Cabaran terbesar dalam melengkapkan sebuah sistem audio yang baik bukan hanya terletak pada jenis kualiti peralatan digunakan. Ia sangat bergantung pada corak pemasangan dari peringkat awal lagi. Speaker yang baik kualitinya memerlukan kuasa yang cukup untuk menampilkan bunyi sebenar. Bunyi yang tulen juga hanya mampu dihasilkan bila speaker dipasangkan dengan tebatan yang betul. Bukan itu sahaja, pendawaiannya juga perlukan bahan berkualiti tinggi. Kalau nak lengkap dan sempurna, sudah tentulah pemainnya perlu di kalangan yang berkualiti tinggi, bukan?
Jujurnya, lama benar saya tidak melihat pemain ini. Alpine F1 DVI-9990E satu ketika dahulu sangat popular di kalangan kaki SQ kerana kebolehpercayaannya menjadi pemproses premier untuk semua jenis muzik. Jika wang bukan halangan, saya amat mencadangkan anda mencuba pemain jenis ini jika anda ingin lari dari kebiasaan Pioneer siri P.
Pemain yang dipasangkan ini kelihatan sangat biasa. Seperti lazimnya pemain buatan Alpine yang tidak direka dengan fascia yang ‘fancy’, ia menjadi faktor kenapa siri ini kurang digemari, mungkin oleh generasi Y yang suka pada benda-benda yang hebat. Kalau anda letakkan pemain ini bersebelahan dengan P90, nescaya ramai yang akan memilih P90 walaupun dengan mata tertutup.
Tertipu dengan plat pemuka yang tidak menarik? Jangan. F1 adalah penanda aras bagi kebanyakan pemain SQ moden yang dilahirkan untuk pasaran SQ premium pada hari ini. Jika bukan kerana teknologi yang ada padanya, saya percaya Pioneer tidak mahu bersaing pada level SQ premium. Kebolehupayaan jajaran masanya, kualiti pembaca bit pantas pemain CD dan juga pelaras sekecil gelombang bergaris pusat yang tepat menjadikannya pemain yang sukar ditandingi di pasaran moden.
Menggunakan pemproses Alpine PXI-H990, sudah tentulah gandingan ini mampu membina sistem bunyi 3 hala yang berpotensi besar. Dari H990 ini, laluan dipecahkan kepada 4 unit amplifier berasingan. Setiap satunya hanya membekalkan kuasa terus pada 2 unit speaker yang sudah pastinya memudahkan pemotongan frekuensi dilakukan, baik pada tahap pendawaian, mahupun ketika penalaan.
2 unit amplifier 2 channel Steg K12 dipilih untuk menguasakan 2 unit tweeter Focal Utopia Beryllium dan mid bass 3.5” yang disusun di bahagian pillar A. Kesemua speaker ini ditempatkan dalam perumah buatan khas dari bahan gentian kaca yang kemudiannya dibalut dengan fabrik hitam. Speaker tersebut juga dibalut dengan fabrik lembut dan secara keseluruhannya, pemasangan unit tersebut sangat kemas dan kelihatan seperti keluaran standard kilang.
2 unit asal mid bass di bahagian panel pintu digantikan dengan mid bass dari Focal juga dari siri Utopia Beryllium bersaiz 6”. Di sinilah cabaran seterusnya. Speaker ini bertaraf premium dan apabila dipasangkan pada panel pintu Vios tanpa sebarang pengubahsuaian ternyata output bunyinya tidak seperti yang diharapkan.
Justeru, satu perumah khusus dibuat di belakang panel pintu tadi menggunakan lapisan kayu nipis yang kukuh. Tidak semudah itu kerana ukuran ini dibuat berkali-kali agar lapisan perumah ini dapat dikedap dengan kemas tanpa mengganggu proses turun naik cermin di belakangnya. Speaker mid ini mendapat bekalan kuasa daripada amplifier 2 channel Steg K24. Secara teorinya, gabungan ini adalah kombinasi terbaik kerana keseluruhan kuasa sampai secara bebas tanpa berkongsi dengan mana-mana speaker lain.
Unit amplifier terakhir ialah amplifier 2 channel Steg Qmos 310.2X yang dipasang bagi membekalkan kuasa kepada woofer 13” Focal K2. Dalam kebanyakan sistem yang biasa kita lihat, woofer Focal jarang digunakan untuk kelengkapan bass kerana output yang sama (atau lebih baik) mampu dihasilkan oleh woofer jenis SPL dan seunit woofer monoblok. Namun dalam kes sebuah sedan yang kecil, ia tidaklah begitu sensitif berbanding jikalau sistem yang sama dipasangkan dalam sebuah Honda Accord.
Secara keseluruhannya, sistem yang dilengkapkan pada kereta ini dibina berdasarkan faktor bunyi dan juga estetika yang tinggi. Lihat di dalam but, anda pasti faham apa yang saya maksudkan. Lilitan LED, penggunaan perspek, susunan dan kedudukan woofer dijalinkan bersama membentuk satu sistem yang kemas dan sempurna. Bila-bila masa jika diberi pilihan, saya akan memilih sistem begini, SQ yang tajam dan jelas, begitu juga kemasan dan susunan peralatan secara keseluruhan.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 29