‘Permainan’ sistem audio kenderaan lazimnya dapat dilihat berbeza mengikut faktor geografi. Maksud saya, umumnya, kita dapat melihat corak binaan sistem yang berbeza bergantung kepada lokasi kenderaan tersebut. Mungkin ia sukar dinilai secara subjektif namun sejak setahun yang lalu, dengan pengalaman merentasi segenap pelusuk bumi Malaysia, kami di sini dapat menyaksikan beberapa jenis pengubahsuaian yang berbeza.
Pengembaraan kami ke utara tanahair awal tahun yang lalu membawa pulang bukan sedikit contoh sistem audio di sana. Buktinya, sehingga tahun hadapan, kami masih mempunyai bahan untuk dipaparkan. Lucu? Tidak, memang stoknya tidak terhad malah kami terpaksa menolak beberapa sesi kenderaan yang tidak tahu tahun bila akan dipaparkan dalam majalah. Jika anda peminat ICE tegar dan membeli majalah berkaitan ICE setiap bulan, anda pasti setuju bahawa kami sentiasa di hadapan berbanding pesaing majalah yang lain.

Di sebelah utara, pemilihan jenis kereta tidaklah begitu dipentingkan. Perhatikan kereta Iswara ini, susunan komponen audio dan limpahan lampu LED dalam butnya tampak sempurna, Cuma ia sebuah Iswara dan kalau di Lembah Kelang, sistem sebegini biasanya kita temui pada sebuah Vios, Civic atau setidak-tidaknya Wira, bukan?
Sistem SPL walaupun secara teorinya memerlukan kekedapan dinding yang bagus (maknanya kereta yang baguslah) ia bukanlah tentang kedap sahaja. Jika anda masukkan tiga buah woofer 12 inci dalam sebuah but yang hanya berkapasiti 300 liter, maka di sini, apa kereta pun akan menghambur dentuman yang cukup buas. Resepinya kini bersifat kontra, dengan kekedapan yang kurang, maka anda perlukan banyak woofer. Banyak speaker dengan banyak kuasa. Selebihnya, hiaskan jadi lebih menarik berbanding Iswara yang dipandu ustaz ke sekolah.

Sistem pada kereta ini didahului oleh pemain JVC model KD-G245. Saya nak cerita pun rasanya anda semua tahu bahawa inilah pemain CD JVC yang paling asas. Dengan 1 pre-out sahaja dan kekurangan serba serbi dari sudut teknikal. Namun bagi pemilik kereta ini, pemain hanyalah sekadar pembaca CD sahaja. Kerja-kerja menapis frekuensi dan ekstrak bunyi diserahkan terus pada pre-amplifier JW EQL5.1.
Sistem bunyi kereta ini dikuasakan oleh tiga buah amplifier yang terdiri dari jenama JW Audio kesemuanya. Unit-unit ini memancarkan kuasa kepada speaker yang dipasang kemas dalam but kereta. Unit pertama ialah power amplifier 2 Channel JWA2600 yang menguatkan kapasiti kuasa sepasang tweeter jenis horn. Tweeter ini dipasangkan bersama di bahagian boot lid bersama dengan empat buah mid bass.

Mid bass JW 612 berukuran 6 inci setengah itu menerima kuasa daripada power amplifier JW Audio model JWA4600. Setiap satu channel untuk satu speaker. Dalam istilah inggeris disebut kuasa yang ‘precise’ tepat dan tidak mengganggu rakan speaker yang lain baik apa juga volume yang ditetapkan.
Kumpulan mid bass dan tweeter ini dimuatkan dalam perumah custom yang diperbuat daripada papan nipis dengan salutan kayu yang lebih kukuh. Ia membenarkan pemasangan yang kemas dan memberi kelegaan pada ruang belakang speaker untuk bernafas. Magnet tidak cepat panas dan kon lebih fleksible untuk ‘menyedut udara’.

Set terakhir ialah tiga buah woofer yang dipasangkan dalam cara tradisional. Tiada gimik atau enclosure yang rumit. Ketiga-tiga unit woofer JW 1250 ini dibekalkan kuasa oleh sebuah power amplifier monoblock JW Audio JWA 13000D. Bunyinya? Jangan tanya. Saya yang duduk di sebelah rasa macam kena lari 1 kilometer baru boleh bercakap dalam telefon bimbit.
Saya suka dengan corak pemasangan dan kemasan dalam but kereta ini. Biarpun dengan usia kereta yang berbelas tahun, ternyata pemiliknya tidak mahu ketinggalan dalam bab hiasan yang sempurna. Limpahan lampu LED sudah menjadi trend wajib dewasa ini. Penggunaan PVC hitam yang membalut ruang vinyl, kerangka dan perumah sistem audio benar-benar menjadikan kereta ini nampak muda.

Pemiliknya memiliki selera pengubahsuaian yang sama pada kosmetik kereta. Cuma pendapat peribadi saya, Iswara sesuai dengan panel badan asal dengan sport rim dan rendah. Tapi lain orang, lain seleranya bukan?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 15






















