
Dalam ketaksuban pengikut dunia automotif yang sedang dilanda fenomena MPV, kereta jenis hatchback masih menjadi pilihan klasik kepada segolongan peminatnya. Benar! Kereta jenis ini lebih serasi dengan golongan muda yang mahu tampak bebas dan dalam masa sama mengekalkan gaya yang ‘stylo’ serta ‘sporty’. Ia juga mudah dikendali dan memiliki struktur tubuh yang solid. Semestinya sukar untuk menidakkan kehadiran kereta ini yang kelihatan segak meluncur di atas jalan.
Meskipun begitu ada kata-kata nakal mengusik, beli kereta hatchback adalah pilihan kurang bijak kerana ianya bukan satu pelaburan yang bagus. Terutama sekali untuk jangka masa panjang, tambahan pula jika seseorang itu punyai bilangan ahli keluarga yang ramai. Apa-apapun, itu semua tidak menjadi masalah besar untuk pecinta kereta jenis ini. Malah, ada yang sanggup membeli kereta lain untuk famili dan menyimpan kereta hatchback ini kerana tidak sanggup melepaskannya.

Dewasa ini, terdapat pelbagai pilihan yang ada di pasaran. Malaysia juga turut mengeluarkan kereta hatchback seperti Satria dan Myvi yang nyatanya menjadi kegemaran para muda-mudi. Tidak kurang juga model antarabangsa yang sentiasa mencuri perhatian dan sekaligus memberikan persaingan sengit kepada pengeluar kereta tempatan. Antara yang berjaya mengungguli carta semestinya kereta keluaran Honda, Jazz seperti yang dimiliki oleh Ruzain Zainudin atau lebih mesra dengan panggilan Bowtak.
Jika anda peminat kereta yang selalu mengunjungi autoshow dan audioshow di sekitar kawasan lembah Klang, pasti anda sudahpun bertemu dengan kereta Jazz kuning ini. Bercelorengkan tompokan warna hijau dan kursif perkataan Jepun menghiasi dinding, menimbulkan suasana seakan berada di negara matahari terbit itu. Ia seakan penegasan kepada umum, Jazz kuning yang comel ini sentiasa bersedia untuk meledak pada bila-bila masa sahaja. Kalau tak percaya, cubalah dekat!

Sepertimana kaki-kaki I.C.E yang lainnya, Bowtak juga tidak pernah mengabaikan kebajikan Jazz kesayangannya. Cantik luar dan dalam. Secara jujurnya, Jazz ini antara contoh kereta yang menerima modifikasi seimbang. Samada dari sudut prestasi, interior, eksterior dan tentu sekali pada sistem audionya. Lihat saja pada bahagian belakang kereta ini yang sendat dengan jentera I.C.E yang rata-ratanya dari jenama Kicker dan Mohawk. Dapat bayangkan sekuat mana hentaman bass?
Jangan terlalu cepat membuat spekulasi. Sebelum terus terjun dalam lautan andaian, tibalah masa untuk menjalani proses ‘membedah’ I.C.E yang dipikul oleh Bowtak Jazz ini. Dan seperti biasa, head unit menjadi sasaran utama. Bowtak memilih dua head unit. KDC-M4524G dari Kenwood dan MTV-6001D dari MTV. Teringat pula kepada seorang installer yang berpendapat jenama Kenwood ini seakan adik kepada Pioneer. Sumpah! Sampai hari ini tak faham apa yang ingin disampaikannya.
Jika benar Kenwood sebagai adik, sepatutnya Bowtak harus menggandingkan ‘abangnya’ Pioneer pula sebagai head unit seterusnya. Pasti gandingan abang-adik ini mampu membingitkan lagi suasana. Namun begitu, Bowtak merisikokan jentera I.C.E miliknya dengan memilih jenama MTV yang amat asing. Mungkin, Bowtak ada pendapatnya sendiri. Lain orang, lain citarasa. Betul tak?
Isyarat yang dipancarkan menerusi head unit tadi seterusnya akan menjalani pemprosesan oleh pre amp dan elektronik crossover. Bagi menerima tugasan ini, pre amp MKQ-75 elektronik crossover MX3i jenama Mohawk menjadi pilihan Bowtak.
4 buah woofer berdiameter 12” jenama Kicker dari siri Kicker ES digunakan untuk menerima isyarat yang dipancarkan. Woofer ini amat bersesuaian sebagai permulaan kepada sistem talaan SPL. Kesemua woofer ini diletakkan di bahagian belakang dalam perumah yang dibina khas. Selain itu, turut mengiringi woofer ialah 4 biji mid bass 6”, 4 biji horn tweeter dan 2 biji dome tweeter. Menariknya, mid bass dan dome tweeter telah ditempatkan dalam perumah yang direka khas. Kedudukan di bawah penutup bonet nampak unik dan kelihatan seperti lambakan bonggo.
Woofer ini menerima bekalan tenaga dari dua unit amplifier monoblock Mohawk M2000.1 dan MBQ Audio MB-2120. Setiap satu amplifier ini memacu dua biji woofer. Manakala kesemua mid bass dan tweeter diperkuatkan pula dengan dua buah amplifier 2 channel Mohawk M-800.2 dan M-600.2. Bagi memastikan tenaga dan kuasa yang diperlukan mencukupi, Bowtak telah menggunakan 2 biji kapasitor.

Kapasitor ini berfungsi menyimpan dan membekalkan tenaga kepada amplifier sekiranya tenaga yang dibekalkan tidak mencukupi. Mungkin disebabkan itu jugalah, Bowtak menggunakan replika tangan untuk memegang salah satu kapasitor 1.5 farad sebagai simbolik kepada kegunaannya. Manakala sebuah lagi ditempatkan sedikit tersorok di sebelah perumah woofer.
Jadi, ada sesiapa mahukan transformasi hatchback sepertimana yang dilakukan oleh Bowtak kepada Honda Jazz kesayangannya? Ataupun anda terlalu sayang kereta dan tidak mahu melihat ia menjalani transformasi begitu drastik sebegini? Apa juga keputusan anda, pastikan tidak menyesal di kemudian hari.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 9




















