Sebenarnya, agak lama juga masa diambil untuk memulakan artikel kali ini kerana tak tahu apa yang perlu didahulukan. Sama ada sistem audionya yang berjaya mencipta kemenangan di pertandingan EMMA atau bermesra terlebih dahulu dengan modifikasi penuh yang dibuat ke atas kereta keluaran Hyundai ini. Jujurnya, saya tak berapa hafal model-model Hyundai dan apabila ia didatangkan lengkap dengan modifikasi sebegini, agak sukar juga dibuatnya.
Dibina untuk sistem audio talaan ESQL yang lazimnya disesuaikan dengan modifikasi minima serta penampilan ringkas, Tuscani ini bukan sahaja dilapik dengan airbrush bercorak naga pada hud kereta tetapi juga bodykit yang cukup sporty. Modifikasi serius ini membuatkan saya lupa pada model asalnya. Tahniah harus diucapkan kepada pemiliknya yang tidak terkongkong dengan norma dan lari dari menjadi stereotaip.
Pasti anda pernah dengar atau terbaca diskusi yang membandingkan Tuscani dengan sebuah lagi model Hyundai di bawah nama Tiburon ketika di awal pengeluaran kedua-dua model ini dahulu. Namun begitu, kedua-duanya adalah model yang sama tetapi menggunakan nama berlainan mengikut negara yang memasarkannya. Jika dilihat dari sudut prestasinya, enjin yang dibangunkan pada kedua-dua model ini adalah sama.
Yang membezakan Tuscani dan Tiburon adalah emblem yang digunakan. Tiburon menggunakan emblem “H” yang juga inisial kepada Hyundai, manakala Tuscani tidak menggunakan emblem yang sama sebaliknya huruf “T” sebagai inisial untuk Tuscani dan menerusi pemerhatian dan sedikit rujukan, ada juga pemilik Tiburon yang sengaja menukar emblem ini semata-mata untuk mengambil nama Tuscani ini.
Pernah menjuarai pertandingan anjuran EMMA di Singapura dalam kategori ESQL Advanced, kekuatan sebenar Tuscani ini diuji pada sistem audio yang dibina padanya. Saya tak nak bercakap banyak tentang sudut kemasan interiornya, itu dapat dilihat dengan jelas. Sebagaimana kereta yang sistem audionya dibina dengan jenama Hertz, warna rasmi untuk jenama ini pasti digunakan. Tidak banyak, sedikit. Hal sama dapat dilihat pada sistem audio Tuscani yang cukup hanya dengan pemasangan lampu LED di sekeliling sistemnya.
Kalau nak dibandingkan Tuscani yang sedang dibelek ini dengan model keluaran asal dari kilang, memang jauh berbeza. Tambahan pula dengan pelbagai penambahan serta modifikasi menyeluruh dari segi penampilan, prestasi dan paling utama adalah pembinaan sistem audionya. Memang terbaik dengan hanya menggunakan jenama hi-end yang didominasi oleh Hertz, diikuti Pioneer, Mosconi Gladen dan Powerbass.
Sistem audio ESQL Tuscani ini bermula dengan pemain utama Pioneer AVH-P2400BT yang kemudiannya disambut oleh pemproses isyarat digital (DSP) Mosconi Gladen DSP 6TO8. Didatangkan dengan input 6 channel dan output 8 channel, penggunaan DSP ini untuk pembahagian yang tepat kepada setiap amplifier dalam proses berikutnya dengan pantas. Sebanyak 4 laluan dibentuk; laluan pertama dan kedua memacu 2 unit amplifier 4 channel Hertz HCP4, manakala laluan ketiga dan keempat pula terdiri dari 2 unit amplifier monoblock Hertz HCP1D.
Laluan pertama dan laluan kedua memberikan definisi tepat untuk sistem talaan ESQL itu sendiri. Laluan pertama bertumpu di bahagian kabin dengan 2 unit speaker komponen Hertz ESK165.5 yang dipasangkan pada kedua-dua belah panel pintu. Ini diikuti 2 unit tweeter Hertz yang diletakkan pada setiap penjuru dashboard dan terakhir pada laluan kedua ini adalah 2 unit tweeter Powerbass. Namun, ia tidak diletakkan di bahagian kabin, sebaliknya dipasangkan pada perumah khas di bahagian belakang menyertai barisan speaker untuk laluan kedua.
Sebanyak 4 unit mid bass Hertz EV165.5 dan 4 unit tweeter Hertz digunakan untuk laluan kedua yang mana 4 unit mid bass dipasangkan dengan mengapit 2 unit tweeter Powerbass. Manakala 4 unit tweeter tadi pula dipasangkan sedikit tersembunyi. Sebagai penutup, laluan ketiga dan keempat pula khas untuk woofer Hertz ES300.5. Kedua-dua unit woofer ini dipasangkan dalam perumah khas di ruang letak barang yang menjadi pentas sistem audio Tuscani. Ia turut dimeriahkan patung naga emas dan sebagai kesan khas, 4 unit lampu LED dalam kaca akrilik ditanamkan di sisi setiap woofer dan kelihatan seakan mesin transporter. Wah, hebat bukan?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 77