Hobi, sesuatu yang dilaksanakan setiap kali adanya masa lapang. Macam-macam benda boleh dijadikan sebagai hobi. Dari sekecil-kecil benda hinggalah sebesar-besarnya. Hari ini, hobi menjadi semakin pelik tetapi unik seperti mengumpul botol-botol lama, patung-patung ‘superhero’ mahupun mengumpul kasut-kasut sukan. Namun, ada juga hobi yang telah diangkat menjadi sebagai salah satu cabang sukan. Ya. Hobi yang dimaksudkan ialah audio kereta atau lebih tepat lagi, ICE.
Kalau mahu diberi klasifikasi kedudukan ICE sebagai hobi, ia tidak tergolong kepada kumpulan manusia tertentu. Dengan bahasa yang lebih mudah, ianya hobi untuk semua peringkat umur, tanpa mengira status mahupun pekerjaan. Ia digemari hampir segenap lapisan masyarakat. Buktinya, saudara Anjan P. Putra SH. Seorang pegawai polis yang bertugas di bahagian narkotik Indonesia. Dalam usia yang sudah mencecah 40-an dan sentiasa dikelilingi kesibukan kerja, beliau tetap mempunyai masa untuk diri sendiri, bermain ICE.
Bertugas di Polda Metro Jaya, saudara Anjan yang sentiasa tampil ceria tetapi tegas ini merupakan pecinta muzik yang pelbagai termasuklah audiophile, jazz, R&B dan lain-lain. Dengan kepadatan jadual kerja, waktu lapang yang ada digunakan sebaik-baiknya. Beliau gemar menghabiskan masa bersama isteri dan anak tersayang, bersiar-siar dengan menaiki kereta sambil menikmati muzik yang indah. Justeru itu, amat penting untuk sistem ICE miliknya ini sentiasa menghasilkan kualiti muzik yang terbaik.
Jika dilihat dengan lapisan pandangan pertama pun dapat dibaca secara jelas, kereta Starlet tahun 1995 ini telah menjalani siri modifikasi yang pelbagai. Namun begitu, kereta ini lebih memberat kepada modifikasi prestasi dan tentunya, sistem audio. Sebelum bermesra dengan sistem ICE, perlu juga disentuh serba sedikit tentang modifikasi prestasi yang dipakaikan ke atas kereta yang sudah pun mencecah usia 16 tahun ini.
Enjin OEM telah digantikan dengan enjin turbo dari pasaran domestik Jepun, diikuti dengan blow-off valves dan pemasa turbo. Manakala bahagian eksterior pula turut digantikan dengan alatan versi Jepun yang tidak terdapat di pasaran Indonesia. ECU digantikan dengan ECU Haltech. Muffler berprestasi tinggi turut dipasang untuk dipadankan dengan enjin tadi.
Kembali kepada niat sebenar menyelongkar sistem ICE dipikul Starlet ini. Menurut kronologi, sebagaimana dikisahkan Erwin Kosasih, installer yang bertanggungjawab melakukan transformasi ke atas kereta ini. Pertama kali dibawa ke Radius Audio, kereta ini telah pun dipasangkan dengan sistem ICE tetapi tidak berfungsi dengan baik. Malah, banyak bahagian yang sudah rosak.
Untuk langkah pertama, Erwin menggantikan semua sistem ICE Starlet ini dengan jenama baru. Bermula dengan menukar pemain Vcd asal kepada pemain Dvd 2-din Vidiq 878VDQ. Pemain ini mengandungi slot USB, penyambung Ipod, dan bluetooth A2DP. Bersesuaian dengan kegemaran saudara Anjan yang menggunakan pelbagai alatan media. Jimat dan mudah, tidak perlu perangkat tambahan.
Seterusnya, Erwin membina pula sistem ICE di bahagian hadapan dengan gabungan sistem 2 way yang terdiri daripada dua unit mid bass RCF dan 2 unit tweeter 4” Vifa. 2 unit tweeter ini telah dilekatkan pada a pilliar, manakala mid bass RCF diletakkan pada panel pintu. Erwin juga menggunakan dua unit crossover pasif Peerless SDS Series.
Mengimbas kembali keadaan kereta ini, Erwin memberitahu bahawa bahagian tempat duduk belakang dikorbankan sepenuhnya untuk memberikan laluan kepada rak amplifier yang mana keadaan ini tidak seharusnya berlaku. Penggunaan ruang yang banyak ini mengundang pembaziran dan mengakibatkan kereta ini dinaiki oleh 2 penumpang saja dalam satu-satu masa. Memandangkan saudara Anjan gemar bersiar-siar dengan keluarganya, Erwin mengembalikan keadaan kereta ini dengan menambahkan tempat duduk ketiga.
Separuh binaan sistem ICE yang menduduki kawasan ini kemudiannya dipindahkan ke ruang letak barang. Ruangan tempat duduk belakang ini menjadi tempat persemadian 2 unit amplifier 2 channel Kenwood KAC-Q62 yang bertugas memacu speaker 2 way di bahagian hadapan dan juga 2 unit speaker coaxial di bahagian belakang. Erwin turut menanamkan 2 unit kapasitor Venom bagi menjaga kestabilan voltan sel bateri. Sel bateri kering ini digunakan untuk mengganti bateri lama, untuk membekalkan tenaga yang cukup untuk sistem ICE ini.
Semua kabel elektrik menggunakan 4 AWC untuk kabel Plus dan Ground. LED warna biru dan akrilik digunakan untuk menambahkan keindahan dalam pemasangan audio kereta starlet ini. Indah bukan?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 20