Dalam masa kurang dari setahun saya ke Klang untuk sesi fotografi Myvi milik pakcik ini. Dalam masa itu juga, ia telah berubah 100 peratus dari keadaan asal. Pada mulanya saya sangka ia sebuah kereta yang berbeza, namun apabila ditunjukkan gambar lama barulah saya boleh panggil semula ingatan lama yang suam-suam kuku.
Anda boleh membezakan seorang yang serius mengikuti hobi ini ataupun jenis bermusim. Biasa ke pertandingan autoshow? Anda boleh bezakan, kaki yang betul-betul gila ataupun mereka yang sekadar mencuba nasib dengan ubahsuai ala kadar. Kalau anda jumpa Myvi ini di pertandingan, lebih baik undur diri kalau ilmu di dada tak cukup kuat.
Membina semula sistem baru pada sistem sedia ada adalah cabaran paling besar yang dihadapi oleh pemilik dan installer. Ini kerana sebahagian pendawaian lama masih boleh digunakan semula namun proses penandaan dan laluan kemudiannya perlu ditentukan secara khusus untuk mengelakkan pembaziran sumber. Menggunakan kepakaran installer yang sama, fasa kedua kelahiran semula kereta ini berjalan dalam masa hampir 3 bulan.
Pemain utama dipasangkan dari pemain Pioneer dengan fungsi main balik DVD dengan skrin sesentuh. Pemain kedua ialah sebuah pelaras Kenwood yang memainkan USB serta media cakera padat biasa. Laluan isyarat pemain ini dipecahkan semula kepada 3 saluran yang berbeza menggunakan 3 unit pelaras pre-amp Kole Audio siri QX1-90EQ. Pemecahan signal ini untuk memastikan kesinambungan kuasa yang dijana mampu menghasilkan arus bunyi mengikut gelombang yang diagihkan.
Dari 3 saluran utama ini kuasa diperkuatkan dengan 4 unit amplifier yang semuanya datang daripada jenama Kole Audio. Jenama yang terkenal dengan konfigurasi SPL ini turut membantu mengekstrak kuasa bagi gelombang sederhana dan tinggi.
2 unit amplifier 4 channel bertugas megeluarkan bunyi dari 8 mid dan 8 tweeter Adams Digital yang diposisikan pada lokasi berbeza. Sektor belakang dipasangkan pada bahagian tailgate dengan perumah custom membalut segenap bahagian. Jujur saya boleh komen bahawa pemasangan pada kereta ini cukup kemas. Bukan sebab ia baru dibina tapi memang installernya mementingkan perincian yang teliti.
6 lagi set mid Hertz dan 4 unit bullet tweeter Kole Audio dipasangkan di dalam kokpit pada panel pintu. Jika itu belum mencukupi untuk menyerlahkan nilai estetiknya, perumah panel pintu ini telah dibina dengan ekstensif untuk menempatkan aksesori lain seperti beberapa unit monitor 7” di setiap bahagian dan juga set tweeter yang dipasang dengan kemas.
Senjata terakhir Myvi ini datangnya dari 4 unit woofer Adams Digital berdiameter 12” yang dimuatkan terus di dalam but belakang. Pemasangannya adalah cabaran terbesar berikutan ruang yang terhad. Woofer ini mendapat suntikan kuasa daripada 2 unit amplifier monoblok Kole Audio siri QX5000D.
Sentuhan dalaman yang dibuat pada Myvi ini termasuklah pemadanan aksesori audio visualnya yang canggih. Di bahagian kerusi belakang terletak seunit TV LED 32” yang diletakkan melintang pda posisi penyandar kerusi yang telah ditanggalkan. Susunan amplifier, balutan semula kerusi dengan PVC 2 tona memberi penyudah yang menakjubkan dalam merealisasikan impian pemiliknya untuk menghasilkan sebuah kokpit yang dominan.
Di petak pertandingan, kenderaan tidak hanya dinilai dari sudut audio sahaja. Nilai artistik rekabentuk badan juga menjadi kriteria pemilihan pemenang. Justeru, pemiliknya telah menempah kit khas daripada RTW Free Design untuk Myvi beliau. Menyerlahkan lagi penampilannya ialah roda 20”, ya 20” yang disatukan bersama set suspensi udara yang ditempah khas dari luar negara.
Serius?
Ya. Anda boleh menilai hasil akhir dan kemenangan yang akan dipungut dalam bulan-bulan akan datang. Saya suka untuk melihat projek begini muncul setiap hari untuk memeriahkan industri modifikasi dan juga audio secara khususnya. Kita maklum bahawa kereta moden kebanyakannya menghadkan penukaran pemain utama dan juga batasan jaminan pengeluar tapi itu bukanlah penghalang kerana hampir setiap minggu saya dapat lihat pertandingan dan show-off audio ini dibarisi muka baru dan kereta-kereta model baru.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 58