Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar bergema dengan deruman enjin dan sorakan semangat apabila Himpunan Perlis Perodua Day 2025 berlangsung dengan penuh gilang-gemilang dari 29 Mei hingga 1 Jun 2025. Acara ini merupakan gabungan unik tiga program besar iaitu Perlis Royal 7s, Cerita FoodFest 2025, dan Perlis Perodua Day sendiri. Diperkenankan bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Acara ini mendapat dukungan daripada Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah Perlis dan Collectible Museum, serta dikendalikan sepenuhnya oleh Kelab Kancil VS Mira.
Salah satu pencapaian membanggakan yang dicatat ialah penyertaan sebanyak 1,751 buah kenderaan Perodua dari seluruh pelusuk negara, menjadikan acara ini antara perhimpunan terbesar pemilik Perodua pernah diadakan di Malaysia. Kehadiran pelbagai model dari Kancil, Kenari, Kelisa hinggalah ke Ativa dan Aruz. Bukan sahaja memukau, malah memperlihatkan kesetiaan serta semangat komuniti automotif tempatan terhadap jenama nasional.
Tarikan utama program turut merangkumi pertandingan Autoshow Audio dan Lighting yang diadakan pada 31 Mei. Suasana bertambah meriah dengan penyertaan pemilik kenderaan yang mempamerkan sistem audio mantap, pencahayaan kreatif dan modifikasi luar biasa. Pengunjung yang hadir juga dapat menikmati pelbagai aktiviti sampingan seperti Pameran Petting Zoo, demonstrasi keselamatan oleh APM, kaunter bayaran JPJ dan PDRM, serta pesta makanan viral dan tempatan menerusi Cerita FoodFest.
Pada 1 Jun, program mencapai kemuncaknya dengan keberangkatan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan meninjau pameran kenderaan termasuk model khas untuk golongan OKU. Baginda turut menyantuni peserta dan menyatakan sokongan terhadap usaha-usaha yang memupuk pertumbuhan ekonomi komuniti, memperkukuh industri automotif tempatan serta membina jati diri dan aspirasi anak muda dalam bidang kejuruteraan dan kreativiti.
Majlis penutup turut diserikan dengan kehadiran tetamu-tetamu kehormat termasuk YB Tuan Mohd Ridzuan Hashim (Exco Belia dan Sukan, Teknologi dan Inovasi), YB Tuan Abu Bakar Hamzah (Exco Pelancongan, Seni dan Budaya), Puan Noridayu Ismail (Penolong Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri), dan YDH DCP Dato’ Muhammad Abdul Halim (Ketua Polis Perlis). Persembahan istimewa dari kumpulan Kristal dan Shidi Datta serta pertunjukan bunga api memukau menjadi penutup tirai yang penuh bergaya.
Himpunan Perlis Perodua Day 2025 bukan sekadar himpunan kenderaan, malah menjadi platform memperkukuh silaturahim komuniti, mempamerkan bakat serta menjana impak ekonomi yang signifikan buat negeri Perlis. Kejayaannya bukan hanya diraikan dalam jumlah penyertaan, tetapi dalam semangat muafakat dan kecintaan terhadap dunia automotif tempatan yang terus membara.