Bagi peminat ICE yang juga kebetulan peminat MTV, pasti tidak asing lagi dengan salah satu program terkenal terbitannya, Pimp My Ride. Rancangan ini yang mula dikenali dengan pengacaranya, penyanyi hip hop terkenal Xzibit menjadi satu fenomena dalam dunia modifikasi permotoran, khususnya kereta. Bersesuaian dengan saluran MTV, modifikasi dilakukan menjurus kepada sistem audio. Modifikasi dan pengubahsuaian yang bukan calang-calang. Sangat luarbiasa, dinamik dan menakjubkan. Masalahnya, adakah modifikasi MTV ini sesuai diadaptasi di Malaysia?

Soalan itu kerap timbul setiap kali saya menonton rancangan ini. Waktu itu, saya masih belum terlibat dalam dunia ICE mahupun bertugas sebagai pengarang artikel di majalah ini. Pimp My Ride menjadi salah satu rancangan kegemaran kerana ia bagaikan segmen yang dipenuhi silap mata. Silap mata? Sebuah kereta yang sangat daif dan layak ke kedai besi, ditransformasi menjadi sebuah kereta yang WOW! Boleh percaya ke? Diubah dalam masa tak sampai setengah jam. Maksud saya, setengah jam itu adalah durasi masa tayangan di kaca televisyen. Tentu ia memakan masa lebih dari itu.

Kalau tidak, tentu kereta Wira dengan konsep Pimp My Ride milik saudara Salleh ini boleh disiapkan dalam masa setengah jam, betul tak? Reaksi pemilik-pemilik kereta dalam rancangan ini pula adakalanya, sangat berlebihan. Betul atau main-main? Atau mungkin itulah tanda kesyukuran yang mampu mereka tunjukkan sebab kalau tunggu duit keluar dari poket sendiri, tak terbuat. Baiklah, saya terima alasan yang kedua. Syukur.

Bagi peminat ICE seperti saudara Salleh, pembinaan dan pengubahsuaian pada Wira ini perlukan perancangan yang terperinci. Ia bukan sekadar lekat dan tampal, lalu berpuashati. Tetapi menjalani proses yang memerlukan perancangan, pemerhatian, penelitian dan barulah datangnya kepuasan. Jujurnya, Wira ini mampu membuatkan kening saya terangkat berkali-kali. Tak sangka, sejauh ini saudara Salleh berusaha mengorbankan wang, masa dan pastinya sebahagian kereta ini sendiri semata-mata untuk mencapai kepuasan.

Peminat setia jenama MTX Audio ini telah mendapatkan khidmat dari salah sebuah installer terkenal di Labuan, Advans Motor Accessories. Tahniah harus diucapkan kepada mereka kerana berusaha dan berjaya menghasilkan sebuah jentera mengikut apa yang dihajatkan. Mengekalkan enjin stok dengan kit bolt turbo, tema yang tepat dan dipenuhi jenama MTX Audio kegemaran Salleh. Lebih istimewa lagi, Wira ini disuntik dengan teknologi hujung jari yang bermaksud, sistemnya beroperasi dengan sentuhan butang pada alat kawalan jauh. Apa yang lebih bagus dari ini?

Medan pusat sistem ICE ini tertumpu kepada pemain utama dari jenama Pioneer siri KEH, KEH – P8015. Data yang diproses di sini akan dihantar dan diagihkan kepada 3 bahagian; pre-amp Adams Digital ADP – 402, pre-amp dan pre-mic karaoke Prospec PS – 802 dan VHF dwi-channel Cenfonix WR803C. Dua item dari Prospec dan Cenfonix ini merupakan peranti tambahan untuk hiburan, berkaraoke. Wah, seronoklah kalau terperangkap dalam sesak sekalipun. Angkat mic, kita nyanyi puas-puas!

Isyarat dibaca pre-amp Adams Digital diagihkan kepada 4 laluan yang setiap satunya dikepalai seunit amplifier. Laluan pertama, diketuai satu unit amplifier 2 channel MTX Audio siri Thunder, Thunder 4252. Amplifier ini memacu 2 set speaker komponen MTX Audio TX6001 yang terdiri daripada 4 unit mid bass, 4 unit dome tweeter dan 4 unit crossover. Set ini di tempatkan di panel pintu bahagian hadapan kereta. Lokasi yang bijak. Laluan kedua didahului seunit amplifier 4 channel MTX Audio dari siri Thunder, Thunder 704X. Amplifier ini memacu 2 set speaker komponen MTX Audio siri Road Thunder RTS652 yang terdiri daripada 4 unit mid bass, 4 unit dome tweeter dan juga 4 unit crossover.

Seterusnya, bagi memantapkan bunyi bass, saudara Salleh menerusi installernya telah memasang 4 unit woofer 12” MTX Audio siri Thunder-4500 T4512-44. Keempat-empat woofer ini dipacukan 2 unit amplifier monoblock yang mana setiap satunya memacu 2 unit woofer. Amplifier yang dipilih untuk menggalas tugasan ini adalah dari MTX Audio, seunit amplifier monoblock MTX Audio RFL1200D dan seunit amplifier monoblock MTX Audio Jack Hammer JH1200.

Yang menariknya tentang susunan di bahagian belakang ini, rak yang menempatkan barisan speaker komponen tersembunyi dan akan ditampilkan apabila perumah woofer diangkat ke atas. Rak speaker komponen ini akan meluncur kehadapan dan berhenti sebaik sahaja alat pengesannya dapat mengunci antara papan rak speaker komponen dengan perumah woofer. Begitu juga pada bahagian tempat duduk di bahagian belakang yang khusus untuk barisan amplifier. Kemas dan hebat. Amat canggih. Bukan itu sahaja, LCD yang menghiasi panel pintu hadapan juga akan meluncur naik. Jadi, apabila semua pergerakan berhenti pada posisi yang telah ditetapkan maka bersedialah untuk berhibur berhabis-habisan.

Bagi mendefinisikan tema Pimp My Ride dengan tahap paling maksima, installer telah menggunakan pemain AVF HD untuk menguasakan 2 unit monitor LED Samsung 18”. Bila melihatkan setiap ruang dipenuhi dengan aksesori audio, amatlah mustahil bekalan tenaga hanya mengharapkan bateri yang sedia ada. Justeru itu, untuk mengelak keseronokan tergendala di tengah jalan, installer telah menggunakan seunit bateri Stinger Power Series SPV44 dengan kuasa 660amp. Sekarang, anda berani bertarung dengan kereta Wira ini?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 30























