
Pembinaan sebuah sistem audio bukanlah satu kerja mudah, sebaliknya memerlukan perancangan teliti. Ia turut bergantung kepada gabungan pemilihan aksesori dan teknik pemasangan yang betul dari installer. Apatah lagi, kalau sistem ditala merupakan sistem SPL, mementingkan kemantapan bunyi yang mampu menggegarkan bumi.
Itulah yang ingin dicapai Yoong Heng Car Accessories menerusi kereta demo Satria ini yang dipenuhkan dengan kelengkapan audio berjenama Lightning Audio. Apabila sebut nama Lightning Audio, pasti ia sudah sinonim dengan pencinta audio.
Jenama yang datang dari Amerika Syarikat ini memegang reputasi cemerlang, seiring dengan jenama high-end sedia ada di pasaran. Bagi mendefinisikan setiap perincian bunyi sistem audio Satria ini, seunit pemain utama Pioneer DEH-2150UBG dipilih untuk mengepalai sistem audio.
Bagi memantapkan isyarat yang dihasilkan, seunit line driver Adams Digital dan seunit pre-amp Autocraft digunakan. Dua aksesori audio tambahan ini digunakan untuk meningkatkan mutu audio yang dihasilkan sebelum diagihkan kepada bahagian seterusnya yang terdiri daripada 3 unit amplifier 4 Channel Audio Strike S4.400.4
Setiap unit amplifier ini membentuk 3 laluan yang terdiri daripada speaker, tweeter dan woofer. 2 unit amplifier ini, masing-masing memacu 4 unit speaker coaxial 6.5” Lightning audio dan 2 unit tweeter. Manakala seunit lagi amplifier digunakan untuk memacu 4 unit woofer 15” Lightning Audio. Meneliti galur pembinaan sistem audio Satria ini, pasti anda dapat menjangka kemantapan perpaduan bass yang dihasilkan, terutamanya yang datang dari woofer 15” tadi. Ya, kuasa halilintar!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 38




















