JBL bukanlah satu nama asing dalam bidang penghasilan komponen audio berkualiti tinggi. Jenama Amerika ini telah bertapak lebih 60 tahun dalam industri dan di Jepun, mereka banyak membuat kerjasama dengan pengeluar bagi bidang OEM. Dibandingkan dengan jenama mainstream Jepun yang lain seperti Clarion, Sony, Panasonic, Sanyo, Carrozzeria (Pioneer), JBL mempunyai sejarah perkongsian pengeluaran yang lebih besar khususnya bersama Toyota.

Opsyen baru bagi pembeli model Toyota Alphard, Vellfire dan Harrier juga didatangkan dengan jenama ini. Ia dibangunkan dari peringkat awal kereta lagi dan sudah tentu penalaannya diintegrasikan bersama tebatan bunyi, saluran pendawaian dan juga pemain utama.
Bagaimana pula jika anda pakai sebuah kereta lama dan ianya masih sebuah Toyota? Pemilik Toyota Mark X ini mempercayai kombinasi Toyota-JBL lantas memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Great Sound Auto Accesories di Taman Bayu Perdana Klang untuk meningkatkan keupayaan sistem bunyi keretanya.

Unit pemain utama datangnya bukan dari JBL, sebaliknya diperoleh dari model Pioneer AVH-X8850BT. Ia pemain yang kemas dimasukkan ke dalam slot din asal pemain Mark X ini. Lagipun, ini adalah kereta recond, menukar kepada pemain spesifikasi antarabangsa adalah lebih baik dari terkial-kial memilih menu dalam bahasa Jepun.
Sistem kereta ini menggunakan dua unit amplifier iaitu JBL GTR-104 empat saluran dan amplifier monoblock JBL GTR-601 kelas D. Kedua-duanya memacu keseluruhan pembesar suara yang bermula dengan talaan bahagian hadapan.


Set hadapan ialah pemacu speaker komponen yang datang dengan set mid bass 6” JBL GTO 609C depan dan juga tweeter dengan perumah khas. Berbeza dengan kebanyakan setting SQ yang biasa kita tengok, kereta ini mengekalkan kedua-dua pillar A hadapan, tweeter tersebut masih menggunakan perumah asalnya tetapi dipasang secara menyerong ke bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

Speaker komponen ini mendapat kuasa daripada amplifier 4 unit JBL GTR-104 tadi. Turut berkongsi kuasa ialah set speaker belakang JBL GTO 629 yang diletak pada bahagian asal-di atas papan speaker asal Mark X.

Kelengkapan akhir ialah seunit woofer Woofer JBL S2-1224. Ia dikuasakan oleh amplifier JBL GTR-601 jenis monoblok. Woofer ini “ditanam” pada bahagian lantai but belakang untuk mendapat kesepaduan bunyi sebelum masuk ke dalam kabin.

Kekemasan pemasangan bagi sistem SQ ini banyak disumbangkan oleh warna elegan iaitu hitam. Permainan warna gelap ini juga mewakili set amplifier yang turut selari dengan warna hitam. Susunan yang teliti membolehkannya kelihatan seperti pemasangan OEM, kemas dan teratur.






















