
Setiap kali melihat kereta dihiasi pelekat jenama tertentu, pastinya hanya satu sahaja yang bermain di minda; “kereta tajaan”. Apabila label sebagai perkataan tajaan itu melekat pada kereta, sudah tentu semua yang didalamnya dipenuhi dengan jenama tersebut dan lebih jelas lagi, ia bertujuan untuk mempromosikan produk keluarannya. Ya, kalau mengikut sudut promosi ia salah satu cara yang bijak tetapi adakah ia cukup dengan sekadar pelekat semata-mata?
Menarik atau tidak penyampaian kereta ini dari sudut penampilan bukanlah menjadi persoalan utama. Memang tidak dapat dinafikan, Honda Accord dengan pelekat-pelekat Dominations ini kelihatan hambar tetapi apa yang perlu dihairankan? Bukankah itu yang seringkali terjadi kepada kereta SQ? Interior atau eksterior tidak pernah diberikan perhatian berlebihan, cukuplah secara ala kadar. Malah, ada juga yang langsung tidak menyentuh atau ambil peduli tentang dua perkara ini. Adakah ia wajar?
Sebagaimana yang diketahui, SQ adalah berpusat kepada mutu dan kualiti bunyi secara keseluruhannya. Hal ini juga yang dititikberatkan oleh Suncooller dalam membina sistem audio pada Honda Accord yang telah menggungguli beberapa pertandingan sebelum ini. Modifikasi ringkas yang tidak terlalu ketara turut dilakukan terhadap kereta ini. Antaranya termasuklah pemasangan lampu dan juga rim tayar. Sudah cukup memadai dan selebihnya ditumpukan kepada bahagian audio yang dilengkapi dengan jenama Dominations.

Sebagaimana lazimnya, kita mulakan sesi pembedahan sistem audio ini dengan bahagian ‘kepala’ dahulu. Installer ini telah memecahkan monopoli Pioneer yang selama ini seringkali menjadi pilihan dengan memilih pemain Dvd dari jenama Sony, XAV-712. Kekuatan isyarat yang dihasilkan oleh pemain ini disalurkan pula kepada aksesori audio tambahan (yang mana bukan semua sistem audio guna) pemproses isyarat digital Helix. Penambahan aksesori ini sedikit sebanyak menggandakan kehalusan yang sedia ada. Boleh bayangkan bagaimana hasil sebenarnya?
Seterusnya, isyarat tersebut dipecahkan pula kepada dua laluan yang dihantar ke dua unit amplifier Dominations ES4100. Unit pertama amplifier ini memainkan peranan penting dalam pembentukan bunyi audio dibahagian dalam Accord yang mana terdiri dari 2 unit mid range 2” dan mid bass 6” dari set speaker komponen Dominations ES62. Bagi memastikan bunyi yang dihasilkan menepati kriteria yang melayakan Accord ini bergelar pemenang, installer memasangkan seunit mid range 2” di tiang A dan seunit mid bass 6” dipasangkan pula di panel pintu. Pemasangan yang sama diulang di bahagian kiri dengan susunan yang sama.
Berikutnya, seunit woofer 12” dari Dominations dipasangkan untuk melengkapi sistem audio ini. Pemasangannya pula mudah; ditanamkan di bahagian belakang tetapi bukan di tapak ruang letak barang. Sebaliknya di dindingnya yang turut disertai dua unit amplifier dan pemproses Helix tadi sekaligus tidak memakan sedikitpun ruang tempat meletak barang. Dalam masa yang sama, sesuai untuk dijadikan kereta harian. Perumpamaan sahaja kerana kereta ini memang jelas dibina untuk menyertai pertandingan. Kereta juara, bukan juara ke pasar.
Selain dari itu, tiada apa yang menarik yang boleh diperkatakan di sini. Semuanya serba ringkas, bertepatan dengan sistem talaannya SQ. Cuma pendapat peribadi saya, bukankah lebih menarik sekiranya dilakukan serba sedikit modifikasi pada interior untuk tidak kelihatan muram? Cadangan sahaja, sekadar memberi pendapat.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 64




















