Anda bersetuju sekiranya dikatakan pembuatan kereta ‘sporty’ terhebat pernah dihasilkan Malaysia adalah Satria? Saya menyokong penyataan ini. Adakah kerana sikap ‘bias’ atau mungkin penghakiman itu disogok dengan emosi? Ya! Satria adalah cinta hati pertama yang kekal bertahan hampir sedekad. Tidak ada yang dapat menandingi kehebatan prestasinya terutama sekali apabila meluncur di atas jalanraya. Makan asap jugalah orang belakang dibuatnya! Setiap kali menaiki Satria yang perkasa ini bersedialah untuk menggegarkan dunia. It’s ROCKING!

Malangnya, keperkasaan Satria terpaksa dikorbankan. Benar kata orang, kasih sayang pun ada tarikh luput. Mungkin benar juga bisik-bisik busuk mengatakan kereta buatan tempatan tak mampu bertahan lama. Paling lama pun sepuluh tahun. Berbanding dengan keluaran kereta nasional pertama, sehingga hari ini masih gagah di jalanraya. Justeru itu, sebaik sahaja terpandang Satria milik saudara Zamri ini, menggamit kenangan sendiri. Terkilan. Ya, siapa tidak terkilan kehilangan sesuatu yang hebat. Aduh, putih mata!

Namun, apabila melihat Satria milik beliau, ternyata ia juga tidak kurang hebatnya. Tampil dengan tubuh yang dilayangkan warna biru, seakan petunjuk bahawa ia bukan sekadar Satria biasa. Di samping kereta Kancil atau kereta kompak lain yang seringkali menjadi pilihan kaki modifikasi melakukan transformasi, Satria turut tercalon dalam senarai. Setakat hari ini, banyak juga ditemukan dengan modifikasi yang dilakukan ke atas kereta sporty ini.
Ada transformasi yang menjadikan ia nampak lebih menarik dan tidak kurang juga menjahanamkan! Satria milik Zamri ini nampak lebih ringkas tanpa mengenakan sebarang pemakaian sticker yang melampau. Mungkin juga kerana beliau memberat kepada audio, jadi penumpuan diberikan sepenuhnya kepada sistem I.C.E miliknya!

Lihat sahaja di bahagian belakang kereta ini, tersemadi dan tersergam indahnya jentera I.C.E yang boleh menggegarkan letusan bass bila-bila masa sahaja. Tinggal petik kuasa pada pemain utama, maka bergegarlah setiap inci tubuh badan anda. Bukan bergegar kosong, tetapi diiringi bunyi muzik yang mantap. Perancangan bijak Zamri dalam menyusun-atur dan memadankan setiap aksesori ICE nya berjaya mencetuskan hasil yang hebat. Sekurang-kurangnya, memenuhi kepuasan hatinya.

Salah satu langkah bijak yang dimaksudkan adalah, apabila saudara Zamri lari dari ‘standard’ yang ditetapkan dunia ICE. Ini menerusi pemilihan pemain utamanya, Alpine. Inilah yang saya maksudkan sebagai lari dari standard yang ditetapkan tadi. Jangan terlalu tipikal dengan pengaruh yang dibawa oleh Pioneer mahupun Kenwood. Alpine juga memegang keistimewaan tersendiri.

Pemain utama CDA-9884 ini merupakan antara model terbaik keluaran Alpine. Kebolehan membaca format media seperti CD, WMA dan MP3, pemain utama ini memproses data yang dibacanya sebelum dipancarkan untuk menghasilkan bunyi. Perlu diingatkan, bahawa jantung kepada setiap sistem I.C.E terletak pada pemain utama. Jadi, pecinta I.C.E yang bijak akan memilih hanya pemain utama yang baik dan bagus. Bukan sekadar cantik untuk dijadikan penghias dashboard!

Seterusnya, isyarat yang dipancarkan menerusi pemain utama tadi akan disambut pula oleh dua unit pre-amp. Pre-amp Debezt PA-701 dan pre-amp Caliber CPE-107P. Di bahagian ini, saudara Zamri akan menala isyarat yang diterima tadi sama ada untuk mengurangkan fader ataupun membuat pengubahsuaian pada isyarat sebelum dihantar pula kepada stesen berikutnya, amplifier. Setelah selesai menjalani proses ini, maka isyarat yang telah menjalani proses tadi akan dihantar pula kepada amplifier.
Sepertimana biasa, tugas amplifier adalah untuk membesarkan isyarat dan kemudiannya memacu barisan speaker. Bagi melaksanakan tugas ini, sejumlah 4 unit amplifier telah digunakan. 3 unit amplifier darinya adalah amplifier 4 channel Silver Hawk SHA-400.4. Jenama Silver Hawk bukan satu nama yang asing untuk pecinta I.C.E. Tidak hairanlah, saudara Zamri turut memilih jenama ini untuk dijadikan sebahagian ahli jentera I.C.E nya. 2 unit amplifier 4 channel Silver Hawk SHA-400.4 ini masing-masing digunakan untuk memacu 4 unit mid bass 8” BM dan 4 unit mid bass 8” Silver Hawk.

Tidak sah satu-satu sistem I.C.E tanpa kehadiran tweeter. Aksesori audio ini turut tidak ketinggalan di dalam Satria milik Zamri ini. Sebanyak 6 unit tweeter telah digunakan bagi memberi keseimbangan bunyi bass yang dihasilkan. Barisan tweeter ini terdiri daripada 2 unit tweeter Stellar dan 4 unit tweeter Platinum. Bagi memacu kesemua barisan tweeter ini, baki 1 unit amplifier 4 channel SHA-400.4 Silver Hawk telah digunakan.
Bagi melengkapi senarai jentera I.C.E milik saudara Zamri ini, 2 unit woofer 15” yang juga dari jenama Silver Hawk menjadi pilihan beliau. Bagi memastikan jumlah isyarat yang diperlukan untuk memacu kedua-dua unit woofer ini, beliau memilih pula jenama yang juga setaraf dengan kehebatan Silver Hawk, Mohawk. Amplifier monoblock Mohawk ini membesarkan isyarat sepertimana yang diperlukan selain berfungsi memacu woofer-woofer tersebut.

Benar seperti yang dijangkakan di awal tadi, saudara Zamri tidak terburu-buru untuk menghiasi dinding Satria ini, mahupun mencederakannya dengan meletakkan perhiasan yang dirasakan tidak perlu. Namun sebaik sahaja anda membuka ruang bonet kereta ini, perhatikan kepada perumah costume made yang digunakan untuk memegang kesemua jentera I.C.E ini. Menarik bukan? Tak ubah seperti dinding batu gua! Mungkin juga jentera I.C.E ini umpama tinggalan harta karun dalam gua?






















