Sistem Audio Dalam Kereta, Bagaimana Ia Bermula?
Manusia dan hiburan khususnya muzik, tidak dapat dipisahkan. Bagai lagu dan irama, andai dipisah maka tiada jiwa dan sudah pasti hampa tiada berdaya. Muzik dikatakan sebagai bahasa jiwa yang mampu mendamaikan dan tidak kurang juga, menyuntik ideologi tapi itu bukan apa yang mahu dibincangkan pada artikel kali ini.
Sebagaimana teknologi berkembang, menerima evolusi seiring dengan kebangkitan inovasi terkini yang kian canggih, begitu juga hiburan dan muzik. Anda boleh menikmati muzik tidak kira di mana berada. Apatah lagi apabila berada dalam kenderaan yang sedang bergerak. Sebut sahaja tajuk, segera pemain utama memainkan lagu dan sedia menemani sehingga anda sampai ke destinasi yang diingini.
Namun, berapa ramai tahu tentang sejarah sistem audio yang ada dalam kereta masing-masing? Saya yakin, para peminat audio kereta terutamanya kaki modifikasi pasti sudah mengetahui dari awal sehingga yang terkini. Hari ini saya ingin berkongsi serba sedikit tentang permulaan dan siapa tokoh-tokoh yang mencetuskan ciptaan audio dalam kereta yang kini dinikmati dengan mudah.
Mengikut rujukan, terdapat beberapa tokoh yang menjadi perintis yang berjaya menemukan ciptaan audio dalam kereta dan tidak kurang juga yang gagal, malah tidak sempat melihat impian mereka menjadi kenyataan.

Guglielmo Marconi Dan Radio Kereta Pertama
Menurut hagerty.com, radio kereta pertama yang dibina merupakan ciptaan Guglielmo Marconi. Pada tahun 1901, beliau telah memasang sebuah telegraf ke dalam sebuah wagon Thornycroft yang berfungsi untuk menyampaikan mesej ketenteraan. Antena ini kelihatan seperti lohong yang boleh menghantar seorang atau dua budak dari planet lain turun ke bumi. Ia hanya boleh menerima dan memainkan mesej telegraf, tiada bunyi atau muzik. Ya, ia bukan radio dalam kereta tetapi ia masih boleh dianggap sebagai percubaan pertama!
Percubaan Pertama Radio Dalam Kereta
Awal 1920-an menyaksikan beberapa siaran radio dibina di beberapa bandar Amerika Syarikat. Ramai menghabiskan masa mendengar muzik dan ada yang mula mencari jalan untuk memasangnya dalam kereta. Jadi, mereka menggunakan sistem radio di rumah yang menggunakan bateri dan disimpan dalam kereta. Ruang khas disediakan di bahagian belakang untuk menempatkan radio ini semata-mata untuk mendengar lagu semasa memandu kereta.
Namun begitu, radio yang diciptakan untuk kegunaan di rumah pula dikemaskini dengan kuasa elektrik dan tidak lagi menggunakan bateri. Malah, tiub vakum radio ini tidak mudah untuk ditukar menjadi kuasa bateri. Keadaan ini memaksa penggemar audio membuka radio rumah dan memasangnya di mana-mana bahagian dalam kereta yang boleh menampung komponen-komponen termasuk bawah kerusi dan tidak kurang juga, di atas lantai (luar kereta di bahagian pintu).
Memandangkan ketika itu tidak banyak stesen radio, antena yang besar diperlukan bagi penerimaan yang baik dalam kereta. Anda boleh lihat gambar yang menunjukan konfigurasi antena, terdiri daripada tali-tali sidai kain yang diikat di antara bahagian depan kereta dan belakang. Mungkin kerana itu juga ia dikatakan sebagai radio kereta pertama yang jadi bahan gelak (laughable).

Radio Khas Pertama Untuk Kereta
Banyak laporan tentang radio pertama yang khusus untuk dipasangkan dalam kereta. Beberapa akhbar melaporkan Chevrolet menawarkan Radio Sedan pada tahun 1922 terdiri daripada radio Westinghouse yang menggunakan antena atap kereta, bateri di bawah tempat duduk dan horn speaker yang besar di kerusi belakang tetapi masih tidak jelas sama ada ia benar-benar dihasilkan atau sekadar publisiti semata-mata. Pada tahun 1923, radio kereta pertama yang dipasangkan di kilang menerusi pengeluaran biasa yang dijadikan sebagai pilihan (ketika itu) adalah dari Springfield Body Corporation tetapi ia juga diadaptasi dari radio rumah.
Banyak perbahasan tentang pengeluar mana paling awal yang menawarkan spesifikasi radio dalam kereta. William Heina, dari Heinaphone Company (Amerika Syarikat) dikatakan telah mematenkan pemasangan radio dalam kereta yang pertama, Transitones. Pada tahun 1927, Automobile Radio Corporation (ARC) telah membeli Heinaphone. Tidak lama selepas itu, ARC pula dibeli oleh Philadelphia Storage Battery Company, pembekal bateri untuk kenderaan elektrik dan juga dikenali sebagai Philco. Radio Transitone terus dihasilkan sehingga beberapa tahun selepas itu.

