Mengekalkan populariti satu-satu jenama bukanlah mudah bilamana persaingan dalam perniagaan senantiasa wujud setiap hari. Strategi pemasaran, penjenamaan dan juga promosi adalah tiga poin utama untuk memastikan sesuatu jenama itu mampu terus kekal di pasaran. Jika kita lihat bagaimana gergasi seperti Apple berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai jenama paling sukses, ia bukanlah kejayaan yang boleh dicapai dalam masa yang singkat.
Black General, memang lama tak kedengaran sehinggalah saya dipanggil untuk menghadiri satu sesi fotografi. Kereta ini agak biasa sahaja kelihatannya dari sudut luarannya. Bodykit dengan spoiler GT, bumper depan dan belakang dari model SE dan rim aftermarket 15”. Selain itu, ia sebuah kereta Myvi biasa berwarna silver dengan pelekat Black General pada badan belakangnya.
Sebaik pintu dibuka, barulah kelihatan betapa meriah bahagian dalamannya. Papan pemuka kereta ini menerima kerja fabrikasi warna pink dengan perak dan sepasang perumah yang menempatkan seunit mid bass Anaconda yang digandingkan bersama dengan seunit tweeter Black General B-2508. Perumah ini dibuat berasingan dan diletakkan di penjuru kedua-dua sisi papan pemuka tadi. Set ini mendapat bekalan kuasa daripada seunit amplifier 4 channel Black General B-2480 yang mana didahului dengan seunit pre-amp 7 band B-788 yang juga dari Black General. Oh ya, sebelum itu, pemain utama DXZ586USB dari jenama Clarion telah digunakan untuk mengepalai sistem audio ini.
Lihat pada kesemua panel pintunya. Pada bahagian hadapan, pemasangan 2 unit mid bass Black General B-6388 dan 2 unit tweeter Anaconda dibuat di atas panel pintu yang telah mengalami kerja pengubahsuaian yang rumit. Set speaker ini dikuasakan dengan seunit amplifier 4 channel Black General B-2480. Panel pintu asal kereta ini diubahsuai dengan bahan gentian kaca untuk mendapatkan konfigurasi yang tepat. Ditambah dengan pemasangan seunit monitor TFT 4.3” yang memaparkan sedikit kelainan.
Bahagian panel pintu belakang pula menerima kerja fabrikasi yang lebih ekstensif dengan kemasukan 4 unit Black General B-6388, seunit tweeter Focal dan seunit monitor TFT 4.3 inci. Kedengarannya agak mustahil dalam cetak biru tetapi dalam dunia customization, ia terhasil menerusi kerja-kerja pembaikan menyeluruh. Set speaker ini mendapat bekalan kuasa daripada seunit amplifier 4 channel Black General B-150.4 yang berkemampuan mengatur laluan 4 saluran.
Panel pintu asal kereta ini dibuang dan digantikan dengan sekeping panel khusus yang direka menganjur hingga ke penjuru cermin V. Panel yang diperbuat daripada gentian kaca ini kemudiannya disembur dengan warna merah jambu yang menyerlah.
Jika anda melihat kerja di bahagian ini sudah ekstrem, sila palingkan muka ke bahagian kerusi belakang kereta ini. Ia ibarat isi perut sebuah transformer dengan dipenuhi rangkaian peralatan elektronik yang hampir perlu diselak satu persatu untuk mengetahui apakah ia. Kesemua peralatan yang dipadankan pada bahagian ini merupakan nadi kepada keseluruhan sistem dengan setiap satu daripadanya dipasang dengan cara yang tersendiri. Penggunaan kekotak gentian kaca sebagai perumah bateri, panel kayu untuk woofer yang dihalakan ke dalam kereta, papan arkilik dan kapasitor yang dihiaskan dengan gaya yang kreatif.
Dilihat dari bahagian but, kelihatan 4 unit woofer 12” Black General B-330 yang dikuasakan 3 unit amplifier monoblok Black General 2800.1. 2 unit lagi terlindung di bahagian bawah yang dihalakan ke bahagian siling kereta. Peralatan speaker tambahan yang lain ialah mid bass 5” Anaconda yang ‘ditampal’ dibahagian pillar C.
6 unit mid bass Anaconda dan 4 tweeter Focal tambahan yang lain disempurnakan dengan kerja-kerja fabrikasi gentian kaca yang meliputi ruang antara woofer tadi. Kesemua speaker yang disenaraikan tadi dikuasakan pula oleh seunit lagi amplifier Black General 4 channel B-2480 menjadikan jumlah keseluruhan amplifier ini digunakan sebanyak 3 unit.
Penyempurnaan kerja custom pada bahagian pemasangan audio kereta ini dibuat sehingga ke tahap membalut kabel dengan tiup putih bagi mendapatkan keseragaman pada penampilan keseluruhan. Ketelitian dalam aspek pembuatannya memang boleh dipuji dan saya percaya untuk sampai ke tahap ini, ia bukan kerja yang mengambil masa sebulan dua.
Kereta demo Black General ini mungkin salah satu arca bergerak yang tidak ramai orang bina pada tahap ini pada hari ini. Sebetulnya, jika mahukan sedikit kelainan, ini adalah salah satu cara persembahannya, Cuma saya khuatir satu perkara, kalau ada kesilapan pendawaian atau kerosakan, membaikinya tidaklah senang. Mungkin separuh dari pemasangan ini terpaksa ditanggalkan untuk mencari punca sebuah speaker yang tidak berbunyi.
Namun, sebagai installer yang memasangnya, isu keselamatan adalah perkara utama dititikberatkan Vi Car Audio Accessories. Sudah pasti, installer ini lebih tahu tahap keselamatan sistem audio mereka bina. Itulah dinamakan sebagai pakar! Tak begitu?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 33