Throwback : Sambutan hari penuh kemenangan, hari raya Aidilfitri lebih bermakna apabila dapat diraikan dengan golongan yang memerlukan. Di atas keprihatinan dan kesedaran ini, Kelab Kereta Lama Sg Petani dan Sungai Petani Audio Club telah berganding bahu dan bekerjasama dalam menganjurkan Majlis Hari Raya bersama Anak-anak Yatim dan Orang Kelainan Upaya (OKU) baru-baru ini.
Bertempat di Taman Rhu, Sg. Petani, majlis yang diadakan pada 16 Jun lalu ini disertai seramai 50 orang anak-anak yatim dan orang kelainan upaya dari Sekolah Kebangsaan Berapit, Pendidikan Khas (PPKI). Turut hadir menyemarakkan lagi sambutan hari raya ini adalah YTM Tengku Zainol Rashid Bin Tengku Yahya (Kerabat Sultan Kedah) dan penampilan istimewa, pelakon Nasir Bilal Khan dan penyanyi Selagi Ada Rindu, Pak Long.
Dimulakan seawal pukul 8.00 pagi dan berakhir sekitar pukul 1.00 tengah hari, pihak penganjur turut menyediakan pelbagai program lain. Antaranya termasuk persembahan dari Pak Long yang menyanyikan lagi hit Selagi Ada Rindu sekali gus menghiburkan para tetamu yang hadir. Selain itu, ahli-ahli SPAC dan Kelab Kereta Lama Sg Petani mengambil peluang ini untuk mempamerkan kereta masing-masing. Namun, apa yang lebih penting adalah kegembiraan yang terpancar di wajah anak-anak yatim dan OKU yang diraikan pada majlis ini.