Kereta binaan SPL kini sudah tidak lagi dianggap luarbiasa dan pencarian kami tidak hanya menemukan variasi di lokasi maju di Lembah Klang, perjalanan sehingga ke Batu Pahat juga membuktikan bahawa peminat SPL kini berada di mana-mana sahaja. Kereta ini dibina pihak Adams Digital menerusi salah sebuah cawangan pengedarnya di sana. Melihat dari luar, tiada siapa sangka bahawa Kenari ini dibina dengan begitu ekstensif. Sebaik but belakang dibuka, kelihatan gugusan speaker yang lengkap. Dentuman yang dihasilkan seindah komponen yang dipadankan.
Sistem kereta ini dibina bermula dengan pemain cakera padat Pioneer DEH3050UB. Penalaan frekuensi bunyi seterusnya dipertanggungjawabkan kepada dua unit pre-amp Adams ADP-100MS yang berkemampuan menala 7 laluan frekuensi berasingan. Kedua-dua unit ini dipasang dengan laluan yang berbeza, satu untuk woofer dan satu untuk mid dan tweeter.
Secara teorinya, penapis frekuensi 7 band kelihatan tidak berguna bila ia digunakan hanya untuk menapis frekuensi woofer. Namun dalam banyak situasi, ia adalah cara paling murah untuk mematikan terus isyarat yang tidak diperlukan yang dihasilkan amplifier. Jika woofer dikawal pemain sahaja, nescaya masih ada frekuensi di atas 100Hz yang bakal ‘terlepas’. Ia tidaklah banyak tetapi dengan hanya sekitar beberapa ratus ringgit, fungsi pre-amp ini memang berbaloi.
Sebanyak empat unit woofer Adams Digital Energy Series EX1000 dipasang di bahagian belakang Kenari ini. Empat unit woofer 12” bukanlah satu masalah untuk sebuah Kenari yang tinggi. Ia dipasangkan dalam kekotak binaan khas yang ditebat sepenuhnya. Menguasakannya ialah seunit amplifier monoblok juga dari Energy Series, EAM-2400.1D. Produk Adams memang terkenal dengan keupayaan SPL dan mana-mana amplifier kelas D mereka dikatakan antara yang paling stabil dalam industri audio SPL.
Pembinaan di belakang ini juga melibatkan komponen mid yang disatukan dengan tweeter. Empat unit mid Adams Digital Energy Series EX600 dipasang di bahagian atas kotak woofer tadi bersama dengan 2 unit tweeter di kiri dan kanannya. Kuasa diperolehi dari seunit amplifier 4 channel Adams Digital ADS-80.4 yang dipasangkan di bahagian dalam kenderaan, di belakang kotak speaker tadi dengan lingkaran pendawaian yang kemas (tetapi mungkin kurang teratur).
Kemasan audio seterusnya termasuklah beberapa lingkaran lampu LED yang dipasang di sekeliling woofer dan juga pemuka pintu. Pemadanan ini mencakupi aspek estetik kecil yang turut menyumbang kepada penampilan kereta ini secara keseluruhan. Secara tidak langsung, Kenari yang menjadi taruhan Style Car Accessories Services ini memperkuatkan lagi pengaruh empayar Adams Digital. Padanan dan komposisi dari semua siri yang dihimpunkan dalam Kenari ini memperlihatkan jenama ini mampu berdiri sendiri dan juga akan kekal untuk masa yang lama.
Tidak adil pula kalau bahagian lain yang turut menerima sentuhan dan dedikasi yang sama tidak disentuh langsung untuk segmen ini. Melihatkan bahagian luar kereta ini, ia dikemaskan dengan spoiler double layer dan bumper belakang Aerodown RS. Keseluruhan kereta direndahkan dengan gegelung sport dan rim asal 14” digantikan dengan rim replika Volks Racing TE37V berwarna putih. Tidak seperti kereta demo SPL lain, Kenari ini diberi sentuhan yang cukup minimal dan tampil elegan. Bagus!
Baiklah, berbalik kepada dunia audio kenderaan, ia merupakan dunia tersendiri yang semakin dikenali ramai yang memerlukan hasil usaha berterusan pihak pengedar, penjual, pemasang dan juga pengguna. Tidak dilupakan, media baru seperti majalah ini yang terus menerus menyokong industri. Bunyinya macam membodek, tapi kalau majalah ini tidak laris di pasaran, kemana lagi halatuju kumpulan kami yang tidak tahu buat benda lain selain audio, bukan?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 32