Salah satu kereta keluaran Nissan paling terkenal ialah Skyline GT-R, ia diabadikan dalam filem, permainan video, malah tersemat rapi dalam ingatan kebanyakan orang bahawa ia sebuah kereta terhebat pernah dihasilkan Jepun. Walau bagaimanapun, kita sering melihat GT-R sebagai coupe dua pintu dan bukan sedan seperti ini yang dijual di Jepun.
Sekali pandang, tiada apa yang istimewa ada pada kereta ini dan kelihatan seperti sedan 4-pintu biasa. Bagaimanapun, cuba lihat lebih lama kerana anda dapat melihat spoiler yang lebih kecil dan juga tiga huruf kecil istimewa yang membuatkan ia berbeza : GT-R.
Skyline GT-R pertama merupakan sebuah kereta 4-pintu dan bukannya 2-pintu. Model R33 ini merupakan pertama kali nama GT-R pada kereta 4-pintu sejak model tahun 1969. Dibina oleh Autech Japan Inc yang merupakan sebahagian daripada Nissan sebelum bergabung dengan Nismo. Dicipta untuk memperingati ulang tahun ke-40 Nissan Skyline GT-R yang pertama, 2000 GT-R PGC10. Nissan telah mempamerkan model ini ketika Tokyo Motor Show 1997 dan memasarkannya pada tahun 1998.
Kereta ini dilengkapi dengan enjin straight-six turbocaj RB26 2.6liter, yang menghasilkan 276hp dan tork 271lb-ft. Kuasa itu kemudiannya dihantar kesemua 4 tayar menerusi transmisi manual 5-kelajuan. Ia mempunyai sedikit kelebihan berbanding model standard biasa.
Menurut penjual di Jepun, enjin ini telah menjalani proses overhaul tahun lepas dan kini menghasilkan 493 hp. Akhir sekali, ia diwarnakan dengan warna silver iaitu warna asal GT-R sewaktu mula-mula dikeluarkan. Model kereta ini ada disenaraikan di goo-net.com tetapi tiada sebarang paparan harga.
Agak-agak, berapa harga yang sanggup dibayar pemilik terbaharunya nanti?
Sumber : Carscoops