Racun itu benar. Eh, tunggu dulu. Jangan salah faham. Maksud racun di sini bukan yang digunakan untuk bunuh serangga tetapi benda yang berjaya mempengaruhi seseorang. Mungkin ada juga maksud lain bergantung kepada pemahaman masing-masing tetapi kali ini maksudnya sangat sesuai dengan pemilik Alza kuning dari Kedah ini, saudara Faizal Izwan Bin Salleh.
Semuanya bermula dari melihat kawan-kawan bermain audio, akhirnya Izwan tidak dapat menahan godaan dan terjebak sama. Sejak saat itu sehingga kini, Faizal kekal dengan minat audionya dan percayalah, Alza yang dapat dilihat sekarang ini bukan kenderaan pertama menjadi eksperimen beliau dalam mencari sistem audio yang benar-benar dapat memberikan kepuasan.
Bukan mudah untuk mendapat janji temu peminat audio yang berasal dari Kota Sarang Semut (Alor Setar) yang kini menetap di Sungai Daun Yan. Mujur wakil Kar HiFi berjaya menjejaki beliau dan ssempat merakam Alza yang sarat dengan sistem audio dari pelbagai jenama. Bukan seperti kebanyakan kereta yang cenderung memilih satu jenama, Faizal bebas memilih apa sahaja jenama kerana yang penting, bunyi akhir yang dihasilkan cukup memberi kepuasan.
Sebelum membina sistem audio pada Alza kuning ini, Faizal terlebih dahulu bermain audio dengan kereta Gen2 miliknya sekitar tahun 2012. Kalau anda masih ingat, ia antara tahun di mana audioshow memang rancak diadakan terutamanya di bahagian utara. Maka, tidak hairanlah Faizal turut terjebak dalam dunia audio dan masih meneruskan minatnya ke atas Alza pula.
Mungkin tidak serancak dahulu tetapi semangat Faizal seharusnya diberi pujian kerana tetap cekal sekali gus menghidupkan dunia audio yang suam-suam kuku dan untuk meneruskan lagi legasi audio, beliau memilih talaan SPL untuk Alza ini. Seperti kebanyakan pemilik kereta audio lain dari bahagian utara, Faizal juga menggunakan jenama dari Thailand yang sudah kerap kita lihat di Kar HiFi iaitu Kingdom dan beberapa jenama lain termasuk Exspider. Rasanya tidak perlu diulang banyak kali kerana ramai sudah maklum tentang kualiti audio dari sana. Memang bagus belaka.
Sebelum menjenguk sistem audio yang dipasangkan pada Alza ini, tercuit pulak di hati saya menyentuh tentang warna dan susunan interior mahupun eksterior pilihan Faizal. Disaluti dengan cat warna kuning yang turut menyaluti sebahagian aksesori interior termasuk panel pintu dan juga dashboard. Ianya dipadankan pula dengan warna putih seakan silver yang tampak bersih. Gabungan warna ini diteruskan sehingga ke bahagian belakang di mana ianya dijadikan sebagai tempat paduan sistem audio.
Baiklah, sistem audio kereta ini boleh dibahagikan kepada dua; depan/dalam dan juga belakang. Pemasangan sistem audio yang sama sering digunakan oleh kebanyakan peminat audio dan lazimnya, pemasangan ini menjadi pilihan penggemar audio yang aktif menyertai pertandingan. Di waktu santai, mereka memilih untuk mendengar alunan audio dari bahagian kabin. Bila tiba waktu pertandingan, bahagian belakang menjadi tumpuan.
Bagi sistem audio di bahagian dalam, Faizal mengekalkan pemain utama dari stok kilang dan menambahkan sebanyak 4 unit mid bass 6.5 inci Exspider yang setiap satunya dipasangkan pada setiap panel pintu. Kemudian, bagi memberi frekuensi tinggi, Faizal telah menambah dua unit tweeter yang dipasangkan setiap satunya di hujung pillar A. Bergerak ke bahagian belakang, baris kerusi penumpang kedua telah dicabutkan untuk memberi ruang perumah khas yang digunakan sebagai tempat menyimpan barisan amplifier, pemain head unit JVC dan juga pre-amplifier.
Kekemasan bahagian perumah yang menyimpan setiap barisan amplifier dan sebahagian sistem audio Alza ini adalah hasil kerja Faiz Audio Design. Cukup kemas dan teratur, tak sia-sialah Faizal mengorbankan bahagian ini. Setiap amplifier yang disimpan di sini berfungsi memacu barisan speaker yang ditanam dalam perumah khas di bahagian belakang. Sebanyak 2 unit amplifier monoblock custom made dari Thailand digunakan untuk memacu 4 unit PA speaker dari Exspider. Woofer ini ditanamkan di bahagian belakang dalam perumah khas tadi yang turut disertai gugusan speaker lain.
Sebanyak 7 unit mid bass 6.5 inci dari Exspider telah digunakan, diikuti 3 jenis tweeter; 2 unit tweeter Exspider, 4 unit bullet tweeter jenama Thailand dan juga 2 unit mid tweeter 5 inci. Kesemua speaker ini dikuasakan oleh 2 unit amplifier class 4 channel dari Johnny Monitor, satu lagi jenama Thailand. Selain itu, Faizal turut menggunakan aksesori tambahan iaitu 2 unit pre-amplifier dari jenama Kingdom. Sepertimana yang dikatakan awal tadi, bagi sistem audio bahagian ini Faizal telah memasang pemain head unit dari JVC.
Bagi menimbulkan keseronokan berada dalam Alza ini, Faizal telah menambah beberapa aksesori lain seperti lampu VIP pada bahagian pintu dan bumbung. Kalau berjalan jauh, memang seronok layan audio yang sedap telinga mendengar dan selesa pula keadaan dalamnya. Bila hujung minggu pula, boleh hentam audio tapi jangan sampai kejutkan jiran pulak. Lain ceritanya nanti!