Teknologi berkembang dari segenap aspek. Lihat sahaja penggunaan komputer peribadi. Seingat saya sewaktu mula-mula teknologi komputer ini mula meluas sekitar penghujung tahun 90-an. Sebuah komputer peribadi pentium 386 berharga RM3000. Monitor CRT yang berat itu mencecah seribu ringgit. Usahkan berbicara tentang kelajuan internet, nak simpan dokumen dalam ‘microsft word’ pun boleh ambil masa yang lama. Lembab!
Sebelum kehadiran jenama Asia, pasaran sistem audio kenderaan terbatas di kalangan mereka dari golongan elit. Teknologi 80-an dan 90-an sangat berbeza dengan apa yang kita dapat saksikan pada hari ini. Pada tahun 1985, televisyen sebesar peti sejuk, harganya RM2000, sekarang televisyen LCD berjenama pun hanya separuh dari itu.
Apa pula kaitannya dengan dunia audio? Audio juga berkembang menjadi teknologi yang mampu dimiliki semua. Sebelum adanya jenama seperti Performance, peminat audio rantau Asia terutamaya Malaysia terpaksa bergantung kepada jenama buatan Jepun seperti Kenwood, Pioneer atau jenama luar seperti Rockford Fosgate dan JL. Sebenarnya, jenama ini dipilih kerana limitasi pilihan yang ada ketika itu. Saya masih ingat, tahun 90-an, dunia audio tidaklah meriah mana. Kereta-kereta demo yang biasa juga lazimnya hanya 2 speaker. Perlu diingatkan bahawa ketika itu, sebuah monoblock harganya lebih RM2000, amatlah tinggi jika dibandingkan dengan jurang pendapatan hari ini.
Performance adalah antara jenama yang mula meningkat naik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebabnya mudah, harga yang kompetitif dan kualitinya pula setanding jenama barat dan eropah. Jenama sebegini dipasarkan secara khusus untuk pasaran terbuka tempatan, menjadikannya lebih mudah diuji. Jika bukan kerana kualiti yang terjamin, tak perlu tunggu lama, setahun saja pasti berkubur.
Sistem audio kereta ini bermula dengan unit pemain utama Pioneer DEH-6050UBG. Antara ciri menarik pemain ini adalah ia didatangkan dengan hi-pass dan low-pass crossover serta 3 sambungan RCA. Jika anda ingin membina sistem yang lebih ringkas, pemain ini juga bagus kerana didatangkan dengan sub control dan media dengan sambungan USB.
Pemain ini kemudiannya disambungkan kepada dua buah pre-amp iaitu Caliber CPE-707A dan Carspec CX-998. Pre-amp Caliber bertugas menapis frekuensi untuk rangkaian speaker mid sementara Carspec khas untuk menapis frekuensi sebelum sampai kepada sub woofer.
Pre-amp Caliber CPE-707A disambungkan kepada sebuah amplifier 4 channel yang bertanggungjawab memandu 8 buah speaker mid Performance PF-652 yang dipasangkan pada bahagian but belakang. Bersama dengan mid bass ini ialah 4 unit horn tweeter Performance PF-25HT. Dengan kuasa sebegitu banyak diperlukan oleh sebuah amplifier 4 channel, maka sebuah kapasitor Horizon 2.0 farad dipasangkan untuk menstabilkan pengaliran kuasa.
3 unit woofer 12” Performance PF-12DD dipasangkan kemas dalam enclosure custom di bahagian but. Woofer dengan voice coil berkembar ini berkeupayaan menghasilkan sehingga 1000Watt dan semestinya sebuah amplifier yang benar-benar berkemampuan diperlukan. Untuk tujuan itu, amplifier monoblock Performance PF-2400.1 dipasang untuk memandu sub tersebut sementara kuasanya distabilkan oleh kapasitor Horizon 2 Farad yang sama.
Penggunaan jenama Performance yang menyeluruh membuktikan bahawa gandingan 1 sistem dengan talaan yang betul mampu memberi hasil akhir yang cukup memuaskan. Walaupun pada awalnya, saya agak skeptik dengan jenama sebegini, namun setelah mengamati kualiti bunyi yang dihasilkan oleh sistem Accord ini membuat saya berfikir dengan serius. Jika ini boleh dibuat, bagaimana agaknya jenama yang berharga lebih sekali ganda lain boleh cari makan?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 16