Seiring dengan pengeluaran Transitone, seorang lagi jurutera dan pencipta iaitu William Lear turut memainkan peranan penting dalam pembinaan radio kereta. Paul Galvin dari Galvin Manufacturing Corporation di Chicago, menjual perangkat bateri eliminator yang membolehkan bateri yang digunakan di rumah berfungsi mengikut arus standard. Bagaimanapun, lebih banyak rumah menggunakan wayar (kabel), Gavin kehilangan kuasa beli di pasaran dan mencari produk baru.
Salah satu cerita menarik datangnya dari kisah Bill Lear dan rakannya, Elmer Wavering. Kedua-dua mereka dikatakan bersama teman wanita masing-masing di Lookout Point di Quincy dan menikmati pemandangan matahari terbenam. Salah seorang dari teman wanita mengatakan, keadaan romantik akan lebih indah sekiranya ada iringan muzik untuk didengar. Ekoran itu, lahirlah keperluan untuk mencipta radio dalam kereta.
Lear dan Wavering mula mencari pelbagai usaha untuk mencipta radio dalam kereta serta cuba mencari penyelesaian isu gangguan plag dari sistem awal (tidak boleh berfungsi dengan enjin yang terpasang kerana bunyi bising). Sebaik sahaja berjaya, mereka membawanya kepada Paul Galvin. Bermula dari situ, mereka membangunkan 5T71, sebuah radio kereta binaan dalam yang dikatakan sebagai radio kereta pertama.

Radio ini dipasangkan oleh Lear dan Wavering ke dalam Studebaker milik Galvin. Seterusnya, Galvin memandu kereta dari Chicago ke Atlantic City dan memperkenalkan radio itu pada Jun, 1930 dalam Radio Manufacturer’s Show. Malangnya, dia tidak membayar untuk tempat pameran yang boleh membantunya mempamerkan kereta tersebut. Galvin meletakkan keretanya di pintu masuk Atlantic City dan melakukan demonstrasi di hadapan orang ramai. Radio tersebut menerima isyarat yang jelas ketika enjin kereta masih dihidupkan. Selesai sahaja pameran, Galvin mengumpul cukup modal untuk memulakan pengeluaran.
Ketika itu perangkat yang terbaik dan dikenali ramai adalah fonograf Victrola, jadi Galvin memutuskan untuk menggabungkan nama ‘motor’ dan Victrola sekali gus menamakan semula 5T71 radio sebagai “Motorola” memberi konotasi muzik dalam pergerakan. Gavin Manufacturing turut ditukar menjadi syarikat Motorola pada tahun 1947.

Bagi makluman, pemasangan radio Motorola ini tidak mudah dan memakan masa selama dua hari untuk dipasangkan. Dikatakan sebanyak 28 halaman manual diperlukan untuk membuka dashboard dan kerja-kerja menebuk lubang di atas lantai untuk memuatkan bateri radio (dipisahkan dari bateri kereta untuk menyingkirkan bunyi bising). Harganya pula bukan murah. Kos radio Motorola ini sahaja menelan sehingga $110 tanpa pemasangan di mana sebuah Ford model A yang baru ketika itu berharga $600. Walaupun harganya mahal, tetapi kehendak dan keperluan manusia terhadap hiburan mengatasi segala-galanya.
Kesimpulannya, ciptaan dan hasil penemuan radio dalam kereta ini dicetuskan dari kehendak manusia yang gemar dengan hiburan. Ia berubah dan berkembang seiring dengan kemajuan teknologi. Jika dibandingkan dengan sistem audio yang dipasangkan dalam kereta pada hari ini, cukup maju dan memberi kemudahan kepada para penggemar muzik. Selebihnya, mungkin kita boleh bercerita panjang lebar di artikel seterusnya.
Rujukan : Hagerty.com
Disediakan Oleh : Shai Zahar

















