Selama hampir dua tahun, tiada sebarang aktiviti yang dianjurkan dek penangan pandemik yang melanda dunia dan industri audio juga turut terkena kesannya. Selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran dan membenarkan penganjuran aktiviti-aktiviti melibatkan dunia permotoran, hampir setiap minggu ada sahaja program diadakan.
Baru-baru ini, satu lagi program yang melibatkan dunia audio kereta telah diadakan, SP3 Gathering dan Car Audio Competition yang berlangsung di tapak ekspo di Seberang Jaya pada 20 Ogos lalu. Dianjurkan sempena sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah, program Autoshow dan Car Audio Competition dimulakan sekitar 12.00 tengah hari.
Sebagaimana yang dinyatakan tadi, dua tahun bukan tempoh yang singkat. Justeru, peluang ini digunakan sepenuhnya oleh para peminat dunia audio dan modifikasi dengan turun padang untuk menyertai serta memeriahkan lagi program. Pelbagai aksi serta gelagat sistem audio dapat dilihat dan tidak kurang juga, kereta-kereta yang dimodifikasi cukup unik juga menarik perhatian.
Program yang berlanjutan sehingga lewat petang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran juri jemputan, Yang Berhormat Dr Afif Bin Bahardin, ADUN Seberang Jaya. Kehadiran para pengunjung yang membanjiri tapak acara sekali gus memeriahkan lagi penganjuran program dan dalam masa yang sama memberikan semangat kepada para peserta.
Setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada para penganjur yang berusaha sehabis baik untuk memastikan program berjalan dengan lancar. Semoga lebih banyak program begini diadakan di masa akan datang sekali gus memberikan peluang kepada para peminat audio kembali memeriahkan persada dunia audio kereta yang semakin kesuraman kebelakangan ini.