Setinggi mana pun belajar dan sejauh mana melangkah, perempuan akan terperuk di ceruk dapur juga! Kata-kata keramat ini sering dilemparkan kepada kaum hawa. Jika diteliti semula memang ada benarnya, tetapi tidak adil kerana seakan-akan mematahkan semangat mereka untuk mengecapi apa yang dihajati. Namun begitu, tidak semua wanita tunduk pada kata-kata ini. Yang penting, pandai mencari keseimbangan antara tanggungjawab dan juga kemahuan diri. Sebagaimana yang dilakukan Melvy Tan, seorang guru dan usahawan. Walaupun sibuk, beliau masih sempat melaksanakan hobinya dalam dunia I.C.E.
Bertugas sebagai seorang guru Bahasa Inggeris tidak menjadi penghalang untuk beliau menghidupkan impiannya dalam bidang I.C.E. Pernah bertugas sebagai pengedar untuk jenama dB Drive, menjadikan beliau semakin mencintai dunia I.C.E. Apabila bertemu dengan Erwin Kosasih, beliau menyatakan hasrat untuk memiliki sistem I.C.E yang ada pada setiap kereta demo dan dalam masa yang sama boleh dibawa ke mana-mana sahaja. Selain dapat berhibur di dalam kereta Honda City miliknya itu, beliau juga mahu memperlihatkan produk yang digunakan sekaligus mempromosikannya. Bijak bukan? Memang otak bisnes!
Sistem I.C.E Honda City milik si gadis kota ini termasuklah jenama dB Drive yang berasal dari Amerika Syarikat. Berdasarkan pilihan muzik kegemaran Melvy yang menggemari pelbagai genre muzik, saudara Erwin mengesyorkan kereta Honda City ini dipakaikan sistem I.C.E yang hebat diselangi dengan kosmetik audio yang memukau. Ianya dapat memperlihatkan segala produk dB Drive dan semestinya sesuai dijadikan untuk kegunaan harian.
Bagi menyediakan jentera I.C.E yang mantap, saudara Erwin telah memilih 2 unit subwoofer 12” koil suara berkembar diikuti 2 unit subwoofer 10” koil suara berkembar yang mana kesemuanya dari jenama dB Drive. Kesemua subwoofer ini masing-masing dipasang bersebelahan antara satu dengan yang lain dengan konfigurasi 40 liter di setiap sealed enclosure. Subwoofer 12” telah dipasang dalam perumah bandpass acrylic lutsinar agar tampak estetik serta memberikan ketinggian efisiensi dan kekuatan bunyi bass paling maksima.
2 unit amplifier monoblock dB Drive telah digunakan dalam melaksanakan tugas memacu kesemua subwoofer yang menghuni kereta Honda City ini. Kedua-dua amplifier monoblock tersebut adalah dari Platinum Series PD2000.1 dan PD1000.1 masing-masing memacu 2 unit subwoofer. Manakala seunit amplifier 4 channel Spec Series dB Drive digunakan untuk memacu 4 unit mid bass 6.5” DB680.2 di bahagian hadapan dan juga belakang. Speaker co-axial yang dipasang pada penutup bonet pula dipacu oleh amplifier dalaman yang terdapat pada pemain utama Clarion.
Dua unit pemain utama digunakan dan kedua-duanya dari jenama yang sama, Clarion. Tidak dinafikan, jenama ini mempunyai pengaruh yang kuat sepertimana yang dapat dilihat pada jenama Pioneer. Pemain utama yang dimaksudkan ialah Clarion VXZ 756 DVD/DTS dan digunakan seiring dengan Clarion VRX 756 DVD/indash monitor TV untuk mempercantikan sistem multimedia di dalam kereta ini. Sebagai memantapkan lagi sistem ini, sebuah speaker Clarion SRK01 dipasang di bahagian atas dashboard untuk menghasilkan bunyi DTS 5.1 surround.
Seakan masih tidak lengkap, saudara Erwin menambah lagi aksesori audio iaitu monitor roof di penutup bonet belakang untuk menyediakan informasi secara visual tentang sistem I.C.E, khas digunakan ketika di tapak pameran. Manakala untuk memberikan kestabilan terhadap voltan yang digunakan oleh kereta ini, Erwin telah menggunakan kapasitor dB link 10 farad CAP-1000D. Sudah tentu tiada masalah akan timbul dengan adanya kapasitor ini.
Tidak seperti kebanyakan pecinta I.C.E lain yang kurang peka tentang ruang letak barang yang lazimnya tersemadi tayar simpanan, Melvy telah meletakkan tayar simpanannya di dalam kereta. Ya! Pelik bukan? Tetapi itulah yang dilakukan oleh Melvy, beliau telah menyimpan tayar simpanan di bahagian tempat letak kaki penumpang. Satu lagi tindakan bijak, amat berguna dalam masa kecemasan kelak.
Tweeter dipasang dengan menerima sentuhan hi-tech tetapi ringkas. Ini kerana, Melvy mahu mengekalkan keaslian keretanya. Speaker yang diletakkan berhampiran cermin belakang telah diubahsuai untuk memberikan ruang kepada bass memasuki bahagian dalam, dan ruang letak barang pula dibina dengan 2 cm papan MDF, bersama-sama 1.5 cm acrylic lutsinar, gelas-fiber dan kain warna krim dipadankan dengan interior kenderaan berwarna Biru. LED Merah juga turut diterapkan untuk meningkatkan pandangan visual pemasangan di setiap pertandingan mahupun di pameran khasnya di waktu malam.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 13