvi ini tampil kemas. Biarpun dipenuhi sistem audio di bahagian belakangnya tetapi secara keseluruhan dan dari kejauhan, ia dijaga dengan cukup baik. Tidak ada penambahan yang melampau atau ekstrem.
Setelah berbulan-bulan, barulah saya berpeluang melunaskan hutang kerja yang tertinggal dan Myvi ini menjadi pilihan pertama sebelum mengerjakan dua kereta yang lain. Petang itu, saya cukup bernasib baik kerana tuan punya Myvi sudi meluangkan masa untuk ditemubual. Perbualan singkat bersama saudara Muhammad Syazwan B. Ramlee yang juga dikenali sebagai Agon, tuan punya kereta Myvi seolah-olah memberi satu dimensi baru kepada saya yang tidak berapa mengenali jenama-jenama audio dari negara jiran, Thailand.
Lebih bertuah lagi, apabila mendapat tahu yang saudara Agon sebenarnya mula meminati dunia modifikasi audio ini sejak 2010 iaitu setahun selepas saya bertugas dengan majalah Kar HiFi. Tidak dapat dinafikan, ia merupakan tahun-tahun kemuncak dunia audio dan hampir setiap minggu pasti ada sahaja aktiviti audio dianjurkan. Sehingga tidak menang tangan dibuatnya. Kereta-kereta audio pula bukan calang-calang. Semuanya tidak mahu kalah. Baik dari segi pemasangan audio dan juga persembahan. Hebat-hebat belaka!
“Mulanya, main-main biasa ja … makin lama, pergi show tgok org punya. Saya mula upgrade sikit-sikit. Sampailah sekarang. Niaga barang audio sendiri,” ujar saudara Agon.
“Dulu ramai otai audio tapi banyak dah pencen main. Banyak pelapis baru sekarang. Macam Pak Art, dia tu otai lama…belajar dari dia sikit-sikit tentang audio,” tambah beliau lagi, mengimbas kembali sejarah permulaan terjebak dengan dunia audio.
“Mula-mula main Proton Saga. Suka-suka dengar… lepas tu, kereta Perdana. Masuk box double. Kemudian, upgrade Viva dan sekarang, kereta Myvi. Dulu main SPL, sekarang main main P.A pulak,” sambung saudara Agon yang juga pemilik kedai Espian Car Audio Team.
“Kebanyakan barang audio saya guna dari Thailand. Contoh macam saya pakai sekarang, jenama G1 Motor. Barang yang saya niaga pula banyak dari jenama Kingdom, DTS, Platinum X, DZ Power, Audio Quart,” katanya lagi.
Baiklah, berbalik kepada kereta Myvi ini. Saya dapat lihat sistem audionya dilengkapi dengan jenama G1 Motor dari Thailand dan menimbulkan persoalan. Kenapa jenama dari Thailand menjadi pilihan saudara Agon dan bukannya jenama-jenama lain. Sudah tentu ada sebab tertentu membuatkan beliau yang mahir dan tahu selok-belok dunia audio memilih G1 Motor. Bak kata pepatah, hanya jauhari yang mengenal manikam!
“Saya mula belajar main audio dari barang audio thailand. Kualiti memang tidak dinafikan. Memang tahan lasak. Kami main audio smpai 6 atau 7 jam tanpa henti, tak ada masalah. Padu,” jawab Agon sekali gus merungkai kemusykilan saya di awal-awal tadi.
“Dulu mungkin tak ada org tahu jenama Thailand tapi sekarang, ramai seller Malaysia bawa masuk jual barang audio dari sana,” tambahnya lagi.
Disebabkan tahan lasak itulah membuatkan ia sesuai dipasangkan dalam Myvi yang terkenal dengan kelasakannya. Bermula dengan sistem pemain utama. Di sini, saudara Agon memasang dua pemain utama. Satu pemain utama dari JVC dan satu lai dari pemain utama android 10” dari MA Audio. Sebagaimana yang dinyatakan awal-awal tadi, Myvi ini dipasangkan dengan sistem PA speaker. Beberapa kali juga kereta dengan sistem seperti ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi dan kini kembali dengan kereta Myvi saudara Agon.
Seterusnya, sistem audio ini dipasangkan pula dengan 2 unit pre-amp 7 band, Platinum X untuk bahagian dalam dan 2 unit lagi untuk bahagian luar (bonet belakang). Sebanyak 8 unit mid 6.5” PA speaker dari G1 Motor dan juga 6 unit tweeter dari jenama sama telah digunakan untuk membina satu sistem audio yang sangat padu dan meriah bunyinya. Bagi menguasakan kesemua speaker ini, Agon telah menggunakan amplifier monoblock (modified) G1 Motor untuk mid dan amplifier 4 channel untuk tweeter tadi. Agak pelik juga tetapi hanya saudara Agon tahu rahsia di sebalik pemasangan ini.
Bagi melengkapi sistem audio Myvi ini, saudara Agon telah memasangkan 4 unit woofer GI Motor yang dikuasakan oleh amplifier monoblock G1 Motor. Selain itu, beberapa produk audio tambahan lain turut digunakan termasuk power capacitor dan crossover Audio Quart untuk memantapkan lagi bunyi yang dihasilkan. Apa yang menakjubkan, setiap speaker dan woofer telah disusun dengan kemas.
Bahagian dalam Myvi juga tidak kalah dengan sistem audio yang dipasangkan di bahagian belakang. Menggunakan style VIP dengan padanan warna oren dan putih, ia menyerlahkan lagi kekemasan Myvi ini. Saudara Agon yang juga salah seorang ahli Myva Team dan Sungai Petani Audio Club ini memang arif tentang pemasangan audio yang tepat untuk keretanya.
Sepertimana orang lain, saudara Agon juga mempunyai impian tersendiri dan beliau mengimpikan untuk mempunyai jenama audio sendiri di masa hadapan sekiranya ada rezeki. Namun, buat masa ini beliau mengharapkan dunia audio dan autoshow di Malaysia bertambah maju dan mendapat sokongan dari pihak kerajaan. Sukan pemotoran ini tidak merosakkan bangsa, dari melepak tanpa arah dan buat kerja tak berfaedah seperti terjebak dalam gejala hisap dadah.
Semoga harapan dan impian saudara Agon akan tercapai!
Pengeluar
Perodua
Model
Myvi
Head Unit
JVC dan pemain android MA Audio
Amplifier
– Amplifier 4 channel G1 Motor
– Amplifier monoblock G1 Motor
– Amplifier monoblock (modified) G1 Motor
Speaker
– 8 unit mid 6.5” PA G1 Motor
– 6 unit tweeter G1 Motor
Woofer
– 4 unit woofer PA G1 Motor
Pusat Pemasangan
– Espian Car Audio Team
– Cat : Alex Cat (Sg. Petani)
– Kusyen : Samad Kusyen (Sg. Petani)