Penganjuran Retro Havoc yang diusahakan Alie Koupa (Speedy Sabel) menerima kunjungan tetamu istimewa yang diterbangkan khas dari Jepun. Tetamu yang dimaksudkan ialah Ron Celestine, merupakan editor Tokyo Tuners dan jurugambar untuk portal SpeedHunters. Beliau berpeluang melihat perkembangan dunia permotoran di Malaysia dengan mengunjungi beberapa program diadakan termasuk TT Retro Havoc Tour di Sg. Petani.

Berlangsung di tempat letak kereta tingkat 4 di Riverfront City Mall Sg. Petani, program ini dianjurkan oleh Gabungan Kelab Kereta Negeri Kedah (GKKnK) dengan kerjasama pengurusan Riverfront City Mall yang bermula dari 8.00 malam hingga 11.30 malam. Walaupun diadakan cukup ringkas, program perjumpaan ini tetap meriah dengan kehadiran pelbagai budaya dan jenis kenderaan seperti sport car, retro, klasik, JDM, Conti, stance dan macam-macam lagi.

Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran dua orang tetamu dari Indonesia yang dibawa khas bersama Tokmo Garage milik Dato Zuldz, iaitu saudara Indra Hernandi (Heritage Part Center) dan Habib Reza. Kehadiran para tetamu yang sudi meluangkan masa dalam memeriahkan lagi penganjuran program ini sekali gus memberikan impak terhadap TT Retro Havoc Tour.
































