Tahukah anda, Axia berwarna emas ini pernah menghiasi ruangan Show Off majalah Kar HiFi edisi 83? Barangkali, ramai antara pembaca yang tidak ingat dan kalau tidak diberitahu, pasti tidak tahu kecuali anda benar-benar mengikuti setiap keluaran majalah Kar HiFi atau penggemar setia kereta ini yang memang dikenali di persada dunia audio Malaysia. Mungkin juga ada di antara anda masih tidak dapat mengecam Axia ini kerana sewaktu kali pertama muncul ia tidak seperti yang dilihat hari ini. Berbeza. Memang jauh berbeza. Perubahan yang dilakukan bukan hanya pada sudut eksterior, malah secara menyeluruh.
Kekal menggunakan konsep VIP, Axia milik Ahmad Fikri B Ahmad Rusli atau lebih mesra dengan panggilan Kikie Lala ini tampil lebih meriah tetapi tetap bergaya. Jika dahulu sudut eksterior tidak begitu menonjol dengan paduan warna hitam, emas dan perak, kali ini seiring dengan penampilan baru yang lebih garang, pemuda yang baru sahaja berusia 27 tahun ini mengekalkan gabungan 3 warna ini tetapi memilih warna emas sebagai dominasi. Lebih menarik, Kikie turut memasang pelekat grinder tattoo rekaan yang dipasangkan oleh Zokusha Stickers di atas but hadapan. Ia dikemaskan dengan pemasangan bodykit Black Pearl Complete Japan Galaxy oleh KJ Modify Hatyai!
Bodykit Axia milik anak kelahiran Alor Setar ini dibina sepenuhnya dengan menggunakan kemahiran serta kepakaran dari Thailand. Menurut Kikie Lala, 100% bodykit yang dipasangkan pada Axia ini adalah hasil binaan KJ Modify Hatyai. Bukan itu sahaja, set head lamp dan tail lamp juga merupakan binaan kostum oleh Tong Hatyai Lighting dari Thailand. Oleh kerana bekerja sendiri, ia memberikan satu kelebihan kepada Kikie Lala berulang-alik ke Thailand untuk mendapatkan perkhidmatan KJ Modify Hatyai yang memang terkenal dengan reputasi cemerlangnya bukan sahaja di Thailand, malah turut menjadi pilihan penggemar modifikasi kereta di Malaysia.
Masih lagi bercerita bahagian luaran Axia, kekemasan gabungan warnanya dipadankan dengan pemasangan rim dari W Work Durandal DD5.2 yang ditempah khas dengan 4 lubang PCD 100.18, warna emas. Tidak cukup dengan itu, Kikie telah memadankan keempat-empat rim ini dengan spike nut 326 Japan, edisi 2018. Segala-galanya emas sekali gus memperkukuhkan lagi kehebatan Axia yang sudah pun menempa nama di Thailand setelah beberapa kali memenangi setiap kali menyertai acara di sana termasuk International VIP Car Contest 2016 dan Car VIP Southern 7 yang diadakan sempena Motor Show Hatyai 2018.
Bahagian dalaman Axia ini juga tidak kurang hebatnya kerana sebaik sahaja pintu kereta dibuka, anda dijamukan dengan kekemasan interior dengan tema VIP. Lebih kemas dan jauh lebih menarik dengan warna gothik, hitam dan merah. Kecemerlangan interior ini dimeriahkan lagi susunan aksesori audio dan monitor. Sistem audio Axia ini bermula dengan pemain utama dari Pioneer DEX-P99RS, salah satu pemain utama yang sering kali menjadi pilihan kerana reputasinya dalam menyampaikan mutu bunyi yang cemerlang, sesuai dengan kehendak dan citarasa penggemar audio khususnya sistem audio talaan SQ seperti yang ditala Kikie ke atas kereta Axia ini. Apa yang menarik tentang pemain utama ini, ia diletakkan dalam laci!
Segala data dari format audio yang dibaca oleh pemain utama ini disalurkan pula kepada seunit pemproses isyarat digital 8 channel, Helix V Eight DSP yang seterusnya dipecahkan kepada 3 laluan baru yang setiap satunya didahului oleh seunit amplifier. Sebanyak tiga amplifier dari Rockford Fosgate telah digunakan yang terdiri dari dua unit amplifier 4 channel (T600.4 dan T400.4) dan seunit amplifier monoblock. Unit amplifier 4 channel Rockford Fosgate T600.4 berfungsi untuk menguasakan sebanyak 2 unit mid bass 6 ½” Rockford Fosgate T2652.S di mana setiap satunya diletakkan di kedua-dua belah panel pintu. Kedudukan yang sering digunakan installer untuk mengimbangi bunyi talaan SQ 3 hala. Ini diikuti dengan laluan kedua yang dimulakan oleh seunit amplifier 4 channel Rockford Fosgate T400.4 yang memacukan sebanyak 2 unit hi-mid 3” Helix P203 Precision dan 2 unit tweeter dari set komponen speaker T2652.S tadi. Seperti pemasangan mid bass, setiap satu unit hi-mid dan tweeter ini dipasangkan di kedua-dua pillar A.
Sistem audio yang dipasangkan dan ditala oleh KH Star Auto Accessories ini menyudahkan talaan SQ 3 way ini dengan memasang seunit slim subwoofer 12” dari Rockford Fosgate T1S2-12 yang diletakkan dalam perumah khas di bahagian tempat meletak barang di belakang kereta. Subwoofer ini tidak dibiarkan bersendirian kerana bahagian ini dimeriahkan dengan barisan amplifier dan monitor yang kemas tersusun. Seolah-olah barisan orkestra. Pemasangan monitor bukan sahaja terhad di bahagian ini, malah KH Star telah memasangkan beberapa unit lagi dalam Axia termasuk atap, panel pintu dan juga di belakang tempat duduk. Kalau anda masih ingat, ada satu lagi perubahan ketara yang dapat dilihat dari jauh yang dilakukan terhadap Axia ini. Dapat teka? Ya, hellaflush atau tayar kangkang. Kalau dahulu ia seakan sebuah kotak misteri yang bersembunyi keseronokan di bahagian dalam, kini Kikie Lala mengubah Axia dan tampil lebih bergaya. Ya, kembalinya juara dengan penuh bergaya dan nafas baru!