Ramai beranggapan yang bermain audio itu satu hobi mahal dan hanya layak untuk golongan kayangan atau ada-ada sahaja. Tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai satu hobi membuang masa dan pembaziran yang amat jelas kerana sanggup berbelanja ribuan malah ratusan ribu ringgit semata-mata untuk memiliki sebuah sistem audio yang gah. Benarkah begitu?

Sebenarnya itu semua terserlah kepada persepsi masing-masing sama ada menganggapnya sebagai satu hobi atau membina satu sistem audio yang serius untuk menyertai pertandingan. Kedua-duanya tidak salah dan bergantung kepada kemampuan masing-masing. Ada yang bermula sebagai hobi untuk memiliki sebuah sistem audio yang memenuhi citarasa sendiri. Lama-kelamaan, mencuit rasa ingin tahu setakat mana kehebatan sistem audio dimiliki dengan menyertai pertandingan.

Walaupun sekadar hobi, percayalah bahawa para pemilik sistem audio ini sangat cerewet dan sanggup ‘memburu’ produk audio yang tepat agar dapat mencapai apa yang dikehendaki. Duit bukan satu alasan kerana kepuasan hati memiliki dan mendengar lantunan audio yang dekat di hati dan mesra di jiwa berjaya ditemui. Mungkin alasan ini tidak dapat meyakinkan ramai orang tetapi bukan kepada mereka yang menghargai keindahan seni audio atau lebih tepat lagi, golongan audiophile.



Bercakap tentang audiophile, pelbagai pertandingan melibatkan audio kereta diadakan sama ada berkapasiti kecil-kecilan mahupun bertaraf antarabangsa seperti anjuran EMMA. Bagi yang baru berjinak-jinak dalam dunia audio, EMMA adalah singkatan untuk European Mobile Media Association. Diasaskan di Eropah untuk mencari sistem audio kualiti hebat yang kini diadakan di seluruh dunia setiap tahun termasuk di negara-negara Asia seperti Malaysia dan Singapura.

Pada bulan September lalu telah berlangsungnya EMMA Singapore Championship 2022, menghimpunkan pelbagai kereta dengan sistem audio yang bukan calang-calang tetapi sebuah penyertaan berjaya menarik perhatian sepanjang pertandingan. Sebuah SUV, Subaru Forester yang membawa pulang dua tropi kemenangan iaitu juara untuk Best of Sound dan juga tempat ketiga untuk kategori Entry Unlimited.

Sistem audio yang dipasangkan ke atas Subaru Forester ini merupakan hasil sentuhan installer Auto Action yang telah melakukan persiapan cukup sempurna sebelum dihantar bertanding dalam pertandingan berprestij ini. Muncul juara kategori Best Of Sound bukan satu kemenangan biasa-biasa tetapi sesuatu yang boleh dijadikan rujukan khususnya kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan sebuah sistem audio sedap didengar di telinga. Apa senjata rahsia kemenangan ini?

Sebagaimana disebut sebelum ini, peminat audiophile sanggup berhabis banyak untuk mendapatkan audio yang memuaskan citarasa. Kalau setakat hobi pun mereka mampu buat apa sahaja, inikan pula menyertai pertandingan. Pemilihan produk audio yang tepat bukan sahaja memberi nikmat tetapi juga memulangkan ganjaran hebat. Sebagai senjata rahsia, Action Auto telah memasangkan sebuah android player Matchtig seterusnya menjulang kejuaraan kategori Best of Sound!

Pemain utama memainkan peranan penting dalam sesebuah sistem audio, seterusnya disokong dengan jentera audio yang lain. Android player Matchtig ini mempunyai kelebihan tersendiri berbanding android player sedia ada di pasaran. Selain spesifikasi yang boleh ditemui di android player lain, kelebihan android player Matchtig ini terletak pada DSP binaan-dalam yang didatangkan dengan fungsi DTS atau Digital Theater Sound yang mengeluarkan bunyi dengan sempurna dan jelas.

Senjata rahsia Subaru sang juara EMMA Singapura telah pun dikongsi. Selepas ini pasti ramai yang mahu memasangkan senjata yang sama dalam sistem audio masing-masing. Kalau itu terjadi, semakin sukar tugasan barisan juri untuk memilih juara baharu. Mungkinkah Subaru Forester ini mengekalkan kejuaraannya dengan menggunakan senjata rahsia yang lain? Nantikan November ini di National Finals diadakan bersama EMMA Asia Finals 2022 yang turut menghimpunkan para peserta dari Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia, Thailand dan Malaysia.





































