Model yang bergaya di sisi kereta ialah pemilik Myvi yang pernah kami siarkan tidak lama dulu. Namanya Rainee Tee tapi bukan kisah amoi ni yang nak kami ceritakan. Dah tentulah pasal kereta putih. Kereta ni milik Arashi Bodykit yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beberapa buah kereta projek mereka pernah tersiar sebelum ini.
Menjenguk ke bahagian dalaman kereta ini jelas menunjukkan ia dibina berdasarkan konsep VIP. Kereta ini dibuat dengan menyeluruh kerana bila melihatkan ‘dashboard’ Lancer, kami terus menjangkakan enjinnya dah ditukar. Ternyata telahan itu tepat bila melihat enjin 4G91 Lancer DOHC 1.5 di dalam bahagian enjinnya. Bukan setakat tukar enjin, ‘make-up’ pada ruang enjinnya juga berkilat dengan sinaran krom dan limpahan warna ungu merata-rata.
Bila membelek senarai audio yang dipasangkan pada kereta ini nyata ia bukanlah sekadar pelengkap syarat atau saja-saja letak banyak barang bila nak masuk ‘show’. Kereta ini memang lengkap dengan segala peralatan dan juga penalaan yang sempurna dengan produk yang dipasangkan pada kereta ini didominasi dari jenama Performance.
Peralatan pertama yang dipasangkan ialah pemain utama Pioneer DEH-P9650MP. Ini pemain generasi yang agak lama di pasaran tapi ramai yang masih menyimpannya kerana faktor kualiti dan juga paparan visualnya yang menarik. Pemain ini dihasilkan dengan teknologi ‘slider’ yang membolehkan paparan 1-din direka penuh. Kemasan perak pada pemuka luaran menyebabkan ramai orang menyangka ia pemain Pioneer kelas teratas. Ringkasnya pemain dengan pemproses DC 24 bit ini bukan sahaja kelihatan mahal, malah fungsinya juga boleh diharap.
Pemain ini disambungkan kepada seunit pre-amp 7 band Clarion EQ5746. Dari pre-amp ini, isyarat diperkuatkan oleh 2 unit amplifier Performance. Amplifier 4 channel Performance PF-8400 ditugaskan untuk membekalkan kuasa kepada set speaker komponen hadapan yang terdiri daripada model Performance PF-6.5. Kuasa dari amplifier ini turut dibekalkan kepada 2 lagi set PF-6.5 yang dipasangkan dalam kotak di bahagian but belakang.
Melengkapi keseluruhan sistem bunyi audio Wira Arashi ini ialah 2 unit woofer 12” Performance F12.4 yang dipasangkan dalam kotak di ruang bagasi. Woofer ini mendapat punca kuasanya daripada seunit amplifier monoblok Performance PF1700.1. Apabila saya minta pemiliknya mendemonstrasi sistem bunyi, walaupun dengan hanya 2 unit woofer 12” Performance PF-124, ia mampu menggegarkan sekitar kawasan parkir pada sesi fotografi kami. Siap pak guard tu datanglah tengok.
Sistem audio sahaja tidak menjanjikan sebarang keistimewaan jika kereta begini diletakkan di hadapan premis Arashi. Justeru, pengubahsuaian dibuat dengan memadankan bodykit lengkap rekaan Arashi sendiri. Ia melibatkan penggantian bampar depan dan belakang dan juga penambahan panel sisi lazimnya dibuat pada MPV seperti Alphard. Akhir sekali warna putih mutiara disembur pada seluruh badan Aeroback ini.
Seperti yang saya ceritakan di pembuka bicara tadi, bahagian dalaman kereta ini diubahsuai dengan tema VIP yang sangat ekstrem. Panel pintunya dibuat semula dengan bahagian gentian kaca dan semburan ungu mutiara, lelangit bumbung dibalut dengan fabrik Louis Vuitton, tempat duduk ‘bucket’ hadapan disalut dengan bahan berkilat yang saya sendiri tidak pasti ianya fabrik atau plastik.
Bahagian lantai dan kesemua vinyl diwarnakan dengan tema ungu. Aksesori seperti meja hidangan, kotak tisu, lampu gantung, ‘tray’ dan juga manik-manik swarovski menguasai bahagian dalaman kereta ini dengan ketara. Kombinasi modifikasi + audio + enjin meletakkan Wira ini dalam kelasnya yang tersendiri. Setiap bahagian pada kereta ini mendapat sentuhan kritikal pemiliknya.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah KarHifi edisi 31